Seni & Sukan 26 Jul, 2024

Video| Baju Melayu Teluk Belanga, Kurung Berkelubung! The Malaya busana perasmian Olimpik Team Mas!

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, menyertai akhbar mingguan tabloid Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. E-mel: [email protected]

Share this


PAKAIAN Majlis Perasmian Sukan Olimpik Paris 2024 oleh Team Mas pada 26 Julai 2024 yang dinamakan 'The Malaya' digayakan oleh para peragawan dan peragawati profesional. - Kredit foto: MOM 


PAKAIAN Majlis Perasmian Sukan Olimpik Paris 2024 kontinjen negara atau Team Mas, dipertonton secara umum menerusi laman sosial Majlis Sukan Negara (MSN) dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) serta Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, hari ini (25 Julai 2024).

Baju Melayu Teluk Belanga bagi atlet lelaki dan Baju Kurung buat atlet wanitanya akan diperagakan secara ‘hidup’ pada acara perarakan sempena majlis perasmian temasya ke-33 itu di Sungai Seine di Paris, bandar raya yang terkenal dengan julukan 'Ibu Kota Fesyen Dunia' pada 26 Julai 2024 waktu Perancis (1.30 pagi, 27 Julai 2024 waktu Malaysia).

“Inilah baju rasmi kontinjen Malaysia pada Majlis Pembukaan Sukan Olimpik Paris yang telah dipilih oleh MSN. Perekanya, Rizman Ruzaini (nama sebenar mereka, Rizman Nordin dan Ruzaini Jamil).

"Baju Melayunya menampilkan corak songket manakala Baju Kurung disertakan kelubung yang diilhamkan oleh warisan klasik yang kaya budaya," lapor laman Facebook (FB) MOM.

Menyarung busana rasmi yang digelar ‘The Malaya’ oleh pasangan perekanya ini, Team Mas akan menjalani perarakan Sukan Olimpik Paris 2024 sambil bakal dipercik air Sungai Seine sepanjang enam kilometer.

Mereka diketuai penerjun akuatik Bertrand Rhodict Lises dan atlet pelayaran, Nur Shazrin Latif sebagai pembawa bersama Jalur Gemilang selain Ketua Kontinjen negara, Datuk Hamidin Amin dan Timbalannya, Datuk Nicol Ann David serta 24 rakan sepasukan daripada sembilan jenis sukan.


BAJU Melayu Teluk Belanga (kanan) akan disarung oleh atlet lelaki Team Mas manakala Baju Kurung berserta kelubung dikenakan kepada atlet wanita kita. - Kredit foto: MOM


“The Malaya ialah cetusan ilham yang sangat istimewa yang lahir daripada lubuk hati kami sebagai pereka tempatan yang sentiasa mendukung nama Malaysia dalam setiap langkah perjalanan kami memperjuangkan rekaan fesyen di sini juga merentasi sempadan negara,” kata Rizman.

“Kami menambahmaniskan gaya sopan itu dengan padanan kerubung yang begitu sinonim dengan Wanita Malaya. Baju Teluk Belanga pula dipilih sebagai tanda junjungan kasih kami buat Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim yang berasal dari Johor.

“Koleksi ini ialah satu dedikasi dan aspirasi Rizman Ruzaini buat perwira negara seperti Datuk Maharajalela, Dol Said, Yamtuan Amtah, Tok Janggut, Datuk Bahaman, Mat Kilau dan Tunku Abdul Rahman,” tambahnya, dipetik daripada klip video FB MOM selama dua minit 46 saat itu.

Kata Ruzaini, “bagaikan melihat sebutir berlian yang digilap berkilau yang kemudiannya diikat dengan emas dijadikan cincin di jari. Sungguh cantik, sangat sempurna.

“Bayangkan atlet kita yang mempunyai susuk tubuh yang tegap, menggayakan busana tradisional ini yang sopan dan klasik ini. Pasti ramai yang akan terpaku.

“Saya yakin transformasi yang akan menjadi kenangan manis untuk mereka juga kami sebagai sebagai perekanya.  

“Rizman Ruzaini juga meletakkan nilai atlet kita ini pada kedudukan yang tertinggi setinggi perjuangan mereka untuk membawa pulang pingat emas nanti,” katanya lagi. 


WARNA hijau zaitun dipilih bagi Pakaian Majlis Perasmian Olimpik 2024 oleh Team Mas. - Kredit foto: MOM


Rizman Ruzaini diundang MOM pada Januari 2024 untuk menyertai Malam Olimpik 2024 di ibu negara di mana para pereka fesyen tempatan diberikan peluang untuk menampilkan wawasan mereka mengenai apa yang atlet kita patut pakai pada majlis pembukaan Sukan Olimpik Ke-33 itu.

Rizman berkata, “kami memilih skim warna hijau zaitun dengan motif keemasan kerana warna ini memberi satu aura klasik dan di bawah pantulan cahaya, ia akan memancarkan efek keemasan simbolik harapan untuk atlet kita membawa pulang pingat emas untuk Malaysia.

“Kami persembahkan cetakan motif songket ke atas busana sebagai pengiktirafan kami buat mereka. Songket mempunyai nilai sejarah yang tinggi sebagai fabrik warisan agung turun-temurun.


CETAKAN motif songket busana perasmian Olimpik Team Mas sebagai pengiktirafan Rizman Ruzaini kerana fabrik itu mempunyai nilai sejarah yang tinggi sebagai fabrik warisan agung turun-temurun. - Kredit foto: MOM


“Kehalusan tenunan dan kerumitan motif songket menggambarkan pangkat dan kedudukan golongan bangsawan. 

“Skaf yang kami cipta mewakili semangat patriotik kami sebagai rakyat Malaysia. Kami taburkan tudung ini dengan corak nukilan khas tentang Malaysia seperti tarikh kemerdekaan, Hari Kebangsaan, Tekad Perpaduan Penuhi Harapan, Negaraku Malaysia dan Merdeka! Merdeka! Merdeka!

“Perasaan saya sudah pasti teruja dan kena buktikan yang terbaik kepada negara kita,” katanya lagi. - KitaReporters


PERAGAWAN dan peragawati busana Team Mas Olimpik 2024 mengelilingi Rizman Nordin (baju hitam) dan Ruzaini Jamil. - Kredit foto: MOM

14
13
0
13
0
You will be interested