Seni & Sukan 20 Jul, 2025

Ceria dalam gundah! B-23 kita berpesta 7-1! Nafuzi terkilan dibolosi Brunei! Jumpa Indonesia camna?

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, stringer dan sub-editor tabloid Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, DNA Takrawnomi, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. Pegawai Teknikal Antarabangsa Sepak Takraw Sukan Pantai Asia Muscat, Oman 2010, Sukan SEA Hanoi, Vietnam 2022 dan Piala Dunia Sepak Takraw Istaf Bihar, India 2025. E-mel: timmediasepaktakraw@yahoo.com

Share this

FERGUS Tierney (15) mendukung Haykal Danish Haizon dan Abdul Rahman Daud (kiri) ketika meraikan gol keenam B-23 Malaysia dengan rembatan susulannya yang menembusi Khairul Hisyam Norihwan (jersi hijau). - Kredit foto: AU



KALAU dengan Brunei pun boleh dibolosi ‘sebiji’, bagaimana hendak berdepan Indonesia di kubu tegar mereka, Stadium Gelora Bung Karno (GBK), Jakarta pada 21 Julai 2025 ini.

Lebih 70,000 pemain ke-12 juga bakal menemani Garuda Muda di GBK yang mampu menggoncang dan menggugat fokus dan psikologi serta semangat tim Bawah 23 Malaysia nanti.   

Ketua jurulatih B-23 negara, Nafuzi Zain juga mengakui bagaimana gugupnya barisan bentengnya ketika dikejutkan Filipina 2-0 dalam perlawanan tanggal 15 Julai 2025 lalu, justeru risiko dan potensi itu seperti bakal berulang.

Juga angkara kealpaan dalam bertahan, Zulhilmi Sharani tertewas dengan rembatan pemain Brunei, Haziq Naqiuddin Syamra pada minit ke-75 perlawanan Kumpulan A Kejohanan Bola Sepak Bawah 23 (B-23) Tahun ASEAN 2025.

Di depan rakan penjaga gol itu, persefahaman Ahmad Haziq Kutty Abba dan Asyar Hadi Shapri pula longgar dalam meleraikan ancaman tersebut sekalipun Malaysia tetap memastikan tiga mata sulung dan berharga dalam pesta gol 7-1 ini.

AYSAR Hadi Shapri (kanan) dan Ahmad Haziq Kutty Abba (22) gagal mengekang gol tunggal Brunei. - Kredit foto: FAM 


“Walaupun kami menang besar, dibolosi satu gol itu memberikan satu kerugian pasukan.

“Pasukan patut elakkannya dan perlu ambil pengajaran kerana mengambil mudah (tindak-tanduk lawan). Gol tersebut tidak sepatutnya berlaku,” kata ketua jurulatih B-23 negara, Nafuzi, dipetik daripada sebuah portal media.


NAFUZI Zain (kanan) bersama-sama barisan penolong jurulatih negara, Shukor Adan, Hairuddin Omar dan jurulatih fizikal, John Floros. - Kredit foto: MNT


Haqimi Azim Rosli mendahului senarai penjaring dengan rembatannya pada minit ke-42 dan 88.

Namun Danish Syamer Tajuddin yang membuka tirai gol dengan tandukan minit ketiga diikuti tampanan Nazry Aiman Azman ke gawang sendiri (keempat) ketika cuba menyekat umpanan lintang Shafizan Arshad.  

Tolakan kaki kiri Haykal Danish Haizon, membolosi lagi Brunei pada minit ke-32 dan Danish Hakimi Sahaludin dengan kerjasama Haqimi dan Fergus Tierney, menambahnya minit ke-69.

Minit ke-76 merakamkan gol keenam menerusi Fergus, penyerang warisan Malaysia-Scotland yang menyusuli tampanan penjaga gol lawan, Khairul Hisyam Norihwan.

Namun Malaysia sepatutnya beroleh gol lebih banyak yang mungkin sehingga 10 atau 11 sekiranya Haqimi dan Fergus lebih tenang dan bijak menyambar peluang di hadapan gawang Brunei hasil umpanan rakan.  


KEDUDUKAN mata Kumpulan A selepas setiap pasukan menjalani dua perlawanan pada 15 dan 18 Julai 2025 dengan ranking mereka berdasarkan keputusan pertemuan hanya sesama tiga teratas. - Kredit foto: AU


Tuan rumah kini menerajui kumpulan dengan enam mata selepas turut menumpaskan Filipina 1-0 selain membelasah Brunei 8-0 pada 15 Julai 2025.

Tekanan juga berpihak kepada Malaysia untuk layak ke separuh akhir dengan tiga mata lagi sedangkan Indonesia kian hampir dan hanya perlu seri untuk terus melangkah.

Filipina juga kena mencari lebih daripada 7-1 milik Malaysia untuk membelasah Brunei pada 21 Julai 2025 sambil naib juara Kumpulan A, B dan C juga perlu menilai keputusan muktamad peringkat awal ini untuk mengiringi sang juara masing-masing ke saingan kalah singkir.


HAQIMI Azim Rosli (7) dan Haykal Danish Haizon meraikan jaringan pendahuluan B-23 Malaysia oleh Danish Syamer Tajuddin (20) terhadap Brunei. - Kredit foto: MNT 


Walau bagaimanapun menurut peraturan pertandingan Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) pada peringkat kumpulan ini sekiranya terdapat pasukan yang terikat mata, susunan keutamaan penentuannya ialah:

  1. mata yang terkumpul dalam semua perlawanan
  2. mata dalam pertemuan sesama mereka yang terikat
  3. perbezaan gol dalam pertemuan sesama mereka yang terikat
  4. jaringan dalam pertemuan sesama mereka yang terikat dan kemudiannya, barulah perbezaan gol dalam semua perlawanan peringkat ini. 

Juga difahamkan, kerana hanya tiga pasukan bersaing dalam Kumpulan B (Laos, Kemboja dan Vietnam) dan C (Myanmar, Timor-Leste dan Thailand), sebarang keputusan dengan pasukan corot Kumpulan A (Brunei) mungkin terpaksa diabaikan dan hanya dua perlawanan membabitkan Indonesia, Filipina dan Malaysia yang boleh dikira. - KitaReporters

11
13
0
19
0
You will be interested