Juara bertahan, Johor Darul Ta'zim (JDT) FC tiada masalah untuk melangkah ke separuh akhir selepas menewaskan Negeri Sembilan FC (NSFC) 4-1 dan secara agregat 7-1 dalam perlawanan suku akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Sultan Ibrahim pada 23 September 2023.
Meskipun merehatkan ramai pemain utama, JDT kelihatan tidak mengalami kesukaran untuk bermain secara menyerang di hadapan penyokong mereka sendiri.
Empat jaringan Harimau Selatan hadir menerusi pemain import mereka iaitu Bergson Da Silva pada minit ke-6 dan 11', Juan Muniz minit ke-29 sebelum Fernando Forestierim melengkapkan kemenangan pada minit ke-91.
Gol Bergson dalam perlawanan itu menjadikan beliau mencetak 100 jaringan sejak menyertai JDT pada 2021 dan jumlah itu akan terus meningkat pada perlawanan seterusnya.
Pasukan pelawat pula berjaya peroleh satu jaringan menerusi Zamri Pin Ramli pada minit ke-39.
Bergson berjaya membuka akaun jaringan ke-100 bersama JDT sepanjang bersama pasukan itu. - Kredit foto Facebook JDT
Dalam perlawanan tersebut, tuan rumah dilihat lebih mendominasi perlawanan dan banyak melakukan serangan berbahaya.
Sementara pasukan pelawat terus bergelut untuk mengimbangi kekuatan JDT meskipun melakukan pertukaran pemain untuk memberi tenaga baharu dan meningkat intensiti permainan.
Ini menunjukkan perbezaan antara kedua-dua pasukan dari segi pemain yang ada, sekali gus memberi kesan dari segi permainan yang ditampilkan dalam setiap perlawanan.
Skuad kendalian Esteban Solari akan menunggu pemenang antara Sabah dan Perak pada separuh akhir untuk membuat perhitungan ke perlawanan akhir. - KitaReporters