Seni & Sukan 16 Nov, 2024

Laos ternyata lauk yang liat! Bagaimana kalau India? Jaga-jaga Harimau Malaya bila di Hyderabad nanti!

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, menyertai akhbar mingguan tabloid Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. E-mel: timmediasepaktakraw@yahoo.com

Share this

PENJAGA gol Laos, Keo Oudone Souvannasangso nyaris menghukum lawan seposisinya, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed dengan sepakan kidal lebih 100 meter yang mampu menjadikan kedudukan 2-2 pada minit ke-77. - Kredit foto: FAM 


DUA kesilapan, satu menghasilkan gol penyamaan Laos dan satu hampir menghukum Ahmad Syihan Hazmi Mohamed dengan sepakan jarak jauh penjaga gol lawan.

Adegan yang tidak diingini Harimau Malaya ini berlaku pada minit ke-34 dan 77 perlawanan antarabangsa tahap 1 di Stadium Lembaga Pelabuhan Thailand (PAT), Bangkok, Thailand pada 14 November 2024.

Bek kanan, Matthew Davies gagal membendung hantaran lambung Laos sehingga bola disambar dalam larian deras oleh Kydavone Souvanny untuk menyamakan kedudukan 1-1.

Mujurlah tangan Syihan sempat menguis keluar bola yang telah tinggi melangkaui tetapi nyaris menggolek ke gawang dek sepakan kidal Keo Oudone Souvannasangso dari kawasan golnya lebih 100 meter itu. Jika tidak, jadi 2-2 pula.


HARITH Haiqal Adam Afkar menjaringkan gol sulung Harimau Malaya dengan tandukan daripada sepakan sudut Arif Aiman Hanapi. - Kredit foto: FAM


Harimau Malaya penghuni ranking ke-133 dunia, walau bagaimanapun menang 3-1 terhadap Si Gajah Juta dengan mendahului seawal minit keenam menerusi tandukan bek tengah, Harith Haiqal Adam Afkar daripada sepakan sudut sayap kanan Arif Aiman Hanapi.

Stuart Wilkin menyudahi sepakan penalti untuk gol kedua selepas perantara gantian Harimau Malaya berdarah kacukan itu dijatuhkan oleh Sengdaovy Hanthavong dalam kotak penalti pada minit ke-64.

Kemenangan pelawat dilengkapkan satu lagi gol penalti oleh Sergio Aguero, minit ke-83 angkara terjahan Phoulaung Vinnavong terhadap penyerang naturalisasi kelahiran Argentina itu.

Bayangkan Laos yang di ranking ke-187 dunia pun, masih mampu menyambar satu gol dan hampir membolosi sebutir lagi, lantas bagaimana nanti kalau India, penghuni ranking ke-125 yang akan pasukan kita tandangi di Stadium Gachibowli, Hyderabad, 18 November 2024 ini?

“Laos pasukan yang liat, tidak mudah menyerah dan mereka cuba sedaya upaya tetapi akhirnya kami dapat hasilnya. 

“(Perlawanan ini) di luar gelanggang sendiri, membuatkan kami cepat bangkit dalam babak kedua dan menuntut kami menumpukan perhatian dari awal.

“India cabaran yang sengit dan pasukan bagus di gelanggang sendiri. Mereka pasti menagih kemenangan,” ulas ketua jurulatih negara, Pau Marti Vicente merujuk adegan kesilapan individu itu dalam video kiriman Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).


STUART Wilkin tenang menyudahi sepakan penalti untuk jaringan kedua pasukan negara. - Kredit foto: FAM


Tiga pemain meraih kap sulung Harimau Malaya iaitu Zhafri Yahya, Fergus Tierney dan Fazrul Amir Zaman yang menggembirakan pengendali warga Sepanyol itu, namun mengakui sukar menilai sesiapa yang beraksi sepanjang babak pertama gara-gara hujan lebat dan keadaan padang ditakungi air. 

“Babak pertama keadaan padang (Stadium PAT) bagi saya mungkin lebih baik tunggu dan tunda sepak mulanya tetapi permainan diteruskan dan kami perlu sedikit masa untuk sesuaikan diri dan corak permainan kami dalam situasi ini.

“Apabila anda bersedia dalam latihan dan anda dapati keadaan padang ini kemudian, amat sukar untuk bermain,” katanya yang telah mengumpul kemenangan ketiga daripada empat perlawanan dengan Malaysia sejak menggantikan warga Korea Selatan, Kim Pan-gon mulai 16 Julai 2024 lalu.

Babak kedua kata Pau, corak permainan pasukannya mulai meningkat dengan penguasaan bola dan penciptaan banyak peluang gol sekalipun kemenangan yang diraih ini diakuinya tetap penting untuk mampu melonjakkan ranking dunia Malaysia.

“Kami perlu pertingkat bahagian penyudahan kerana  semua jaringannya dengan sepakan sudut dan sepakan penalti (aturan bola mati).Kami terlepas banyak peluang gol permainan terbuka. 

"Ini perlu diperbetul apabila dalam kotak penalti. (Pemain) perlu lebih gagah dan sekurang-kurangnya pastikan tidak tersasarnya,” kata Pau, 41. - KitaReporters


AHMAD Syihan Hazmi Mohamed (16) mujur sempat bertindak balas dengan pantas setelah menyedari kelalaiannya mengawasi sepakan Keo Oudone Souvannasangso biarpun masih dihambat dan diuji sepakan susulan Phousomboun Panyavong. - Kredit foto: FAM


MALAYSIA: 

Ahmad Syihan Hazmi Mohamed, Matthew Davies, Dion Cools, Harith Haiqal Adam Afkar, Adib Ra’op (Daniel Sang Ting), Nooa Hamzah Laine (Syamer Kutty Abba), Zhafri Yahya (Sergio Aguero), Safawi Rasid (Stuart Wilkin), Paulo Josue (Fergus Tierney), Arif Aiman Hanapi, Syafiq Ahmad (Fazrul Amir Zaman).

7
13
0
15
0
You will be interested