Seni & Sukan 08 Jul, 2025

Video| Sentuhan Rashid, Soon Kit! Pembikinan filem Sentuhan Wira! Kisah pejuang Piala Thomas 1992!

@fauzan uda ahmad
Bekerja dengan Utusan Malaysia dari 1985 hingga 1996. Menjadi wartawah hiburan, koresponden di Jakarta, Indonesia dan Ketua Meja Hiburan. juga bertugas dengan beberapa media lain

Share this

.


Badminton adalah antara sukan yang berjaya mengharumkan nama negara. Malaysia berjaya menjadi juara sebanyak lima kali dalam kejohanan paling berprestij, Piala Thomas.

Berjaya menjadi juara bagi tiga kejohanan Piala Thomas awal iaitu pada 1949, 1952 dan 1955. Kemudian pada 1967 di Jakarta, Indonesia. Dan kali terakhir pada 1992 di Stadium Negara, Kuala Lumpur iaitu edisi ke-17 pada 16 Mei 1992.

Soon Kit (kiri) dan Rashid menandatangani MoU sambil diperhati oleh Hans Issac (berdiri kanan) dan Richard Chiam


Selepas itu, selepas lebih tiga dekad, Malaysia masih gagal merampas kembali Piala Thomas yang menjadi idaman setiap negara yang serius dalam sukan itu.

Pelbagai usaha dilaku untuk kembali merampas Piala Thomas, antaranya mencari dan membimbing pemain muda untuk diketengahkan.

Dan filem adalah salah satu cara untuk menarik minat generasi sekarang berminat dalam sukan badminton dan mengharumkan negara.

Untuk itu, filem ‘Sentuhan Wira’ diusaha oleh Victory Pictures memapar kisah di sebalik kehebatan semangat berpasukan Piala Thomas 1992 dan bagi menarik minat generasi muda berminat menceburi sukan badminton.


‘Sentuhan Wira’ bukan sekadar mengisahkan kejayaan pemain Piala Thomas 1992, bahkan menonjol semangat perpaduan dalam pasukan negara ketika itu sehingga mampu menjadi juara.

Pasukan Piala Thomas 1992 diwakili adik-beradik Sidek, Datuk Rashid, Razif dan Datuk Jalani. Juga Foo Kok Keong, Datuk Cheah Soon Kit dan Soo Beng Kiang.
Rashid, Foo Kok Keong dan pasangan Soon Kit dan Beng Kiang memberi kemenangan  3-2  mengalahkan Indonesia. 

Ia bukan sahaja satu keriuhan di Stadium Negara, malah membuat seluruh rakyat Malaysia termasuk di luar negara bersorak girang menyaksikan siaran langsung melalui RTM. Ia tercatat dalam sejarah 'Hari Ini Dalam Sejarah'. 

Dan sejarah itu kini difilemkan. Bagi memastikan 'Sentuhan Wira'  memaparkan situasi sebenar menghadapi dan ketika bertanding dua bekas pemain pasukan itu Rashid dan Soon Kit dilantik selaku penasihat dan merangka jalan ceritanya serta aspek teknikal perlawanan.



Pembikinan filem ‘Sentuhan Wira’ dilancarkan secara rasmi oleh penerbit Victory Pictures Sdn Bhd di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada Rabu, 2 Julai 2025, serentak dengan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara pihak-pihak berkenaan yang disaksikan oleh Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Datuk Gerald Hans Isaac dan Pengarah Urusan Victory Picture, Tan Sri Richard Chiam. 

Menerusi MoU itu, Rashid dan Soon Kit yang juga tonggak skuad negara ketika itu, dilantik sebagai penasihat produksi. Selain itu, mereka terlibat secara langsung dalam pembangunan skrip bagi memastikan ketepatan fakta serta perjuangan sebenar disampaikan kepada penonton.

Cheah Soon Kit dan Soo Beng Kiang memberi mata kemenangan untuk Malaysia merampas Piala Thomas pada 1992.


Detik manis pasukan negara menjulang Piala Thomas 1992


Stadium Negara, Kuala Lumpur bergema dengan sorakan kemenangan rakyat Malaysia.


Menurut Rashid, filem ini bukan sekadar tentang badminton tetapi sebuah naskhah sinematik yang menyentuh perjuangan, kepercayaan dan kebanggaan sebagai rakyat Malaysia. 

Dia menyifatkan penerbitan filem ini sebagai platform penting untuk menceritakan pengalaman pemain terdahulu kepada generasi sekarang. Ia juga  menonjolkan semangat perpaduan yang wujud dalam pasukan negara ketika itu.



‘Sentuhan Wira’ akan diarah pengarah muda Lenny Ooi. 

Menurut Lenny dia bakal menampilkan gaya pengarahan aksi dengan penggambaran menitikberatkan aspek realisme dalam babak latihan serta perlawanan. Dia kini sedang dalam proses memilih pelakon yang pandai main badminton. 

Sementara itu menurut Richard Chiam, pengambaran dijangka bermula akhir 2025 dan dijangka ditayang pada awal 2027.

Bagaimanapun kos pembikinan tidak dinyatakan, namun dipercayai menelan kos agak besar.

Diharap ‘Sentuhan Wira’ akan menjadi sebuah filem bermutu dan memperlihatkan kelainan dalam pembikinan dan akan mendapat sambutan hangat di pasaran. - KitaReporters

10
12
0
12
0
You will be interested