Pengarah Urusan Les’ Copaque Production Sdn. Bhd, Burhanuddin Md. Radzi, yang mengasaskan penerbitan kartun animasi 3D popular Upin & Ipin melahirkan rasa sedih apabila orang Malaysia sendiri tidak menghargai produk tempatan.
“Inilah delima kita sebagai orang Malaysia. Apabila mereka ke luar negara khususnya ke Indonesia baharulah mereka bangga mendengar rakyat di sana begitu mengenali Upin & Ipin,” luah Burhanuddin (gambar bawah, kanan) ketika ditemui selepas majlis prebiu teater muzikal ‘Upin & Ipin - Pin Pin Pom’ di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada Jumaat, 2 September 2022 yang turut dihadiri pengarahnya, Siti Rohaya Atan (kiri).
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan watak Upin & Ipin
Teater muzikal ini yang kini sudah mula dipentaskan (3 September 2022) pada tiga waktu iaitu pukul 11 pagi, 3 petang dan 8.15 malam akan berakhir esok, 4 September 2022.
“Apa pun saya akan terus berusaha membawa produk Upin & Ipin jelajah ke luar negara dan dikenali di pentas dunia seperti ‘Disney’,” tambah Burhanuddin sambil memberitahu lokasi pertama pementasan teater muzikal terbaharunya ini adalah ke Singapura pada 18 Disember 2022 depan manakala jelajah Indonesia dijangka dapat dilaksanakan tahun hadapan (2023).
Pada pementasan “Teater Muzikal Upin & Ipin – Pin Pin Pom!” yang berdurasi lebih 1 jam ini menampilkan beberapa watak baharu yang pertama kali dimunculkan seperti watak Pahlawan Magik Upin Ipin serta Nenek Kebayan selain enam sahabatnya dalam pengembaraan dunia penuh magis.
Pahlawan Magik Upin Ipin dan Nenek Kebayan, watak terbaharu yang ditampilkan. - Kredit foto: Zaman.
Menariknya, ini pertama kali penonton dapat menyaksikan gabungan maskot dan multimedia dalam skala besar dengan penggunaan teknologi terkini seperti teknik kesan khas, efek pencahayaan serta penggunaan LED skrin bagi memberikan impak luar biasa kepada pementasan.
“Ia suatu pengalaman baharu bagi saya mengarahkan teater ini, Dan cabaran lainnya saya kena jadi kenak-kenak untuk menjayakannya agar semua dapat menghayati peranan masing-masing,” ujar Siti Rohaya Atan.
Menurut Siti Rohaya yang lebih mesra disapa sebagai ‘Roy’, beliau mengambil masa 2 bulan untuk latihan dan melahirkan kebanggaannya apabila kesemua pelakon yang terlibat di sebalik kostum masing-masing memberikan lakonan mantap.
“Ada antara mereka itu pelakon kanak-kanak yang pernah tampil dalam teater muzikal Upin & Ipin 10 tahun lalu tetapi kini telah dewasa malah sebilangannya terdiri daripada doktor, lawyer mahu pun jurutera,” ujar Roy puas hati sambil memberitahu sebahagian besar daripada team produksi pula terdiri daripada perempuan belaka.
Teater yang dihasilkan oleh Les’ Copaque Production dan diuruskan bersama oleh syarikat Star Fotress Sdn. Bhd. tersebut turut mempersembahkan lagu-lagu popular Upin & Ipin seperti “Gembira Bermain” dan beberapa lagu-lagu baru seperti lagu “Upin & Ipin Berani” dan “Pin Pin Pom!” yang pasti membuatkan penonton terhibur dan turut menyanyi bersama-sama.
Permainan stik berlampu Upin & Ipin ini memberi peluang penonton berinteraksi dengan persembahan sekali gus menambahkan lagi keseronokan menonton.
Lebih teruija lagi apabila penonton boleh berinteraksi bersama dengan permainan ‘stik’ berlampu Upin & Ipin yang boleh dibeli pada harga RM18 sebatang atau RM30 untuk dua batang.
Dengan adanya stik berlampu tersebut bolehlah menerjah dan ikut bersama dengan melaungkan aksi ‘Pin Pin Pom’.
Harus dibawa masuk ketika menonton. Rugi kalau tak mendapatkannya.
Pasti semua kanak-kanak yang menonton baik pun dewasa pun akan merasa seolah kembali ke zaman kanak-kanak di buatnya. Memang puas dan terbaik!
Sempena permulaan cuti sekolah, Les’ Copaque Production menawarkan potongan harga sehingga 50 peratus untuk menyaksikan pementasan Teater Muzikal Upin & Ipin – Pin Pin Pom!
Untuk mendapatkan promosi ini, layari laman web https://my.trip.com/w/UpinIpin-2022. Dan tiket masih boleh dibeli pada hari persembahan dengan harga serendah RM69. - KitaReporters
Kredit foto: FAS