Seni & Sukan 19 Oct, 2024

Video| Kupas isu halal haram ibu tumpang! Drama bersiri Senyawa! Lakonan Shahz, Trisha dan Hariesa!

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: [email protected]

Share this


Dari kiri: Trisha Ooi, Shah Jaszle dan Siti Hariesa memainkan watak utama dalam drama 'Senyawa'.


Menghalalkan hukum yang haram seperti ‘ibu tumpang’ adalah initipati dan cabaran yang berat dihadapi pengarah Eyra Rahman melalui naskhah terbaharu yang diungkap dalam drama bersiri, ‘Senyawa’.

Bakal bersiaran dalam aplikasi pemstriman popular Asia, iQIYI bermula pada 25 Oktober 2024 ini, ‘Senyawa’ yang mengisahkan tentang isu tabu, perihal ‘ibu tumpang’ yang terlarang dalam kalangan umat Islam dibarisi pelakon handalan seperti Shahz Jaszle, Trisha Ooi, Siti Hariesa, Datin Nina Juren, Liang Chia, Aleza Shadan, Heryanto Hassan dan ramai lagi,

“Isu yang diangkat dalam drama ini sangat berat kerana ia berkaitan dengan hukum halal dan haram. Senyawa adalah sebuah naskah di mana pendekatan yang diambil adalah menghalalkan hukum yang haram. 

"Kerana desakan hidup, fikiran waras seseorang terpesong dengan memilih jalan mudah iaitu menghalalkan perkara yang haram seperti ibu tumpang, semua ini berlaku di atas sifat kepentingan tanpa memikirkan keburukan yang mendatang,” ujar Eyra Rahman pada majlis sidang media ‘Senyawa’ yang berlangsung di Dadi Sinema, Pavilion, Kuala Lumpur baru-baru ini.


Pengarah, Eyra Rahman.



Turut hadir Pengurus Besar iQIYI Malaysia & Singapura, Jony Deng serta barisan pelakon utamanya, Trisha Ooi, Shah Jaszle,  Siti Hariesa serta Nina Juren (gambar atas, kanan).

Cabaran memikul tanggungjawab ‘Senyawa’ bukan sahaja dirasai Eyra tetapi turut dirasai hampir kesemua pelakon yang terlibat membawa watak masing-masing.

Drama mengisahkan tentang Zabrina (lakonan Trisha Ooi), seorang ahli perniagaan wanita berjaya hidup dalam rumah tangga yang bahagia, namun di sebalik kejayaannya, Zabrina berdepan dengan pelbagai konflik. 

Setelah mendirikan rumah tangga dengan Iskandar (lakonan Shahz Jaszle), Zabrina mengalami keguguran dan disahkan menghidap ‘cervical insufficiency’. 

Tertekan dengan desakan ibu mertuanya, Dato’ Asmida (lakonan Nina Juren) yang mahukan cucu, Zabrina tekad mendapatkan 'ibu tumpang' kerana tidak sanggup dimadukan. 

Pertemuan dengan Lutfiyah (lakonan Siti Hariesa), seorang gadis kampung berpewatakan seakan dirinya membuatkan Zabrina merasakan Lutfiyah calon yang sesuai sebagai ibu tumpang.



“Saya banyak berbincang dengan pengarah, Eyra untuk membina dan mencipta watak seberat Zabrina. Bayangkan saya perlu bermain dengan emosi dari seorang yang dominan dan pada masa yang sama sangat rapuh hatinya, berlaku pergolakan jiwa di situ. 

"Namun, saya puas dapat berikan yang terbaik dan berharap penonton turut merasainya,” kongsi Trisha Ooi tentang watak Zabrina.

Beliau mengakui cabaran menjayakan watak Zabrina sangat banyak dan berat  kerana perlu membuat pelbagai persiapan,

Bagi Shahz Jaszle, watak suami sering dilakonkannya tetapi apabila melibatkan isu 'ibu tumpang' belum pernah dihadapinya.

“Saya perlu menyelami watak Iskandar yang terlalu menyayangi isterinya sehingga sanggup berkorban melakukan perkara yang dilarang oleh agama.

“Nasihat saya, sebagai khalifah dalam sebuah keluarga, suami harus membimbing rumah tangga kerana kunci utamanya adalah agama, dan sebagai orang Islam kita harus mempertahan yang halal dan menidakkan yang haram,” jelasnya.

Dalam pada itu, Siti Hariesa yang membawakan watak Lutfiyah merasakan banyak mesej berguna dalam drama ini. 

“Selain lakonan ketiga-tiga watak yang mencabar, banyak pengajaran berguna saya pelajari. Dalam sesebuah perhubungan, harus ada ketelusan dan jangan banyak berahsia, terutama dengan pasangan kita. 

"Beringatlah sebelum bertindak dan jangan terlalu ikutkan perasaan sehingga agama yang tergadai,”  pesannya.



Sementara itu, Jony Deng (gambar atas, tengah) berharap sebagaimana drama-drama bersiri keluaran iQIYI yang terdahulu, ‘Senyawa’ mendapat sambutan daripada penonton dan menjadikan ia sebagai pengajaran kepada masyarakat Malaysia.

‘Saya juga berharap agar penonton dapat berhibur dengan jalan ceritanya yang asli, barisan pelakon handalan dan pengajaran tentang hukum agama yang dapat dijadikan iktibar,” akhiri Jony Deng memberi pendapatnya.

‘Senyawa’ akan mula bersiaran pada 25 Oktober 2024, jam 9 malam setiap Jumaat dan Sabtu) menjanjikan sebuah pengalaman menarik dengan aspek kekeluargaan, percintaan dan pengorbanan. - KitaReporters

10
17
0
15
0
You will be interested