Allahyarham menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 6 pagi akibat sakit tua.
Seorang ahli keluarga memaklumkan jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Raja, Padang Matsirat pada kira-kira jam 3 petang hari sama.

Nama Engku Musa bukan sekadar tercatat sebagai bekas pemain kebangsaan, sebaliknya terpahat dalam lipatan sejarah sebagai antara tokoh yang membantu membentuk wajah awal sepak takraw di rantau Asia Tenggara.
Allahyarham termasuk dalam kelompok 24 pemain dari Selangor dan Pulau Pinang yang terlibat dalam siri perlawanan pertunjukan sepak raga jaring di Thailand pada April 1965, beberapa bulan sebelum sukan itu dipertanding secara rasmi di Sukan SEAP Kuala Lumpur 1965.
Siri perlawanan yang berlangsung di Hatyai, Songkhla dan Bangkok dari 7 hingga 10 April 1965 itu menjadi titik peralihan penting, apabila konsep permainan jaring diperkenalkan kepada pemain Thailand yang ketika itu lebih sinonim dengan circle takraw (sepak raga bulatan).
Kedua-dua pasukan negeri berkenaan dipilih berdasarkan reputasi sebagai juara dan naib juara Piala Emas Khir Johari 1963 dan 1964, sekali gus menjadikan misi tersebut sebagai usaha diplomasi sukan yang berimpak besar kepada perkembangan sepak takraw serantau.


Legasi Allahyarham Engku Musa berterusan melalui darah dagingnya apabila anaknya, Engku Abdul Halim Engku Musa, muncul sebagai tonggak negara dan memenangi pingat emas Sukan Asia Beijing 1990 serta Sukan SEA Manila 1991.
Pemergian Engku Musa meninggalkan kekosongan besar dalam sejarah sukan negara, bukan sahaja sebagai bekas pemain, tetapi sebagai perintis yang membantu membuka laluan kepada hubungan sukan dan kecemerlangan sepak takraw Asia Tenggara sehingga ke hari ini.
Dalam pada itu, Persekutuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) menerusi Presidennya, Datuk Mohd Sumali Reduan dan Ahli-Ahli Jawatankuasa Tertinggi menzahirkan ucapan takziah buat keluarga Allahyarham.
"Semoga arwah ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman dan bertaqwa kepada Allah.
"Jasa dan sumbangan Allahyarham kepada negara akan dikenang dan akan dijadikan sebagai lipatan sejarah sukan sepak takraw," catat PSM menerusi Facebook. - KitaReporters
