Seni & Sukan 04 May, 2025

Yusof Haslam tunai janji! Derma kepada mangsa letupan gas! Bila Blood Brothers atasi kutipan Sheriff!

@fauzan uda ahmad
Bekerja dengan Utusan Malaysia dari 1985 hingga 1996. Menjadi wartawah hiburan, koresponden di Jakarta, Indonesia dan Ketua Meja Hiburan. juga bertugas dengan beberapa media lain

Share this

Yusof Haslam dan antara keadaan tragedi letupan gas di Putra Height. - Kredit foto NST


/

Datuk Yusof Haslam dan isteri, Datin Fatimah Ismail

Kerana bersimpati dengan nasib mangsa tragedi letupan gas di Putra Height, Subang Jaya, Selangor pada 1 April 2025 iaitu pada hari Syawal ke-2, pemilik Skop Productions, Datuk Dr Yusof Haslam, 71, dan isteri Datin Fatimah Ismail menyalurkan sumbangan sebanyak RM380,000. 

Sumbangan itu akan dilaksanakan pada akhir Mei 2025 melalui saluran tertentu seperti pihak berkuasa tempatan atau tabung bencana TV3.

Yusof berkata demikian kepada media pada majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri di kediamannya di Taman Melawati, Hulu Klang, Selangor pada malam Khamis, 1 Mei 2025.

Yusof Haslam ketika bercakap kepada petugas media pada majlis sambutan Aidilfitrinya. - Kredit foto: HarianMetro


Tambah Yusof, sudah menjadi niatnya untuk memberi sumbangan jika filem ‘Blood Brothers: Bara Jiwa’ berjaya mengatasi filem ‘Sheriff: Narko Integriti’. Kedua-duanya keluaran Skop Productions.

Pada hari ke-20 tayangan, ‘Blood Brothers’ sudah mengutip RM62 juta dan kini sudah mengatasi kutipan ‘Sheriff’ sebanyak RM59.4 juta yang merupakan filem dengan kutipan tertinggi pada tahun 2024. 

Yusof cukup terkesan dengan tragedi letupan di Putra Height itu yang berlaku beberapa hari sebelum tayangan di pawagam ‘Blood Brother: Bara Jiwa’ bermula pada 10 April 2025.

Dan Yusof juga  bersimpati dengan sejumlah rakannya adalah mangsa tragedi itu yang kehilangan harta benda dan trauma. Selain itu Yusof juga kagum akan kesudian Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menghulur sumbangan kepada mangsa. 

Justeru, dia berbincang dengan isteri akan niat itu jika kutipan filem ‘Blood Brother: Bara Jiwa” mengatasi ‘Sheriff: Narko Integriti’, mereka akan hulurkan sumbangan. 


Antara kemusnahan harta benda akibat tragedi letupan gas di Putra Height, Subang Jaya.


Seorang lagi insan seni yang memberi sumbangan terhadap mangsa tragedi itu ialah Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin melalui Yayasan Nur Jiwa.

Sejumlah tokoh korporat, individu tertentu, syarikat kerajaan dan swasta dan agensi tertentu turut menghulurkan sumbangan kepada mangsa. 

Ia termasuk perhatian dan bantuan daripada Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan negeri Selangor dalam pelbagai segi.

Sementara itu majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri Yusof dihadiri sejumlah insan seni, pekerja syarikat Skop Productions dan  tetamu-tetamu lain. - KitaReporters

16
11
0
9
0
You will be interested