Seni & Sukan 01 Sep, 2021

Covid-19 masih mengganas lagi! Kadar vaksinasi pemain rendah! Piala Presiden, Belia 2021 batal!

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, menyertai akhbar mingguan tabloid Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. E-mel: [email protected]

Share this

PKNS FC juara Piala Presiden 2019 selepas menewaskan Perak. - Kredit foto: FAM


PIALA FA awal-awal lagi sudah diumumkan tiada dalam kalendar pertandingan 2021 Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

Kini giliran Piala Presiden dan Piala Belia pula dibatalkan menyusul gara-gara situasi semasa pandemik Covid-19 dan tiadanya kelulusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Justeru seperti mana 2020, buat tahun kedua berturut-turut, kedua-dua pertandingan kebangsaan bagi para pemain berusia bawah 21 dan 19 tahun ini terus ditimpa nasib malang.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Piala Presiden

STUART Ramalingam, bekas SUA FAM yang kini bergelar CEO MFL. - Kredit foto: FAM


"FAM (pada 31 Ogos 2021) dengan ini memaklumkan secara rasmi bahawa pertandingan Piala Presiden dan Piala Belia 2021, dibatalkan dengan serta-merta.

"(Keputusan ini dibuat) selepas mengambil kira situasi semasa pandemik Covid-19, hal-hal operasi pertandingan dan keselamatan kesemua pemain, pegawai, petugas perlawanan dan individu yang terlibat sama ada secara langsung atau tidak langsung," kata Setiausaha Agung (SUA) FAM, Stuart Ramalingam dalam siaran media, 31 Ogos 2021.

Beliau yang menamatkan khidmatnya dengan FAM, memulakan tugas baharu sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL pada 1 September 2021 sambil berpindah pejabatnya ke sebelah Wisma FAM, Kelana Jaya, Selangor iaitu Arena Futsal FAM.  



Piala Presiden dan Piala Belia masih di bawah kawal seliaan FAM atau dalam bidang tugas Jawatankuasa Pertandingan persatuan, manakala selain Piala FA, MFL mengendalikan Piala Sumbangsih, Liga Super dan Perdana, Piala Malaysia dan Piala Pencabar.  

Kini hanya status Liga M3 (saingan senior divisyen tiga kebangsaan selepas Super dan Perdana) anjuran Liga Bola Sepak Amatur (AFL) yang masih jadi tanda tanya ketika musim 2021 cuma berbaki tiga bulan lagi. 

"Biarpun kadar kes baharu Covid-19 di Lembah Klang telah menunjukkan penurunan, kes-kes baharu di negeri-negeri lain didapati meningkat dan masih tidak menentu.

"(Situasi ini) mengandaikan satu tempoh yang lebih lama diperlukan untuk melihat angka kesnya berada pada tahap yang rendah dalam membolehkan kedua-dua pertandingan ini dilangsungkan," kata Stuart.


TERENGGANU FC IV menjuarai Piala Belia 2019. - Kredit foto: FAM


Selain itu jelas Stuart, faktor para pemain Piala Presiden dan Piala Belia 2021 yang sudah melengkapkan vaksin masing-masing juga pada tahap yang agak rendah ketika ini.

"Tahap vaksinasi itu akan memberi risiko tinggi terhadap keselamatan dan kesihatan para pemain jika kedua-dua pertandingan ini tetap mahu dilangsungkan pada tahun ini," tegasnya.

FAM bukan saja bertanggungjawab untuk pembangunan bola sepak dan penganjuran pertandingan tetapi perlu juga mengambil kira soal keselamatan dan kesihatan golongan pemain muda negara yang berusia antara 17 tahun hingga 21 tahun.

Katanya, hal-hal penting dalam penyediaan prosedur operasi standard (SOP) bagi membendung penularan Covid-19 ketika kedua-dua pertandingan itu juga didapati masih belum cukup untuk memberi jaminan dan keyakinan kepada FAM. 

"Membatalkannya satu keputusan berat tetapi tetap perlu bagi mengelak perkara-perkara yang tidak diingini berlaku yang membabitkan keselamatan dan kesihatan pemain," tambahnya. - KitaReporters


AKSI-AKSI hebat final Piala Presiden 2019 - kali terakhir pertandingannya berjaya dihabiskan sebelum musim 2020 dan 2021 terpaksa dibatalkan FAM gara-gara Covid-19. - Kredit foto: FAM

0
0
0
0
0
You will be interested