Seni & Sukan 13 Sep, 2024

5 wakili Malaysia! Final Kejohanan Pemain Golf Amatur Dunia (WAGC)! Phuket, 25 Okt hingga 2 Nov 2024!

@amran mulup
Bekas wartawan Utusan Malaysia yang kini bermastautin di Melaka. Boleh dihubungi melalui emel [email protected]

Share this


LIMA pemain golf amatur melayakkan diri mereka untuk mewakili Malaysia pada saingan final Kejohanan Pemain Golf Amatur Dunia (WAGC) di Phuket, Thailand dari 25 Oktober hingga 2 November 2024 ini.

Mereka layak selepas dua hari mengharungi saingan sengit pada aksi final Siri Golf Amatur Nasional Perodua (PNAGS) 2024 di Forest City Golf Club, Johor pada Isnin dan Selasa (9 dan 10 September 2024) lalu.

Lima pemain yang layak itu ialah Johan Gwee (medal A), Choo Kueh Fong (medal B), Muhammad Feyyaz Ashaari (medal C), Sia Chee Kian (medal D) dan Nazaruddin Moksin (medal E).

Mereka adalah antara 70 pemain dari seluruh negara berentap dalam dua pusingan membabitkan 36 lubang di Lapangan Legacy dan Classic menerusi format `strokeplay' untuk bergelar juara kebangsaan.

Lima pemain tersebut akan membawa cabaran negara bersaing dengan pemain amatur terbaik dalam kalangan 40 negara beraksi di tiga lapangan gol terkenal di Phuket iaitu The Red Mountain, Kelab Golf Laguna dan Blue Canyon.

Lebih menarik kesemua perbelanjaan pemain terbabit akan ditanggung sepenuhnya oleh Perodua.


Barisan lima pemain yang Berjaya melayakkan diri ke final Kejohanan Pemain-Pemain Golf Amatur Dunia (WAGC) di Phuket, Thailand bergambar bersama Adam Adli Abd. Halim dan Asmat Kamaludin di Forest City Golf Club, Johor.


Sementara itu, Terengganu merangkul gelaran juara negeri pada saingan kali ini dengan mengetepikan cabaran Pahang dan Pulau Pinang yang berpuas hati di tempat kedua dan ketiga.

Pasukan itu diperkuat oleh Mohd Firdaus Ahmad selaku kapten bersama Muhammad Nor Hisham Husain, Ng Kim Yong, Sia Chee Kian dan Kamaruzzaman Mansor.

Hadiah kepada pemenang telah disempurnakan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd. Halim dan turut dihadiri Pengerusi Perodua, Tan Sri Asmat Kamaludin dan Ketua Pegawai Eksekutif Delta World dan Presiden WAGC Malaysia, Isac Saminathan.

Asmat dalam ucapannya berkata, pihaknya sentiasa berbesar hati untuk terus menyokong PNAGS sebagai sebahagian tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat berkenaan.

“Sebagai bekas pemain golf saya amat menghargai nilai-nilai yang diterapkan seperti kejujuran, disiplin, rasa hormat, tabah dan peningkatan diri yang berterusan.

“Perodua kekal komited dan berbesar hati untuk menyokong PNAGS sebagai sebahagian daripada tanggungjawab social korporat (CSR) kami,” ujarnya.


Aksi Johan Gwee yang muncul juara medal A pada aksi final Siri Golf Amatur Nasional Perodua (PNAGS) 2024 di Forest City Golf Club, Johor.


Sementara itu Saminathan pula berkata, sokongan dari awal penganjur menjadikan PNAGS sebagai pertandingan golf amatur paling berprestij di Malaysia.

Dalam pada itu Pengerusi Penganjur kejohanan, Lokman Ishak berkata, saingan pada tahun ini bermula pada Mac 2024 lalu yang membabitkan 14 pusingan kelayakan diadakan di setiap negeri.

Katanya, sebanyak 40 negara sudah mengesahkan penyertaan saingan WAGC termasuk Malaysia dengan saingan diadakan di tiga lapangan gol terkenal iaitu The Red Mountain, Kelab Golf Laguna dan Blue Canyon.

Sebagai rekod, PNAGS menarik penyertaan lebih 20,000 pemain golf amatur dari seluruh Malaysia dan luar negara sejak ia mula dipertanding.

Saingan PNAGS 2024 mendapat pengiktirafan Persatuan Golf Malaysia (MGA) dengan sokongan kuat Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Tourism Malaysia selain penajaan daripada pelbagai syarikat. - KitaReporters


Lokman Ishak (dari kiri), Ng Kim Yong, Kamaruzzaman Mansor, Asmat Kamaludin, Adam Adli Abd. Halim, Mohd Firdaus Ahmad, Isac Saminathan, Muhammad Nor Hisham Hussain dan Sia Chee Kian bergambar kenangan bersama pemain Terengganu yang muncul juara kebangsaan.

7
14
0
12
0
You will be interested