.
Pada hari ini dah masuk hampir dua minggu sejak penulis menonton buat julung kalinya persembahan pemain saksofon legenda, Kenny G yang membawa konsertnya, ‘Timeless Legacy - Tour in Malaysia 2025’, berlangsung di puncak berhawa dingin, Arena of Stars, Genting Highands pada 13 Julai 2025.
Sejak itu hingga kini penulis tidak dapat menghapuskan lagu-lagu popular Kenny G seperti 'Songbird', 'Forever in Love','Breathless', 'Silhouette' dan banyak lagi yang berlegar dalam minda sekali gus menjadi muzik lalai yang kekal sebagai peneman.
Tidak sangka ia meninggakan impaknya cukup berkesan.
Sejujurnya dahulu, penulis bukanlah minat sangat dengan pemain saksafon bernama penuh Kenneth Bruce Gorelick, 69, ini. Jiwa penulis lebih kepada lagu-lagu pop sentimental nyanyian artis popular tempatan seperti Jamal Abdillah, Anuar Zain, Ziama Zain, Allahyarham Sharifah Aini atau lagu-lagu pop 60-an.
Muzik Kenny G selalunya hanya "melayang" sesekali menyapa halwa telinga, itupun kerana suami yang gemar mendengarnya.
Dan apabila berpeluang menyaksikan konsertnya secara ‘live’ di depan mata, ia bukan sekadar menyaksikan sebuah konsert, tetapi sebuah pengalaman muzikal yang menenangkan jiwa dan meninggalkan kesan mendalam sehingga tanpa disedari, perlahan-lahan lagu-lagu bergenre 'jazz' atau 'easy listening' Kenny G memukau sanubari..
Muzik instrumentalnya, yang terkenal dengan melodi yang mengalir lancar dan penuh emosi, terbukti mampu menyentuh hati pelbagai lapisan penonton.

Ramai yang hadir bukan sahaja untuk menikmati lagu-lagu kegemaran mereka secara langsung, tetapi juga untuk mencari ketenangan dan relaksasi daripada hiruk-pikuk kehidupan di kota.
Impak persembahan Kenny G yang memukau dan menyusuk kalbu membuatkan Kak Fas turut ‘jatuh cinta’ dengan muziknya malah gaya pemain saksofon berambut kerinting ini tidak disangka hebat walaupun bertubuh langsing.
Penulis pasti reaksi seperti ini mencerminkan pengalaman ramai penonton lain yang merasakan lagu-lagu Kenny G membawa mereka ke alam ostalgia, kedamaian, dan keindahan artistik yang murni.
Keupayaan beliau untuk "membuai penonton dengan melodi yang mempesonakan" adalah bukti bahawa muzik instrumental mempunyai kekuatan uniknya tersendiri untuk berkomunikasi secara langsung dengan emosi, tanpa perlu lirik.

Persembahan Kenny G diiringi oleh lima orang pemain muziknya. - Kredit foto: Star Planet.
Usahanya bertutur dalam bahasa Malaysia mendapat sorakan ramai apabila katanya, “Maaf jika bahasa Malaysia saya tidak baik tetapi saya akan cuba. Inii kali kedua saya berada di sini. Saya cinta Malaysia. Terima kasih semua... jadi bagaimana dengan ‘accent’ bahasa saya, ok tak…”
Kenny G pernah mengadakan persembahan di Arena of Stars sebelum ini pada 2 April 2023, serta di Dewan Plenary Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 24 Mei 2011. Malah sebelum Genting beliau menghiburkan peminatnya buat pertama kali di Sabah pada 11 Julai 2025.
Pun begitu bagi penulis konsert 'Timeless Legacy' ini meninggalkan kesan yang istemewa di hati al-maklum pertama kali menyaksikannya bahkan tidak mungkin tercapai jika bukan kerana anak bongsu, Effa Ruzanna, yang menjadikannya realiti.
Ia sebenarnya adalah ‘hadiah’ Effa untuk ayahnya yang memang peminat lagu-lagu Kenny G. Tidak terbayang seetelah 33 tahun lagu-lagu Kenny G berkumandang baharulah kami berpeluang mendengar persembahannya secara ‘live’.

Ikutkan hati, dengan tiket berharga RM528 seorang itu tidak mungkin penulis sanggup berbelanja sebanyak itu apatah lagi selama ini belum pernah menyaksikan konsert berbayar waima sering hadir percuma kerana tugasan sebagai wartawan hiburan memberi peluang untuk hadir ke mana mana konsert secara percuma.
Meskipun tiketnya agak mahal pada kiraan penulis, tetapi inilah namanya rezeki yang tidak diduga. Termakbullah kehendak anak menggembirakan ayahnya walau pun bukan atas pemintaan atau paksaan al-maklumlah harga pun mahal, mustahil ibu bapa nak susahkan anak-anak kan?
Semoga bertambah juga rezeki anak dalam kerjanya sebagai seorang peguam kerana membahagiakan ibu bapanya. Aamiin!
Bagi kami sekeluarga dan mungkin juga ramai penonton lain yang pertama kali menghadirinya, ia membuktikan bahawa muzik jazz lembut Kenny G kekal relevan dan mampu mencipta penggemar baharu meskipun setelah berdekad-dekad berada dalam industri.
Sejurus Kenny G melangkah masuk ke arena dengan tiupan lagu ‘Loving You’, penulis dapat rasakan aura tersendiri beliau waima persembahannya cukup menghiburkan dan benar-benar memukau.

Cara beliau bermain saksofonnya sama, persis seperti yang didengar dalam albumnya ibaratnya, jika seorang penyanyi kita akan ulas bahawa "suaranya sama macam telan kaset," begitulah kualiti persembahan instrumental Kenny G.
Tiada cacat cela, tiada beza antara rakaman studio dan persembahan langsung.
Apa yang paling menakjubkan dan membuatkan penonton terpukau adalah keupayaan beliau menahan nafas meniup nota lagu dalam jangka waktu yang sangat lama.
Penulis tidak pasti tempoh tepatnya, mungkin sekitar seminit dua, tetapi ia benar-benar luar biasa! Momen itu mendapat tepukan dan sorakan gemuruh daripada para penonton yang kagum dengan kebolehannya.
Khabarnya, Kenny G mampu memecah rekod dunia pada tahun 1977 dengan kejayaannya meniup satu nota muzik selama 45 minit 47.77 saat. Wow! Memang hebat.
Rupa-rupanya ada juga manfaat di sebalik tiupan yang lama seperti itu.
Kenny G membuktikan laporan bahawa bermain saksofon dan alat tiup lain terutama pada nada panjang boleh membantu merawat gejala asma seperti yang dihadapinya selama ini.
Ia, mempunyai kesan yang baik pada saluran pernafasan, jadi, ia bukan sahaja hiburan tetapi juga berpotensi memberi manfaat kesihatan!
Ini benar-benar satu info menarik yang penulis baru tahu dan ingin dikongsikan bersama mereka yang belum mengetahuinya. Cuba try kata orang ya tak?

Apa pun yang pasti secara keseluruhannya, pengalaman menonton konsert Kenny G di Genting Highlands adalah sesuatu yang takkan dilupakan.
Ia bukan sekadar menyaksikan seorang pemuzik legenda yang kekal relevan merentasi zaman, tetapi turut membuka lembaran baharu dalam apresiasi muzik penulis sendiri mahupun memperkaya jiwa penonton dengan keindahan melodi yang abadi.
Pendek kata, Kenny G membuktikan bahawa walaupun trend mungkin berubah, nota dan daya tarikannya masih bertahan melangkaui cabaran dunia digital yang semakin progresif.
Dan sebagaimana beliau mengakhiri konsertnya dengan lagu cover “My Heart Will Go On’ nyanyian asal Celine Dior bagi OST filem ‘Titanic’ begitulah cerminan harapan Kenny G untuk terus menghiburkan peminatnya selagi nyawa dikandung badan ibaratnya! - KitaReporters