Seni & Sukan 26 Oct, 2025

Tuanku Spartan! Tuanku Lailatul Shahreen buktikan kekuatan fizikal, mental! Sertai Spartan Malaysia!

@ahmad syahir kassim
Dulu wartawan kini moJo. Boleh emel ke [email protected]

Share this
Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Demikian pepatah sesuai buat Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil yang mempunyai minat mendalam dalam aktiviti sukan lasak.
Halangan klasik membawa guni berisi pasir menuntut kekuatan fizikal Tuanku Lailatul Shahreen.


Malah usia yang mencecah 55 tahun bukan penghalang buat baginda untuk terus aktif apabila menyertai Spartan Malaysia 2025 di Gamuda Cove, Sepang pada 18 Oktober 2025 lalu.

Baginda menunjukkan semangat luar biasa apabila menamatkan cabaran sukan lasak itu yang menuntut ketahanan fizikal dan mental yang tinggi, sekali gus meneruskan tradisi penyertaan baginda sejak kali pertama menyertai acara itu pada 2016.

Dikenali dengan minat mendalam terhadap kecergasan dan gaya hidup sihat, baginda menegaskan bahawa Spartan Race bukan sekadar pertandingan, sebaliknya ujian terhadap kekuatan minda dan watak seseorang.

Cabaran kekuatan mengangkat bebola berat yang perlu dilalui oleh Tuanku Lailatul Shahreen.

"Spartan Race istimewa kerana ia bukan sekadar pertandingan, tetapi ujian watak. Setiap perlumbaan memaksa kita keluar daripada zon selesa, dan setiap kali menamatkannya, kita menjadi lebih kuat," titah baginda.

Menolak tanggapan bahawa faktor usia boleh membataskan keupayaan diri, Tuanku Lailatul Shahreen menegaskan, semangat dan keinginan untuk mencabar kemampuan adalah kunci untuk kekal berdaya saing.
"Saya suka mencabar diri dan membuktikan bahawa usia hanyalah angka. Kecergasan memberi tenaga dan kekuatan minda. Saya harap perjalanan ini memberi inspirasi kepada orang lain untuk mula melangkah, tidak kira usia mereka," titah baginda lagi.

Tuanku Lailatul Shahreen menggunakan sepenuh tenaga untuk melepasi halangan 'Hercules Hoist'.

Menyentuh cabaran paling sukar dalam saingan tersebut, baginda memberitahu bahawa halangan seperti Sandbags, Slip Wall, The Bender, Tyrolean Traverse dan Stairway to Sparta benar-benar menguji daya tahan fizikal.

"Dalam Spartan, anda tidak perlu sempurna, cukup sekadar memberi yang terbaik. Kadang-kadang kita gagal, kadang-kadang berjaya, tetapi setiap kali, kita pasti menamatkannya dengan lebih kuat daripada ketika bermula," titah baginda.


Cabaran melalui denai menguji kekuatan mental dan fizikal Tuanku Lailatul Shahreen.

Tuanku Lailatul Shahreen turut menekankan bahawa keseimbangan antara latihan fizikal dan ketabahan mental menjadi asas kejayaan dalam acara lasak seperti itu.

"Spartan bukan semata-mata tentang otot, ia lebih kepada kekuatan minda. Kita terus melangkah walaupun keletihan, dan itulah yang menjadikan saat menamatkan perlumbaan begitu bermakna," jelas baginda.

Baginda juga menyifatkan penganjuran Spartan Malaysia sebagai wadah penting memupuk semangat perpaduan rakyat melalui sukan.

"Anda akan lihat rakyat Malaysia daripada pelbagai latar belakang saling memberi sokongan. 

"Spartan mengajar nilai kerjasama, kerendahan hati dan ketabahan. Nilai-nilai yang melangkaui sempadan perlumbaan," titah baginda. - KitaReporters


Tuanku Lailatul Shahreen bersama rakan peserta melepasi halangan berpagar.


Tuanku Lailatul Shahreen merakam foto kenangan bersama peserta dari Perlis yang menyertai Spartan Malaysia 2025 di Sepang.

16
19
0
11
0
You will be interested