Seni & Sukan 31 May, 2024

Video| Bagaimana kumpulan Dolla tanpa Syasya? Rasai era kelahiran semula pada konsert 3 Ogos 2024!

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: [email protected]

Share this


Kumpulan Dolla.. Angel, Sabronzo dan Tabby.


Pengunduran Syasya daripada menganggotai kumpulan penyanyi wanita yang sedang meningkat naik, Dolla ternyata tidak mematahkan semangat tiga rakan lainnya, iaitu Angel, Sabronzo dan Tabby untuk terus mencipta kejayaan.

Bersedialah untuk menyaksikan era baharu Dolla melalui konsert ‘Dolla Re:Birth The Experience’ yang akan berlangsung pada Sabtu, 3 Ogos 2024 di Zepp Kuala Lumpur.

“Konsert Dolla ini akan menjadi era baharu, kelahiran semula Dolla. Kami sedang menyediakan susunan lagu Dolla yang baharu dan segar untuk konsert itu. Sudah tentu persembahan yang tidak pernah dilihat oleh sesiapa pun sebelum ini! 

"Ia akan menjadi pengalaman yang penuh emosi dan istimewa untuk iDollas,” kata Angel atau Angelina Chai Ka Ying pada majlis sidang media mengumumkan Konsert Dolla bertempat di Planetarium Negara, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Salain Sabronzo dan Tabby, turut hadir memeriahkan majlis terdiri dari Pengarah Urusan Universal Music Malaysia, Kim Lim dan Rohit Rampal selaku Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Pengasas Hitman Solutions sebagai pihak penganjur konsert.



Menyambung kata-kata Angel, Tabby berharap konsert yang bakal diadakan dapat menjadi pengalaman dan kenangan buat semua iDollas sambil memaklumkan matlamat mereka  adalah untuk peminat gembira dan berseronok sambil mencipta kenangan yang akan kekal selama-lamanya.

“Kami berhasrat mengadakan persembahan yang menakjubkan dan mencipta pengalaman terbaik untuk peminat tercinta kami. Jadi bersedia untuk dibawa ke dunia Dolla,” jelas Tabby atau nama penuhnya, Tabitha Ariel Lam.

Seorang lagi ahli kumpulan Dolla, Sabronza juga berkongsi sentimen yang sama tentang rancangan masa hadapan.

“Kelahiran semula Dolla memegang visi baharu yang berani, satu evolusi yang menangkap intipati keperibadian kami hari ini. 

"Kami bakal melangkah ke satu ruang yang belum diterokai, menerima perubahan dan menghindari segala rintangan yang tidak pernah berlaku sebelum ini,” ujar Sabronza atau nama sebenarnya, Wan Sabrina Wan Rusli.

Beliau berharap peminat bersedia untuk menyaksikan era baharu Dolla dan bukan sekadar konsert.

“Ini adalah pernyataan dedikasi kami untuk sentiasa berkembang berserta peluang tanpa had di hadapan. Kami teruja untuk memberi peluang kepada semua yang telah bersama kami untuk mentakrifkan semula Dolla yang baharu,” tambah Sabronzo sambil membayangkan peminat boleh menjangkakan karya yang lebih gah dan pada masa yang sama lebih peribadi.

Seiring masa berlalu, Dolla akan semakin terlibat dalam semua aspek muzik dan diharapkan penonton dapat mendengar sentuhan mereka dalam cara mereka menyampaikan dan menjadikan lagu-lagu lebih unik untuk pendengar dan peminat. 

“Yang pasti, kami tidak akan memperlahan rentak kami untuk karya-karya pada masa hadapan,” bingkas Tabby pada hujung bicara.



Dalam pada itu, Hitman Solutions yang sentiasa bersemangat untuk menonjolkan bakat tempatan mahu memberikan kumpulan kelahiran Malaysia ini kesempatan untuk meraikan kejayaan dan kerja keras mereka selama ini.

“Bukan sekadar penghibur, Dolla telah menunjukkan bahawa kerja keras dan cita-cita besar adalah apa yang diperlukan untuk mencapai impian sendiri, sesuatu yang boleh diimpikan oleh semua artis yang akan datang," kata Rohit Rampal.

Konsert itu juga jelasnya akan membolehkan Dolla mempamerkan semua yang telah mereka pelajari sejak kemunculan mereka pada tahun 2019  di bawah label Universal Music Malaysia.

“Konsert ini bukti perjalanan luar biasa dan kerja keras Dolla malah mempamerkan dedikasi dan bakat mereka yang mewakili pencapaian penting dalam misi label kami untuk memartabatkan senario muzik tempatan dan membawa artis Malaysia ke pentas antarabangsa, “ sambung Kim Lim pula.

Menurut Kim, Universal Music Malaysia sangat berbangga dengan pencapaian Dolla dan akan berusaha gigih menghidupkan semula kumpulan Dolla sekali gus menetapkan piawaian baharu untuk eksport serantau.  

“Marilah kita semua meraikan kejayaan Dolla dan masa depan muzik Malaysia yang bertenaga," akhiri Kim Lim.


Dari kiri: Kim Lim, Rohit Rampal dan Kumpulan Dolla.


Hanya dalam beberapa tahun, kumpulan ini yang bermula dengan empat orang ahli telah berjaya meninggalkan kesan dalam dunia muzik umum. 

Melangkaui Malaysia, nama Dolla telah diiktiraf di pelbagai pelosok dunia  berkat muzik mereka yang unik dan gerakan tarian yang lincah.

Bagi iDollas  dan peminat baharu Dolla boleh mendapatkan tiket konsert pada empat kategori harga meliputi RM149 (Classic), RM249 (Impikan), RM199 (Damelo)  dan Boss Up VVIP Box yang boleh memuatkan 10 orang sekali gus pada harga RM9,888) melalui laman sesawang diwww.hitmanlive.com bermula pada 30 Mei 2024. - KitaReporters

21
11
0
10
0
You will be interested