Seni & Sukan 09 Nov, 2024

Video| Jom Langkah Seiringan ke Mekah dengan Exists! Teruja tunaikan umrah! Ajak peminat ikut sekali!

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: [email protected]

Share this


Pengalaman pertama menjejakkan kaki ke Tanah Suci Mekah sama ada untuk mengerjakan umrah atau pun haji, tidak dinafikan akan timbulnya rasa kerinduan untuk kembali buat kali kedua, ketiga dan selagi mampu.

Itulah istimewanya aura dan rasa yang tertanam dalam sanubari setiap jemaah yang kembali ke tanah air selepas mengerjakan umrah lazimnya pada kali pertama mahu pun seterusnya.

“Semua orang menyimpan impian untuk menjejak kaki ke Tanah Suci Mekah. Alhamdulillah, pada tahun lepas (2023) saya berkesempatan menunaikan umrah bersama isteri, anak-anak dan mentua.

“Tak sangka ada lagi peluang untuk ke sana dan kali ini bersama-sama anggota Exists, sudah pasti suasananya berbeza. 

"Kiranya kali ini lebih istimewa, ibarat pergi dengan adik-beradik kerana kami semua sudah lama mengenali antara satu sama lain,” ujar vokalis kumpulan Exists, Ezad Lazim pada majlis sidang media ‘Umrah Langkah Seiringan Exists’ yang diadakan di Royal Chulan, The Curve pada 5 November 2024 lalu.



Exists yang kini dianggotai Ezad Lazim (vokalis), Along atau Azhrul Nasir (gitar utama), Musa Radhi (bass), Ujang atau Saharudin Saniman (dram) dan Ajai @ Mohd Faizal Maas (keyboard) bakal menunaikan umrah bersama dengan syarikat Darmina Revolution pada 22 Januari 2025 hingga 2 Februari 2025. 

Ezad yang sebelum ini pernah menunaikan umrah tidak sangka berpeluang untuk menjejak kaki ke Mekah dan Madinah lagi. 

Baginya, pelawaan yang ditawarkan oleh Darmina Revolution untuk pergi menunaikan umrah bersama anggota Exists adalah sesuatu yang tidak diduga. 

“Tak sangka tiba-tiba Allah bukakan rezeki untuk kami pergi umrah bersama-sama. Saya rasa gembira dengan peluang ini walaupun sudah pernah pergi, anggota Exists yang lain tak pernah pergi lagi. Jadi bila mereka semua teruja untuk pergi, dan ini adalah rezeki untuk kami. 

“Ini juga adalah salah satu peluang yang baik dan rezeki Tuhan nak bagi, tiada siapa yang tahu. Di samping itu juga, Exists pun mengalu-alukan juga kalau ada sesiapa yang nak pergi umrah bersama kami,” kata Ezad.

Pelawaan daripada Darmina Revolution kira-kira dua bulan lalu, umpama bulan jatuh ke riba kerana anggota Exists tidak menyangka impian untuk menunaikan umrah dimakbulkan Allah. 


Ezad Lazim (kiri) bersama Ahmad Fawzy Mohd Hashim.


‘Langkah Seiringan’ yang merupakan lagu popular dari album sulung ‘Exist’ yang diterbitkan pada 1991 diambil sebagai tajuk program umrah sebagai usaha mengajak peminat dan orang ramai untuk mengatur langkah bersama mereka menuju ke Tanah Suci. 

‘Umrah Langkah Seiringan Exists’ adalah satu platform bertujuan untuk memudahkan orang ramai mencari pakej pelancongan luar dan dalam negara serta pakej umrah yang ditawarkan oleh syarikat agensi penggembaraan yang berada di Malaysia,” jelas Ketua Pegawai Operasi Darmina Revolution, Ahmad Fawzy Mohd Hashim.

Menurutnya, melalui Darmina Revolution orang ramai yang ingin menunaikan umrah tidak perlu bersusah payah kerana segala urusan akan dilaksanakan mengikut jadual yang telah ditetapkan. 

“Pihak kami sentiasa berusaha dan memastikan segala urusan jemaah yang berdaftar dengan kami mendapat keselesaan dengan pakej yang dipilih. Pihak kami juga menawarkan harga rendah dan berpatutan agar ramai yang berpeluang untuk menunaikan umrah,” tambah Ahmad Fawzy.

Jelasnya lagi, pakej yang ditawarkan dalam platformnya amat berpatutan mengikut konsep pendaftaran awal,

“Sesiapa yang daftar awal  akan mendapat harga diskaun 5%-20% mengikut pakej dan kouta yang ditawarkan. Harganya adalah murah berbanding kalau anda membeli atau mendaftar pada saat akhir kerana harga yang ditawarkan adalah harga biasa,” sambung Ahmad Fawzy. 

Selain dari pakej umrah, platform Darmina Revolution juga menawarkan pakej pelancongan ke seluruh dunia dengan harga yang berpatutan. 



Sementara itu, Ajai turut melahirkan rasa teruja dan terharu kerana mendapat jemputan untuk menjadi tetamu Allah.

"Sekalung penghargaan juga saya ingin ucapkan kepada rakan-rakan Exists yang sama-sama meredah pelbagai cabaran pada permulaan karier dalam industri. 

"Tak diduga rezeki Allah, ditakdirkan kami akan bersama-sama ke Kota Mekah, insya-Allah. Semoga Allah akan permudahkan segala urusan kami semua dari mula sehinggalah ke akhir ibadah," harapan Ajai. 

Seperti Ajai, rakannya, Musa yang belum pernah ke Tanah Suci turut menghargai peluang yang ditawarkan Darmina Revolution, waima selama ini beliau hanya membaca Sirah Nabi sahaja.

“Perasaan saya amat senang sekali apabila diberitahu yang kami berpeluang untuk melakukan umrah. Saya tidak pernah buat umrah, selama ini saya hanya membaca sirah Nabi SAW sahaja.

"Melalui bacaan pun air mata saya boleh gugur, ini pula dapat menziarahi lokasi peninggalan Rasulullah SAW serta tempat bersejarah yang lain nanti.

“Sudah pasti ini adalah peluang yang terindah buat saya. Lebih indah lagi kerana saya akan pergi ke sana dengan band Exists nanti, terima kasih atas rezeki ini. 

"Cuma saya mohon, dikurniakan kesihatan yang baik agar dapat menikmati peluang tersebut,” kata Musa terus terang. - KitaReporters


Kumpulan Exists (dari kiri) Musa, Ezad, Ajai, Along dan Ujang.

10
12
0
13
0
You will be interested