
Sakon bukan ada padang mewah, jauh sekali peralatan premium, apatah lagi bajet besar. Apa yang dia ada cuma lori buruk warna biru yang digelar 'dream carrier' (pembawa impian) dan sekumpulan anak muda yang percaya kepada impian.
Kenderaan itu yang kini tular dalam media sosial digunakan untuk membawa pemain ke setiap perlawanan sejak bertahun-tahun lalu.
Bagi orang lain, ia cuma lori buruk tanpa penghawa dingin, tetapi bagi pasukan ini, ia adalah jantung perjuangan.
“Kereta ini ada sejarah panjang. Siapa naik lori ini, selalunya menang kejohanan,” ujar Sakon berseloroh, namun di sebalik kata itu ada keyakinan yang dibina dari pengalaman.

Apabila Sakon mengambil alih pasukan pada 2021, Monthong Wittaya bukan siapa-siapa dalam bola sepak sekolah. Mereka kecil, serba kekurangan dan jauh dari 'spotlight'.
Namun permainan disiplin yang diterapkan, ditambah kepercayaan antara jurulatih dan pemain, beransur-ansur mengubah pasukan 'underdog' ini.Kapten mereka, Worakorn Changkhiandee atau dikenali dengan nama panggilan 'Te' menjadi simbol kebangkitan anak kampung yang tanpa akademi profesional, tetapi bermain dengan jiwa yang besar.
Dari satu perlawanan ke satu perlawanan, mereka mula menumbangkan sekolah-sekolah gergasi yang terkenal dengan fasiliti bertaraf akademi.
Nama-nama besar seperti Assumption College Thonburi, Depsirin School dan Assumption College Sri Racha tumbang satu demi satu.
Warganet mula memanggil mereka 'giant killers' kerana setiap kemenangan terasa seperti kejutan baharu.
Kemuncak pengembaraan mereka tiba apabila layak ke final 7HD Champion Cup 2025.
Pada 8 November 2025, Stadium Suphachalasai, Bangkok penuh 20,000 penonton, malah ribuan lagi menyaksikan dari luar trek larian.
Sebagai sebuah sekolah komuniti kecil, sambutan hangat itu terasa seperti mimpi. Mereka disorak macam pasukan profesional.
Walaupun muncul naib juara selepas tewas tipis 1–2 kepada Chai Nat PAO, sorakan tidak berhenti. Mereka kalah di padang, tetapi menang di hati rakyat.
Selepas perlawanan, limpahan bantuan mula datang, bagai dapat durian runtuh. Dari biasiswa, dana kebajikan, sehinggalah peluang latihan.
Sokongan datang bertali arus daripada pelbagai tokoh dan syarikat besar.
Timbalan Perdana Menteri Thailand, Kapten Thamanat Prompow menyumbang biasiswa 150,000 baht (RM19,279) dan 10 biji bola untuk pasukan.
Dari lori buruk ke ‘dream bus’ bernilai 4.5 juta baht apabila Thai Smile Bus (TSB) pada 12 November 2025 menyerahkan sebuah bas elektrik baharu kepada sekolah berkenaan.
Ketua Pegawai Eksekutif TSB berkata, kisah mereka menyentuh hatinya kerana melihat bagaimana hubungan rapat antara jurulatih dan pemain menghidupkan semangat komuniti.
Malah jersi pasukan yang dijual antara 400–600 baht sentiasa 'sold out', terutama jersi nombor 6 milik Te-Varakorn.
Tokoh korporat, Sondhi Limthongkul menyumbang 1 juta baht, diikuti Madame Fin dengan 350,000 baht.
Selebriti terkenal, Aum Patchrapa menghulurkan 20,000 baht, manakala Gabenor TAT, Thapanee Kiatpaiboon, memberi 100,000 baht.
YouTuber, Boy Tha Phrachan turut menyumbang 20,000 baht, disertai beberapa restoran tempatan yang bersama-sama mengumpul 100,000 baht.
Influencer terkenal, Pimrypie pula menyumbang 100,000 baht dan membiayai pembinaan sebuah padang bola baharu di atas tanah seluas 10 rai (16,000 meter persegi) di sekolah tersebut.

Fenomena ini mengubah bukan sahaja pasukan bola sepak sekolah itu, tetapi juga komuniti keseluruhannya.
Ramai ibu bapa mula melihat bola sepak sebagai ruang untuk membina karakter anak-anak bukan sekadar sukan.
Guru-guru pula melaporkan peningkatan minat pelajar terhadap aktiviti kokurikulum, terinspirasi oleh abang-abang mereka dalam pasukan utama.Sakon sendiri melihat masa depan yang lebih besar menanti mereka.
“Kami bukan berlatih untuk menang semata-mata, tetapi berlatih untuk buka pintu masa depan mereka,” katanya.
Baginya, disiplin lebih penting daripada bakat kerana bakat boleh diasah, tetapi hati yang cekal sukar dibentuk.
Menyusuri latar belakang Sakon - beliau seorang penganut Buddha, tetapi memakai songkok sebagai tanda hormat kepada majoriti pelajar Islam.
Beliau pernah menjuarai kejohanan ketika melatih beberapa sekolah besar sebelum bersara.
Namun selepas bersara, Sakon masih mahu melatih, tetapi sekolah lama meminta beliau berehat dan peluang itu diberikan kepada jurulatih baharu.
Dek kerana cintakan bola sepak, beliau mencari sekolah lain dan memilih Monthong Wittaya sebagai destinasi untuk membina pasukan baharu dari kosong.
Di sekolah yang memiliki 500 pelajar itu, Sakon menggabungkan pemain yang gagal pemilihan di sekolah-sekolah lain untuk membentuk skuad baharu.
Pendekatan ini menjadikan pasukan lebih kompetitif, bermotivasi dan berpotensi.
Skuad ini mara ke kelompok 32 pasukan terbaik daripada 503 sekolah seluruh Thailand dan media mula memberi perhatian.
Mereka kemudian memperagakan peningkatan yang konsisten 'top' 16, menembusi lapan pasukan terbaik sebelum melangkah ke pentas akhir.

Kisah Monthong Wittaya kini menjadi rujukan nasional - bukti bahawa kejayaan boleh datang dari tempat paling kecil, jika ada usaha yang besar.
Ia bermula dengan percaya pada diri, disiplin yang konsisten dan seorang jurulatih yang benar-benar melihat potensi anak-anak kampung sebagai masa depan bola sepak negara. - KitaReporters