.

Musim haji kali ini bakal menyaksikan satu revolusi dalam penyampaian program keagamaan menerusi sentuhan inovatif Radio Televisyen Malaysia (RTM) apabila ‘Salam Baitullah 2025’ kembali dengan sentuhan inovasi yang memukaukan.
Menerusi edisi 2025 ini, 'Salam Baitullah' untuk musim ke-17 tampil lebih segar dan dinamik dengan memperkenal penggunaan teknologi hologram dan kecerdasan buatan (AI) dalam penyampaian kandungannya.
Buat julung kalinya, program yang dinanti-nantikan ini akan memperkaya pengalaman visual penonton dengan persembahan ‘holografik’ yang memukau serta naratif yang dijana oleh teknologi AI.
Inovasi ini dijangka menjadikan program ini lebih interaktif, mendalam dan komprehensif, terutama dalam segmen ‘Rehlah Haramain’ dan ‘Muslim World’.
"Untuk konsep 'Rehlah Haramain' kita bawa garapan 'mixed reality' maksudnya situasi di lokasi sebenar ditambah dengan visual kecerdasan buatan AI.
"Di sini penonton akan dibekalkan dengan satu pengalaman menarik dengan menuunjukkan lokasi sebenar dan imbasan apa yang berlaku ketika zaman nabi. Itu jarang-jarang berlaku dalam bentuk visual dan penceritaannya," kata Mohammed Shahril Sarapudin selaku penerbit program bersama Nuraishah Mohd Yusof.

Majlis pelancaran 'Salam Baitullah 2025' yang berlangsung di Shah Alam pada 14 Mei 2025 menyaksikan Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Suhaimi Sulaiman (gambar atas) menyampaikan ucapannya yang disiarkan secara langsung di TV1 dengan berkonsepkan hologram.
Penggunaan teknologi canggih ini bukan sahaja bertujuan untuk meningkatkan kualiti tontonan, malah meletakkan 'Salam Baitullah 2025' sebagai program keagamaan pertama di RTM yang berani memanfaatkan teknologi AI dan hologram dalam menyampaikan mesej kerohanian secara moden dan berkesan.

Bakal bersiaran secara langsung dari Masjid Putra, Putrajaya, ‘Salam Baitulllah 2025’ menyasarkan untuk menarik lebih 2 juta penonton setiap malam dalam pelbagai platform RTM.
Sebanyak tujuh segmen utama telah dirangka dengan teliti bagi mempelbagaikan kandungan program, termasuklah Al-Bayan, Rehlah Haramain, Muslim World, Khabar Tanah Suci, Duyufurrahman, Hikmah Al-Hajj, dan Selingan Rohani.
Sebagai daya tarikan tambahan, RTM turut memperkenal segmen baharu iaitu Podcast Salam Baitullah 2025 yang akan disiarkan setiap hari bermula pukul 7.45 malam hingga 8.30 malam melalui platform media sosial RTM.
Rancangan ini akan dikendalikan oleh tiga personaliti yang berwibawa, iaitu Ustaz Fakhrul Radhi dan Ustaz Jalal Zaiki yang akan membawakan pengisian berbentuk ilmiah dan rohani dalam segmen utama.
Sementara itu, penyanyi popular Zizi Kirana akan mengendalikan Podcast Salam Baitullah 2025 dengan gaya yang lebih santai, segar dan kontemporari.

Majlis pelancaran 'Salam Baitullah 2025' di Shah Alam pada 14 Mei 2025.
Program yang menjadi antara siaran yang paling dinantikan setiap kali musim haji ini akan mula bersiaran pada 24 Mei sehingga 7 Jun 2025, sebanyak 16 episod berturut-turut, setiap hari pada pukul 9.00 malam hingga 10.30 malam di TV1 serta di semua platform digital RTM.
Menerusi pendekatan teknologi yang canggih ini, RTM terus mengungguli standard penyiaran Islamik dengan gaya yang kontemporari tanpa mengabaikan nilai kerohanian, menjadikan 'Salam Baitullah 2025' bukan sekadar tontonan biasa, tetapi sebuah pengembaraan rohani digital nasional yang membawa tema "Seruan illahi, Cahaya Nurani". - KitaReporters