BERSARA ketika orang masih diingati dan dipuja jauh lebih baik berbanding mengundurkan diri dari bidang seni ketika diri semakin dilupa.
Tidak ramai insan seni yang sanggup berbuat demikian. Ramai yang suka mengambil langkah bersara ketika diri sudah tidak dipandang.
Ella membayangkan akan meninggalkan bidang seni apabila memadamkan gambar dan teks dalam Instagramnya, sekali gus meninggalkan tanda tanya menerusi hantaran dimuat naik, pada Rabu, 1 Februari 2023 dan hanya meninggalkan tulisan ‘Terima kasih untuk 35 tahun’.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan penyanyi Ella
/
Jadi tindakan Ella yang diberi jolokan ratu rock tanah air bersara dari bidang seni setelah terbabit selama 35 tahun adalah perkara yang patut dipuji.
Dalam tempoh itu Ella atau nama sebenarnya Nor Zila Aminuddin sudah melalui banyak detik manis berbanding duka. Dengan usia sudah mencecah 56 tahun, wanita yang lahir pada 31 Julai 1966 ini boleh perbanyak kerja-kerja kebajikan dan amal ibadat.
Walaupun sudah berkahwin dengan juru terbang Firefly, Azhar Husaini Ghazali pada 2012, Ella masih belum dikurnia zuriat. Dan dengan usia yang semakin meningkat agak sukar untuk dia mengandung.
Dengan peningkatan usia, Ella kini lebih banyak meluangkan masa dalam menguruskan tanah pertaniannya.
Menyingkap pengalaman Ella dalam bidang seni, dia bermula pada 1983 dengan kumpulan Moonracker selama dua tahun. Bagaimanapun namanya mulai dikenali apabila menyertai kumpulan The Boys.
Ketua kumpulan Lord (Lokman Idris) juga pemain gitar utama tertarik dengan suara manja dan serak basah Ella dan diajak bergabung menjadi kumpulan Ella & The Boys.
Ella & The Boys popular setelah diberi peluang menjadi artis rakaman Warnada Records dan dalam masa singkat mampu seiring populariti dengan kumpulan Search dan Lefthanded pada tahun 1985. Dengan The Boys antara lagu ppopularnya ialah 'Pengemis Cinta'.
Ella kemudian mengambil keputusan meninggalkan The Boys pada 1988 dan berhijrah ke syarikat rakaman WEA (kini Warner Music).
Sebagai artis solo penghijrahannya ke WEA melebarkan populariti dan kejayanya.
Melalui kerjasama WEA (Malaysia) dan Musica (Indonesia), Ella memasarkan dua album di Indonesia iaitu ‘Berlayar Tak Bertepian’ (1990) dan ‘Mendung Tak Bererti Hujan’ (1991).
Lagu ‘Mendung Tak Bererti Hujan’ ciptaan dan nyanyian duet dengan komposer terkenal Indonesia ketika itu, Deddy Dores. Album ‘Mendung Tak Bererti Hujan’ terjual lebih 100,000 unit di Indonesia.
Pada 1992, Ella berhijrah ke syarikat rakaman EMI Malaysia dan menghasilkan album keempatnya berjudul ‘Ella USA 30110’.
Album ‘Ella USA 30110’ adalah antara album Ella paling berjaya dan mencipta sejarah sebagai album pertama yang mencapai jualan tertinggi dalam masa yang singkat. Sebanyak 350,000 album ‘Ella USA 30110’ terjual dalam tempoh cuma seminggu.
Ia menjadikan Ella sebagai penyanyi Malaysia paling kaya ketika itu.
Melalui album ‘Ella USA 30110’ menjadikan Ella sebagai penyanyi Malaysia pertama yang berjaya merakamkan album penuh di Amerika Syarikat yang dirakam selama sebulan di negara itu.
Hampir kesemua lagu dalam album tersebut berjaya menjadi ‘single’ popular. Album ‘Ella USA 30110’ telah berjaya menduduki tempat pertama dalam Carta RIM sebagai album paling laris di pasaran pada 1992. Album tersebut memberikan impak besar terhadap karier Ella sepanjang bergelar anak seni.
Sebagai penghargaan dan hadiah bagi peminatnya yang telah memberi sokongan terhadap albumnya itu, Ella telah mengadakan konsert solo pertamanya iaitu ‘Konsert Ella USA 30110’ di Stadium Negara yang dihadiri sekitar 10,000 peminat.
Tahun 1992 memberi kenangan manis bagi Ella dengan menjadi penyanyi wanita terlaris.
Ella juga berjaya menggondol anugerah Artis Wanita Popular menerusi Anugerah Bintang Popular BH 1993 berdasarkan kejayaan album tersebut.
Kejayaan album ‘Ella USA 30110’ menjadikan Ella sebagai penyanyi muda berstatus Jutawan dan juga merupakan penyanyi paling kaya bagi tahun 1994. Bukan sahaja menerima royalti album yang tinggi, Ella juga sibuk memenuhi undangan mengadakan show.
Pada masa yang sama, Ella juga merupakan Duta kepada Badan Kebajikan Yayasan Kebajikan Negara dan mengadakan Konsert Ella USA 30110 Jelajah Malaysia bagi mengumpul dana kepada badan kebajikan tersebut.
Pada 1995, Ella mengadakan konsert iaitu Konsert Ella Ten Years yang bertujuan untuk menyambut ulang tahun yang ke-10-nya dalam bidang seni.
Menerusi konsert tersebut, Ella membuat rekod menyanyi sebanyak 40 buah lagu tanpa henti.
Ella bertuah dipilih Wah untuk menyampaikan lagu itu kerana asalnya ada lima penyanyi dalam senarai.
/
Ella bersama Wah Idris
Kerjaya seni Ella mula berkurangan setelah berkahwin pada 7 Julai 2012. Ella ketika itu berusia 46 tahun memilih juruterbang Firefly, Azhar Husaini Ghazali ketika itu berusia 30 tahun dengan mas kahwinnya RM50,300.