Seni & Sukan 04 Jan, 2026

Sambutan ambang tahun baharu dalam ballroom! Syamel, Ernie bawa kelainan! Keintiman, keselesaan!

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: [email protected]

Share this

Ketika kebanyakan sambutan ambang Tahun Baharu diraikan di ruang terbuka dengan  kesesakan orang ramai, sorakan dan percikan bunga api, Konsert Nostalgia New Year’s Eve di Le Méridien Petaling Jaya menyaksikan satu anjakan paradigma apabila ia tampil dengan pendekatan berbeza dengan acara dilangsungkan sepenuhnya di dalam dewan. 



Kelainan ini bukan sahaja menawarkan suasana yang lebih tenang dan selesa, malah mencipta pengalaman eksklusif buat para hadirin yang ingin meraikan detik peralihan tahun dalam keadaan lebih teratur dan intim.

Dianjurkan menerusi kerjasama Universal Music Malaysia dan Le Méridien Petaling Jaya, konsert tertutup itu menampilkan persembahan istimewa daripada pasangan suami isteri, Ernie Zakri dan Syamel, selain diserikan dengan sentuhan muzik oleh DJ Fuzz yang membangkitkan elemen nostalgia sepanjang malam.

Melalui pendekatan ini, para peminat bukan sahaja dapat menikmati persembahan vokal berkualiti tinggi dalam ruang yang nyaman tanpa gangguan faktor luaran bahkan berpeluang meraikan detik peralihan tahun dalam suasana yang lebih tenang dan kondusif.

Suasana harmoni ini ternyata memberikan impak berbeza kepada artis yang membuat persembahan, terutamanya bagi Syamel yang menyifatkan ia sebagai satu pengalaman yang amat bermakna kerana ia merupakan kali pertama beliau terlibat dalam sambutan Tahun Baharu yang diadakan di ruang dalaman.



Menurutnya, konsep itu pada awalnya kedengaran asing, namun akhirnya memberikan pengalaman persembahan yang sangat berbeza.

“Sebenarnya ini merupakan satu kelainan buat kami apabila dimaklumkan oleh pihak label, Universal Music Malaysia, bahawa akan diadakan sebuah acara sambutan Tahun Baharu secara tertutup hasil kerjasama bersama Le Méridien.

“Pada awalnya, kami sendiri tidak pernah mempunyai pengalaman mengadakan sambutan Tahun Baharu secara dalaman. Namun, Alhamdulillah, acara penting ini akhirnya berjaya direalisasikan dengan sokongan daripada pelbagai pihak,” katanya.

Tambah Syamel, suasana konsert yang lebih tenang dan teratur memberi kesan positif ketika berada di pentas.

“Paling bermakna, ini juga merupakan kali pertama kami merasakan pengalaman menyanyi dalam suasana yang sangat tenang, selesa dan teratur.

“Lazimnya sambutan Tahun Baharu dikaitkan dengan kesesakan dan hiruk-pikuk, tetapi kali ini segalanya berjalan lancar sehingga tanpa sedar kita sudah pun melangkah ke tahun baharu,” jelasnya.

Syamel turut menzahirkan penghargaan kepada peminat, rakan media serta pihak penganjur yang menjayakan konsert tersebut.

“Kami dapat berkongsi detik istimewa ini bersama para peminat yang telah menyokong kami sejak dahulu hingga kini. Mereka disajikan dengan muzik, hidangan, suasana yang baik serta sokongan rakan-rakan media. Alhamdulillah, segalanya berjalan seperti yang dirancang,” akuinya.



Sebagaimana perasaan suaminya Syamel, begitu jugalah yang dirasai Ernie Zakri. 

Beliau mengakui pada awalnya berasa sedikit gusar memandangkan konsert Tahun Baharu diadakan di dalam sebuah ballroom, sesuatu yang belum pernah mereka lakukan sebelum ini.

“Secara jujur, saya agak gusar kerana kami tidak pernah mengadakan acara sambutan Tahun Baharu di dalam ballroom. Kami tidak pasti bagaimana ‘vibe’ dan reaksi penonton. Namun dari segi keselesaan, suasana di dalam dewan memang sangat selesa,” katanya.

Beliau bimbang sekiranya aura atau tenaga yang sering dirasai di pentas terbuka tidak dapat dijelmakan di dalam sebuah ballroom

Walau bagaimanapun, kebimbangan tersebut terlerai sepenuhnya apabila melihat reaksi dan sorakan padu penonton yang hadir.

“Apabila Syamel mula menyanyi dan saya mendengar sorakan penonton, Alhamdulillah, ‘feel’ yang kami peroleh malam ini sebenarnya tidak jauh beza antara persembahan indoor dan outdoor. Rasa yang hadir tetap sama walau pun ia agak mencabar kerana kebiasaannya orang memilih untuk meraikannya di luar, tetapi malam ini istimewa kerana mereka memilih untuk bersama kami,” katanya.


Syamel, Ernie dan DJ Fuzz pada konsert ambang tahun baharu yang diraikan dalam dewan hotel.


Pasangan sejoli ini turut menzahirkan penghargaan buat pihak penganjur dan label atas keberanian membawakan kelainan ini.

Bagi mereka, projek ini bukan sekadar tugasan seni, tetapi merupakan satu memori indah yang membuktikan bahawa sambutan tahun baharu yang berkualiti tidak semestinya bergantung kepada skala lokasi yang luas, sebaliknya pada kualiti pengalaman yang ditawarkan kepada peminat.

“Ini adalah projek yang benar-benar membuatkan kami gembira, dan Alhamdulillah kami sangat bersyukur dapat merealisasikannya,” tambahnya.

Selain persembahan vokal yang memukau dari Ernie mahu pun Syamel, suasana malam tersebut turut dimeriahkan dengan seleksi muzik daripada DJ Fuzz yang menyuntik elemen nostalgia ke dalam ruang acara. 

Gabungan muzik, hidangan premium, dan persekitaran yang mewah menjadikan Konsert Nostalgia New Year’s Eve ini sebagai satu penanda aras baharu bagi penganjuran acara sambutan tahun baharu di masa hadapan. Selamat Tahun Baharu 2026! - KitaReporters



11
9
0
13
0
You will be interested