Seni & Sukan 21 Apr, 2025

The Pocket Rocketman kembali! Harapkan sesuatu yang manis! Mahu asak, asah pelumba lain jadi juara!

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, stringer dan sub-editor tabloid Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, DNA Takrawnomi, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. Pegawai Teknikal Antarabangsa Sepak Takraw Sukan Pantai Asia Muscat, Oman 2010, Sukan SEA Hanoi, Vietnam 2022 dan Piala Dunia Sepak Takraw Istaf Bihar, India 2025. E-mel: timmediasepaktakraw@yahoo.com

Share this

JOHN Beasley (dua dari kanan) antara yang mengesan bakat luar biasa Mohd. Azizulhasni Awang (tiga dari kanan) di sebalik tubuh ciliknya sejak 2004 sehingga mengasuhnya bergelar juara dunia, Sukan Asia dan pemenang dua pingat Olimpik. - Kredit foto: MSN


DATUK Mohd. Azizulhasni Awang mengumumkan untuk kembali sebagai pelumba basikal tetapi bukan lagi bersama pasukan kebangsaan sebaliknya mewakili Team Azizul yang diuruskannya dengan beliau dijangka berlatih mulai Mei 2025.

‘Si Roket Saku’ (Pocket Rocketman) mengumumkan keputusan itu dalam sidang media pada Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil pada 19 April 2025 selepas berehat panjang ekoran keputusan pembatalan penyertaannya pada perlumbaan keirin Sukan Olimpik Paris 2024 yang menghantuinya sehingga hari ini.

Azizulhasni, 37, turut menarik balik hasratnya untuk bersara seperti yang pernah disuarakan sebelum temasya ke-33 itu dengan matlamat terdekatnya kini ialah layak menyertai Kejohanan Berbasikal Trek Dunia di Velodrom Penalolen, Santiago, Chile pada 22 hingga 26 Oktober 2025.

Kepulangan pemenang pingat perak Olimpik Tokyo 2021 dan gangsa Rio 2016 itu turut diraikan dengan pengumuman sokongan geran individu RM200,000 setahun bagi 2025 sehingga 2026 oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh yang menghadiri sidang berkenaan.

Juga hadir ialah Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Jefri Ngadirin dan Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Amarjit Singh dan Penyelaras Laluan Emas (Road To Gold - RTG), Datuk Stuart Ramalingam serta Pengarah Teknikal PKBM, John Beasley.


'SI Roket Saku'  (kanan) mengakui keprihatinan Hannah Yeoh sehingga selepas Sukan Olimpik Paris, Ogos 2024 lalu antara faktor dia kembali berlumba basikal demi Malaysia walaupun di bawah label Team Azizul. - Kredit foto: MSN 


“Geran ini paling sesuai dan anjal sebagai persediaannya menghadapi Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 yang merangkumi pengurusan jurulatih, latihan dan lima kejohanan antarabangsa, pengurusan pusat, peralatan latihan, sains dan perubatan sukan,” kata Hannah yang juga Pengerusi Jawatankuasa RTG.

Kata Jijoe (juga julukannya), “Team Azizul sudah lebih lima tahun didaftarkan dengan UCI (Kesatuan Berbasikal Antarabangsa) juga sebagai kesinambungan pelumba-pelumba lain seperti Mohammad Fadhil Mohd Zonis dan Umar Hasbullah serta pelumba pembangunan.

“Jika ada peluang saya bergabung dengan pasukan kebangsaan apabila khidmat saya diperlukan sebagai contoh ada sesetengah kejohanan itu, pelumba utama tidak dihantar, saya pergilah.

“Objektif utama, Sukan Asia dan Sukan Komanwel 2026 (Glasgow, Scotland) saya akan berusaha keras sambil ‘mengasak dan mengasah’ pelumba lain. Sekurang-kurangnya dalam pasukan pecut negara yang ada dua pendatang baharu, saya cuba hidupkan suasana berdaya saing.

“Jika saya kembali ke dua temasya sukan itu, saya bersyukur dan berharap ‘sesuatu yang manis-manis’. Saya hanya hendak berbakti untuk negara. 

"Kalau tidak pun, keberadaan saya ini akan memberikan sesuatu yang positif kepada pasukan kita,” kata anak jati Dungun, Terengganu dan bapa empat anak perempuan ini.    


HANNAH Yeoh meletakkan Jijoe sebagai penerima Geran Individu MSN dengan peruntukan RM200,000 setahun yang berbeza daripada RTG atau Program Podium. - Kredit foto: MSN


Enam alasan Azizulhasni kembali berlumba 

1. Hannah sentiasa berhubung dan menasihati macam kakak dan bukan sebagai menteri. Beliau tidak menekan suruh saya berkayuh tetapi meminta saya ambil masa berfikir. Kalau hendak kembali, akan sokong atau kalau tidak, menyokong dengan haluan berikutnya.

2. ‘Lampu hijau’ keluarga. bukan senang kembali juga sebab komitmen sukan berprestasi tinggi ini sangat besar dan tinggi.

3. Setiap hari apabila bangkit tidur, saya sentiasa bertanyakan diri apakah yang hendak dilakukan. Walaupun sudah berbulan-bulan meninggalkan basikal, fizikal dan mental saya sentiasa berbalik kepada asal, dahagakan latihan keras dan cabaran yang dilalui sejak 20 tahun lalu. 

4. Penaja. Saya duduk bersama mereka beberapa bulan lalu dan nyatakan Pelan A, B dan C. Saya bersyukur mereka sangat positif, gembira dan menyokong saya untuk dua tahun akan datang ini.

5. Ramai harapkan saya kembali ke Olimpik Los Angeles 2028 secara jujurnya. Yang sangat mengganggu saya sampai hari ini ialah penyudahan yang sangat tidak manis di Paris. Segala pencapaian, kepayahan dan dugaan saya dapat lalui macam menang itu ini tetapi penutup itu tidak seperti saya harapkan.

6. Jika Cristiano Ronaldo boleh terus bermain bola sepak pada tahap tertinggi antarabangsa dalam usia 40 tahun. Saya  hendak tunjukkan orang Malaysia pun boleh ke arah itu supaya menjadi sejarah, motivasi dan inspirasi orang ramai.  


DARI kiri dalam sidang media khas di MSN, Bukit Jalil - Stuart Ramalingam, Jefri Ngadirin, Hannah Yeoh, Mohd. Azizulhasni Awang dan Amarjit Singh. - Kredit foto: MSN


Jelas Jijoe, dia akan membahagi-bahagikan pangkalan latihannya di Melbourne, Australia namun mungkin masanya dilebihkan di Kuala Lumpur/Velodrom Nasional Nilai, Negeri Sembilan.  

“Saya hendak gunakan dua tahun ini sebaik mungkin untuk berkongsi pengetahuan dan pengalaman. Saya sudah lalui semuanya, saya tahu rahsia dan petua, dari bawah ke atas dan bagaimana hendak jadi juara dunia (2017).

“Ada banyak pelumba baharu memang berpotensi sangat besar. Cuma mereka tiada keyakinan dan tidak tahu jalannya,” rujuknya kepada Shah Firdaus Sahrom (juara keirin Piala Negara-negara di Turkiye pada Mac 2025 lalu), Ridwan Sahrom dan Nurul Izzah Izzati Asri serta Sawda Hasbullah.  

Dengan faktor masa, usia dan perkembangan terkini, kekal dengan keirin dan pecut atau memilih satu acara kegemaran sahaja?

“Setakat ini bergantung kepada jurulatih dan Beasley. Dua tahun ini saya mahu dapatkan rentak perlumbaan dan giat bertanding terlebih dulu satu persatu. 

"Skuad kebangsaan akan putuskan jika mahu khidmat saya. Posisinya saya serahkan mereka. Di mana-mana pun saya gembira termasuk menyertai pasukan pecut.”

Kata-kata motivasi Jijoe: "Dalam kehidupan ini, kita semua pernah menjadi orang baharu dalam pelbagai perkara. Yang penting jangan mudah berputus asa, berhenti belajar atau berusaha dan sesekali berhenti berjuang." - KitaReporters


AZIZULHASNI Awang (kiri) ketika berlumba dalam acara keirin Sukan Olimpik Paris 2024 di mana dia dibatalkan penyertaan selepas melakukan kesilapan berada di belakang ‘derny’ sebelum loceng permulaan dibunyikan. - Kredit foto: MSN


AZIZULHASNI Awang (kiri) yang bersama John Beasley kelahiran Australia, bakal berusia 40 tahun sekiranya layak berlumba dalam Sukan Olimpik Los Angeles 2028 - penampilan keenamnya selepas Beijing 2008, London 2012, Rio 2016, Tokyo 2021 dan Paris 2024.  

14
16
0
15
0
You will be interested