.
Gabungan dua kuasa besar hiburan dari dua dunia berbeza – muzik dan animasi – menyaksikan kumpulan popular Indonesia, Nidji, kembali ke Malaysia dengan semangat baharu apabila mereka berganding bahu bersama jenama animasi tempatan tersohor, Ejen Ali The Movie 2 (EATM2).
Selepas kejayaan lagu tema ‘Teman Sejati’ yang kini semakin mendapat tempat di hati peminat, kehadiran Nidji bukan sahaja sekadar untuk mempromosikan lagu, tetapi juga untuk menjalin hubungan lebih erat bersama peminat tempatan menerusi pelbagai aktiviti eksklusif yang berlangsung sempena musim cuti sekolah.
Sudah pasti ‘Teman Sejati’ popular kerana gabungan melodi yang segar dengan lirik yang menyentuh emosi, seiring dengan tema utama filem -- persahabatan, perjuangan, dan keberanian,
Lagu ini dengan cepat menjadi siulan ramai dan simbol kepada ikatan murni antara watak-watak utama dalam filem.

Bagi meraikan kolaborasi ini, acara istimewa ‘Ejen Ali Nonton Bareng with Nidjiholics’ berlangsung pada 1 Jun 2025 ini di dua lokasi utama -- GSC IOI City Mall, Putrajaya (West) dan GSC One Utama.
Acara ini dijangka menjadi antara sorotan utama musim cuti persekolahan, memikat bukan sahaja pengikut tegar kumpulan Nidji, atau Nidjiholics, tetapi juga peminat setia dunia Ejen Ali dari seluruh negara.
Namun keseruan tidak berhenti di situ.
Pada 3 Jun 2025, Nidji akan membuat penampilan khas di TGV Central i-City, Shah Alam di mana mereka dijadualkan untuk berkunjung ke empat dewan tayangan selepas sesi tayangan jam 12:30 tengah hari, 12:45 tengah hari, 1:00 petang dan 1:15 petang.
Suasana yang lebih santai dan dekat dijangka menambahkan kemeriahan, dengan peluang bergambar bersama kumpulan muzik tersebut serta maskot animasi popular, selain hadiah-hadiah eksklusif menanti peminat bertuah.

Kumpulan Nidji dari Indonesia.
Sebagai penutup kepada siri penampilan mereka di Malaysia, program eksklusif bertajuk Melodi Showcase: Nidji x EATM2 Music Tour akan disiarkan di TV3 sepanjang bulan Jun.
Persembahan ini bakal menghidupkan kembali lagu-lagu hits Nidji yang pernah mewarnai zaman remaja ramai peminat, dengan suntikan baharu yang diinspirasikan oleh semangat dan dunia Ejen Ali.
Disiarkan sempena ulang tahun ke-41 TV3, program ini dijangka mendapat sambutan hangat penonton pelbagai lapisan umur.
Untuk rekod, Ejen Ali The Movie bukan sekadar sebuah filem animasi biasa -- ia merupakan karya penuh semangat yang mengangkat jati diri tempatan, diperkaya dengan nilai kekeluargaan, teknologi dan keberanian.
Kerjasama strategik bersama Nidji membuktikan bahawa muzik dan animasi mampu bersatu dalam menyampaikan mesej yang kuat dan menyentuh hati.
Sekuel kedua filem animasi popular ini 'EATM2', menyasarkan kutipan pecah panggung sebanyak RM60 juta susulan kejayaan luar biasa filem pertama yang meraih kutipan RM30 juta pada 2019.
Setakat ini sejak ditayangkan pada 22 Mei 2025, Ejen Ali The Movie 2 (EATM2) berjaya mengutip sebanyak RM21.9 juta selepas lapan hari tayangan.

Poster 'Ejen Ali the Movie' dulu (2019) dan sekarang Ejen Ali 2. (2025).
Ejen Ali mengangkat watak seorang pelajar bernama Ali yang tanpa sengaja terjerumus ke dalam dunia perisikan, sebelum dilantik menjadi ejen muda bagi organisasi rahsia dikenali sebagai MATA.
Sejak itu, Ali memikul tanggungjawab besar dalam melindungi Cyberaya – sebuah bandar futuristik yang sarat dengan misteri dan ancaman. - KitaReporters.