Pada era di mana dunia muzik semakin didominasi oleh platform penstriman digital dan rakaman dalam format CD, Universal Music Malaysia dan PMP Entertainment mengambil langkah berani dengan mengumumkan pelancaran eksklusif kesemua lapan album Datuk Sheila Majid dalam format vinyl.

Vinil (vinyl), atau juga dikenali sebagai piring hitam atau bahasa pasarnya, rekod, adalah medium rakaman analog berbentuk cakera plastik rata dan besar yang dimainkan pada pemain pring putar (turntable) menggunakan jarum.
Keputusan untuk membawa kembali karya agung beliau ke medium rakaman klasik yang memberikan pengalaman bunyi yang unik dan hangat ini, sesuatu yang julung-julung kali dilakukan oleh seorang artis Malaysia, bukan sahaja memperingati ulang tahun ke-40 beliau dalam industri, malah menjadi hadiah istimewa buat peminat yang menghargai keindahan bunyi analog.
Pengarah Kanan A&R dan Pengurusan Artis Universal Music Malaysia, Hermond Cheng, menyatakan bahawa objektif pelancaran bersejarah ini adalah untuk meraikan empat dekad perjalanan seni Sheila Majid, bersempena dengan penganjuran Konsert Sheila Majid 40 Years in Music pada 8 November 2025.

Cheng menambah, "Ramai peminat sering bertanya, bila semua album Sheila Majid akan tersedia dalam format vinil. Ini merupakan kali pertama seorang artis Malaysia memiliki kesemua album mereka dalam format vinil.
"Kami berharap inisiatif ini dapat mengimbau kenangan peminat yang membesar dengan lagu-lagu beliau dan turut membawa kembali pengalaman mendengar muzik dalam rekod fizikal yang istimewa."
Mencatat sejarah, ini adalah kali pertama kesemua album Sheila Majid -- Dimensi Baru, Emosi, Warna, Legenda, Ratu, Ku Mohon, Cinta Kita, dan Boneka -- dikeluarkan dalam format vinil.
Koleksi ini sangat eksklusif dengan hanya 300 set sahaja ditawarkan untuk para peminat dan pengumpul.

Kiri: Hermond Cheng.
Set ini merupakan hasil kerjasama penting antara beberapa label utama, iaitu EMI Music/Universal Music, Warner Music Malaysia, dan Magada Entertainment Sdn Bhd.
Ia dijangka bakal menjadi koleksi berharga bukan sahaja kepada peminat setia, tetapi juga pencinta muzik dan pengumpul vinil.
Pratempahan untuk set vinil edisi terhad ini telah dibuka pada 23 September 2025 lalu, ditawarkan pada harga istimewa RM1,499, manakala harga biasa selepas tempoh tersebut ialah RM1,599.
Vinyl edisi terhad ini akan dilancarkan secara rasmi pada 5 Oktober 2025. - KitaReporters
