Bersempena dengan sambutan Hari Malaysia (16 September) yang bermakna, penyanyi tersohor dan anak jati Sabah, Azharina Azhar, 40, telah melakar sejarah peribadinya dengan melancarkan lagu patriotik sulungnya, ‘Gunung Kinabalu’.
Lebih istimewa apabila lagu itu adalah hasil duet bersama sepupunya yang juga merupakan penyanyi, Daniesh Suffian, 27, bahkan ia dihasilkan bukan sekadar sebuah nyanyian tetapi penghormatan kepada negeri Sabah serta mengenang jasa dan legasi arwah Datuk M.Y. Ismail, tokoh keluarga yang amat disanjungi oleh kedua-dua artis ini.
‘Gunung Kinabalu" merupakan olahan semula sebuah lagu lama yang asalnya dinyanyikan oleh ibu Daniesh, Surianah Mansah, seorang artis pop terkenal Sabah pada era 1990-an.
Dengan sentuhan baharu yang lebih segar, Azharina dan Daniesh telah mengolah susunan muzik dan liriknya agar bersesuaian dengan semangat cintakan negeri dan tanah air.
Hasilnya, sebuah karya kontemporari yang memancarkan jati diri rakyat Sabah, sambil tetap mengekalkan nilai warisan budaya tempatan.

Azharina.
Azharina meluahkan rasa syukurnya kerana dapat menghasilkan lagu patriotik pertamanya sebagai anak Sabah, dan yang lebih membahagiakan, dapat bekerjasama dengan sepupu sendiri, Daniesh.
"Ini adalah lagu patriotik pertama saya dan saya amat bersyukur kerana dapat menyanyikannya sebagai anak Sabah. Lebih membahagiakan, saya dapat bekerjasama dengan sepupu saya sendiri, Daniesh.
"Kami sangat rapat, jadi projek ini terasa sangat istimewa,” ujar Azharina sambil berharap akan ada lebih banyak kolaborasi seperti ini pada masa hadapan kerana ia mengangkat warisan keluarga dan tanah kelahiran mereka.
Daniesh turut berkongsi pengalaman bekerja dengan Azharina sebagai sesuatu yang sangat bermakna dalam perjalanan seninya.
Bagi beliau, kolaborasi ini bukan sekadar peluang profesional, tetapi satu momen kekeluargaan yang penuh emosi dan kenangan.
"Projek ini memberi saya peluang baharu dalam karier. Bekerjasama dengan Kak Azharina, yang juga sepupu saya sendiri, membawa rasa istimewa. Kami dapat merasakan chemistry yang kuat sepanjang proses rakaman.
"Kami juga menerima banyak maklum balas positif daripada peminat sejak beberapa cover lagu kami dimuat naik di TikTok dan media sosial lain malah ramai yang menyokong dan meminta kami teruskan kerjasama ini," jelas Daniesh.

Daniesh bersama ibunya, Surianah Mansah.
Sambung Azharina, 'Gunung Kinabalu' dipilih sebagai tajuk dan tema utama lagu ini kerana ia merupakan simbol kekuatan, ketabahan dan kebanggaan rakyat Sabah.
Gunung ini bukan sekadar ikon geografi, tetapi lambang jati diri dan semangat rakyat Negeri di Bawah Bayu ini.
Lagu "Gunung Kinabalu" dilancarkan secara rasmi pada 3 September 2025. Video muzik rasmi turut dilancarkan serentak, dan dijangka menjadi antara tontonan utama sempena Hari Malaysia tahun 2025 ini. - KitaReporters
