

FERGUS Tierney (15) memiliki dua peluang keemasan gol, begitu juga Aliff Izwan Yuslan (11) yang mampu mengubah keputusan dengan Filipina. - Kredit foto: FAM
MISI wajib menang dengan Filipina tidak kesampaian malah dijinakkan pula oleh Azkal Muda 2-0 pada 15 Julai 2025 lalu.
Kini misi itu terarah betul-betul kepada Brunei sekiranya skuad Bawah 23 Tahun (B-23) Malaysia masih berhajat ke separuh akhir Kejohanan Bola Sepak B-23 ASEAN 2025.
Kurang daripada tiga mata dalam pertemuan Kumpulan A di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta, Indonesia ini juga bererti tim kendalian Nafuzi Zain boleh berkemas beg pulang ke tanah air lebih awal walaupun tuan rumah masih menanti 21 Julai 2025 ini.
Seyogia diingat bahawa jika bukan sebagai juara kumpulan, tiket separuh akhir untuk naib juara pun perlu ditentukan dengan keputusan pemilik posisi itu dalam Kumpulan B dan C yang membabitkan Kemboja, Laos, Vietnam, Myanmar, Timor-Leste dan Thailand.

HAYKAL Danish Zainon (10) lincah membolosi kubu Filipina namun tersadung ketika cuma berdepan penjaga gawang lawan, Nicholas Guimares pada minit ke-51. - Kredit foto: FAM
Turut terpikul pada bahu Harimau Malaya Muda ialah misi merobek gawang Brunei seberapa banyak yang boleh seperti mana Garuda Muda yang membelasah pasukan dari Kepulauan Borneo itu 8-0 dalam aksi sulung mereka.
Tiga mata dan modal perbezaan gol yang besar mungkin menjadi penentu siapa wakil Kumpulan A yang akan ke separuh akhir sekiranya masih terikat dengan Indonesia dan Filipina.
Kerapuhan benteng dan ketumpulan penyudah ketika berdepan Filipina juga tidak boleh berlarutan lagi dengan Nafuzi selaku ketua jurulatih wajar merombak barisan pemainnya yang kurang menyerlah untuk menentang Brunei pada 18 Julai 2025.

KEDUDUKAN mata Kumpulan A Kejohanan B-23 ASEAN 2025 di Jakarta selepas hari perlawanan pertama 15 Julai 2025. - Kredit foto: AU

AIMAN Hakimi Othman (14) dua kali dibolosi di sebelah kanan sehingga menghadiahkan gol mudah Filipina. - Kredit foto: FAM
Aiman Hakimi Othman dan kapten Ubaidullah Shamsul Fazili pula kena lebih peka dan mengambil iktibar daripada kegagalan mereka membanteras dua gol Otu Bisong Banatao pada minit kesembilan dan 40 dalam serangan balas kilat Filipina.
Kegigihan Haqimi Azim Rosli, Aliff Izwan Yuslan, Haykal Danish Zainon mahupun Fergus Tierney berhak dipuji namun percubaan mereka bagaikan kurang bernasib baik kerana sentiasa dinafikan palang gol, sedikit tersasar dan tangkisan penjaga gawang lawan, Nicholas Guimares.
Sesuatu yang lebih drastik juga perlu digubah oleh Nafuzi yang dibantu dua penolongnya, Hairuddin Omar dan Shukor Adan untuk memulihkan tumpuan dan semangat sepasukan yang mungkin merudum ekoran kekalahan ini.

NAFUZI Zain jelas gusar dengan kedudukan B-23 Malaysia tanpa mata dan gol selepas berdepan Filipina. - Kredit foto: FAM
“Pemain kita agak gugup, tertekan dan lambat menyesuaikan diri sehingga memberikan gol mudah Filipina.
“Ada yang hanya menengok bola dan mengharapkan rakan sepasukan bertindak,” keluh ketua jurulatih kelahiran Kelantan ini yang mula mengemudi B-23 Malaysia pada 1 Januari 2025 lalu dengan kejohanan ini menjadi tugasan sulungnya.
Malah biarpun Brunei sering dianggap budak belasahan dalam apa juga kejohanan peringkat umur mahupun senior ASEAN dan Asia, keinginan mereka berjuang berhabis-habisan di padang demi maruah negara tetap tidak boleh diperkecil oleh Malaysia. - KitaReporters

HAQIMI Azim Rosli (7) merembat kencang sejauh lebih 25 meter namun percubaannya sekadar mencium palang gol Filipina pada minit ke-18. - Kredit foto: MNT