Seni & Sukan 29 Apr, 2020

Watak tomboi Johana oleh Ayda Jebat 'ikat' penonton pada TV

@khadijah ibrahim
Pernah bertugas di Kumpulan Utusan dan pernah bertugas di biro Johor. Kini masih aktif dalam dunia penulisan.

Share this

BILA menjelang Ramadan, kita akan dengar ungkapan semua syaitan kena rantai. Situasi itu juga telah berlaku terhadap kita, di mana kita semua ‘dirantai’ dalam rumah kerana arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi merungkaikan rantaian COVID-19. Namun ada dalam kalangan masyarakat yang sudah mula berasa bosan akibat terkurung terlalu lama di rumah. : KitaReporter

Drama Bukan Gadis Biasa memerlukan Ayda Jebat berpenampilan seperti tomboi.


Menyedari perkara itu, Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad (MPTN) setulus ikhlas menyediakan pelbagai program menarik untuk tontonan seisi keluarga sepanjang Ramadan ini. 

Bagi yang sudah terikut menonton drama bersiri Bukan Gadis Biasa, mesti tidak sabar untuk mengetahui apa yang bakal dilakukan oleh Johana dan Rayyan, yang waktu zaman kanak-kanak mereka tidak seindah rakan-rakan lain itu.

Drama 28 episod, arahan Azman Yahya yang mula disiarkan di saluran TV3, pada 23 April 2020, setiap Isnin hingga Sabtu, pukul 7 malam itu secara sedar atau tidak telah ‘merantai’ diri kita untuk duduk di hadapan televisyen.

Ramai yang bersimpati dengan nasib Johana yang mempunyai ibu penagih dan bapa pencuri serta Rayyan yang dibenci oleh neneknya.

Untuk menjayakan watak Johana bukanlah mudah kerana Ayda Jebat terpaksa mengorbankan rambutnya hingga pendek dan berpenampilan seperti tomboi.

Watak Johana lakonan Ayda Jebat memerlukan dia berambut pendek.


“Ini kali pertama saya memotong rambut pendek untuk watak yang saya bawa. Sebelum ini pernah berembut pendek, tapi saya memakai rambut palsu.

“Demi Johana, saya perlu berambut pendek kerana ia adalah satu tanggungjawab. 

"Bila saya berambut pendek, mudah untuk saya menjiwai watak Johana yang perwatakannya kasar sedikit berbanding gadis lain,” jelas Ayda tentang karakter yang dilakonkannya itu.

Malah katanya, Bukan Gadis Biasa juga merupakan drama pertama beliau bergandingan dengan Remy Ishak yang melakonkan watak Rayyan.

Jelas Ayda, beliau seronok berlakon bersama Remy yang berpengalaman lebih luas berbanding dirinya.

“Saya tidak ada masalah berlakon dengan Remy kerana dia sudah lama dalam bidang ini dan tahu apa yang perlu dilakukan. 

'Dia seorang yang teliti dalam penyampaian watak yang dibawa.

“Remy sering memberi tunjuk ajar kepada saya dan ilmu lakonan yang dikongsinya itu amat berguna untuk saya.

"Kehadirannya dalam drama ini amat membantu dari segi tunjuk ajar dan pemberi semangat,” katanya.

Sementara itu, Remy yang melakonkan watak penyiasat peribadi itu juga mengakui seronok bekerjasama dengan heroin Bukan Gadis Biasa itu.

Kata Remy, perangai Ayda yang ‘gila-gila’ itu membuatkan beliau sentiasa ceria sewaktu berada di set penggambaran.

Remy Ishak melakonkan watak Rayyan bersama Nazim Othman dan Sheila Rusly di lokasi Bukan Gadis Biasa.


“Saya tak tahu sama ada dia membawa watak sendiri atau Johana yang ‘gila-gila’ begitu. 

"Sebenarnya ada masalah juga bila dia buat perangai havoc begitu di lokasi.

“Saya rasa susah sikit untuk menjiwai watak bercinta dengan Johanna kerana perangai ceria Ayda membuatkan saya susah nak menjadi mat jiwang,” katanya ketawa.

Turut berlakon dalam drama yang berakhir pada 24 Mei 2020 ialah Sheila Rusly, Nazim Othman, Mas Khan dan Chaca Maembong.

Sementara itu, selain drama bersiri, program yang sering dinantikan penonton di TV3 setiap kali Ramadan adalah Jejak Rasul. 

Kali ini, Fedtri Yahya diberi tugasan sebagai hos untuk Jejak Rasul Ulul Azmi.

Kali ini penonton dibawa menjejaki peninggalan sejarah tamadun Islam yang berhubung kait dengan perjalanan hidup Nabi Nuh dan Nabi Ibrahim.

Program 15 episod yang disiarkan pada pukul 6.30 petang, setiap Jumaat hingga Ahad itu turut menampilkan perubahan.

Jejak Rasul Ulul Azmi kali ini dihos oleh Fedttri Yahya.


“Jejak Rasul Ulul Azmi kali ini kami memperkenalkan ciri visual animasi yang memudahkan pemahaman penonton. 

"Pendekatan itu dibuat bagi  memupuk minat dan pelajaran kepada penonton, khususnya kanak-kanak.

“Kali ini kami juga menekankan sirah beberapa nabi seperti Nabi Nuh dan Nabi Ibrahim. Penonton akan dibawa menikmati keindahan Turki, Jordan dan Jeruselam,” kata Fedtri.

Program-program lain yang dapat ditonton sepanjang Ramadan ini adalah Aroma Tradisi, Pesan Makan dan Jom Berbuka yang dikategorikan dalam program gaya hidup.

Untuk Drama Sangat, penonton berpeluang menonton drama Kampung People, Nur musim pertama, Pia, Semerah Cinta Humairah dan Cari Aku Di Syurga. - KitaReporter.

 

3
0
0
0
0
You will be interested