Seni & Sukan 22 Apr, 2025

Video| Tahniah Marsha! Satu lagi artis wanita Malaysia hiasi billboard ikonik! Times Square, New York!

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: farizaum@yahoo.com

Share this

.


Nama penyanyi dan pelakon berasal Sabah, Marsha Milan Londoh, 39,  terus menjadi bualan bukan sahaja dalam arena industri muzik tempatan tetapi di pentas antarabangsa.

Hanya beberapa minggu selepas dinobatkan sebagai juara Anugerah Juara Lagu ke-39 (AJL39), penyanyi versatil ini terus melakar sejarah gemilang apabila wajahnya menghiasi salah satu mercu tanda paling ikonik di dunia, Times Square di New York City

Penghormatan ini diberikan susulan pelantikannya sebagai duta Equal Asia oleh platform penstriman muzik terkemuka, Spotify, bagi bulan April 2025.



Kejayaan luar biasa ini secara automatik meletakkan Marsha sebagai artis utama dalam playlist Equal Singapore & Malaysia di platform tersebut. 

Dua lagu hitnya, "Hening Rindu" dan "Tangisan Seorang Pendosa", kini menjadi tumpuan pendengar di rantau ini,  memperkukuh lagi status Marsha sebagai salah seorang bintang paling bersinar di Malaysia.

Inisiatif Equal merupakan gerakan global Spotify yang bermatlamat untuk memperkasa wanita dalam industri muzik. 

Melalui program ini, Spotify mengetengahkan bakat, pencapaian, dan suara-suara wanita dari pelbagai pelosok dunia, sekali gus memberikan mereka platform yang lebih luas untuk didengari. 



"Saya 'over the moon'! Ini adalah pengalaman pertama saya, dan saya amat berterima kasih atas peluang ini. Saya selalu membayangkan peluang seperti ini hanya wujud dalam angan-angan, tetapi alhamdulillah, ia kini menjadi realiti. 

“Sejak dulu, impian saya adalah untuk melihat wajah sendiri di billboard, dan akhirnya, seorang gadis dari bandar kecil di Sabah ini telah diberi peluang yang luar biasa ini," ujar penyanyi yang diperkenal dari pentas program nyanyian realiti Akademi Fantasia musim ketiga ini. 

Marsha, yang menerima perkhabaran gembira ini dengan penuh rasa syukur dan teruja, menyifatkan pencapaian ini sebagai mimpi yang menjadi kenyataan. 




Menyoroti perjalanannya dalam industri muzik yang telah menjangkau hampir dua dekad, Marsha berkongsi pandangannya mengenai resipi kejayaan dan kelangsungan. 

Beliau menekankan kepentingan keikhlasan dalam berkarya, disiplin yang tinggi dalam bekerja, serta keinginan yang tidak pernah pudar untuk terus menimba ilmu. 

"Industri muzik sentiasa dinamik, jadi kita juga perlu sentiasa berkembang dan menyesuaikan diri, namun tanpa kehilangan identiti diri. Bagi saya, hubungan yang baik dengan pasukan kerja dan sokongan padu daripada peminat adalah aset yang sangat berharga. 

“Perjalanan ini tidak selalu mudah, ada pasang surutnya, tetapi jika kita melakukannya dengan niat yang tulus, insya-Allah peluang akan sentiasa hadir," ulasnya. 



Selain kejayaan di Times Square, Marsha turut membawa khabar gembira lain buat peminatnya apabila beliau turut dipilih oleh stesen penyiaran terkemuka Korea Selatan, KBS World, untuk membuat persembahan di Festival Round (Festival Muzik ASEAN-Korea) yang akan berlangsung di Zepp KL pada 21 dan 22 Jun 2025 ini.  

Festival berprestij ini, yang dibawakan ke Kuala Lumpur dengan sokongan Dana Kerjasama ASEAN-Korea, akan menampilkan barisan artis ternama dari rantau ASEAN dan Korea Selatan. 

Penyertaan Marsha dalam festival ini pastinya akan menjadi satu penghormatan dan peluang untuk beliau memperluas lagi pengaruh muziknya pada peringkat antarabangsa. - KitaReporters

17
12
0
11
0
You will be interested