SEHARI selepas lebih 12 kampung di kawasan Kupang di Baling, Kedah dilanda banjir mengakibatkan 3 sekeluarga maut dan lebih lebih 10 buah rumah dihanyutkan oleh arus deras banjir, penduduk kampung yang tidak terlibat bersepakat memasak makanan untuk para petugas dan sukarelawan yang datang membantu.
Atas usaha bersama, setiap hari mereka memasak 4 kawah nasi dan 3 kawah gulai ayam dan ikan untuk dibungkus dan dihantar kepada mereka yang berada di kawasan-kawasan yang dilanda banjir.
Samad Yaakob
Ketua tukang masak, Samad Yaakob, 62, bersama lebih 10 pembantunya setiap pagi akan memastikan bekalan ayam dan ikan tersedia untuk dimasak.
Beliau berkata, mereka akan memastikan masakan yang dimasak sedap dimakan oleh petugas dan sukarelawan yang datang ke kampung-kampung yang dilanda banjir di Kupang.
Hampir setiap hari, selepas berlaku banjir pada 4 Julai 2022, bahan masakan disumbang oleh orang ramai yang bersimpati pada usaha murni yang dilakukan oleh mereka untuk menyediakan makanan kepada mangsa banjir, sukarelawan atau pasukan bertugas.
Menurut Samad, mereka tidak sanggup melihat petugas dan sukarelawan tidak makan kerana kedai menjual makanan tidak banyak dibuka di kawasan-kawasan yang dilanda banjir.
Sepakat untuk memasak setiap hari selagi operasi membantu mangsa banjir berjalan, mereka tetap akan menyediakan makanan pada semua termasuk mangsa banjir.
Menurut Samad lagi, setiap hari ada sumbangan daripada orang ramai untuk mereka memasak dan menyediakan makan kepada semua.
Md Radzi Ibrahim
Sementara itu, Md Radzi Ibrahim, 66, selaku pengerak utama untuk mendapatkan sumbangan membeli beras, daging ayam, ikan dan sayuran untuk dimasak berkata, setiap hari sejak kumpulan memasak ini mula memasak, tidak putus-putus sumbangan orang ramai untuk menghulurkan bantuan dan kewangan bagi membeli bahan masakan.
Jelas Md Radzi lagi, sumbangan orang ramai termasuk dari luar daerah Baling mencurah-curah sehingga mereka dapat memasak 4 kawah nasi setiap hari dengan 3 kawah gulai ayam dan 2 kawah gulai ikan.
Katanya, mereka menerima apa saja bahan untuk dimasakkan yang disumbang oleh orang ramai kerana sedar orang ramai juga ingin membantu usaha mereka.
Sementara itu, ramai sukarelawan dari kalangan bukan Melayu yang datang membantu mangsa banjur di Kupang memuji usaha kumpulan ini yang sanggup memasak sejak awal pagi sehingga malam.
Menurut Md Radzi lagi, mareka akan terus menyediakan nasi dan gulai di gerai Simpang Tiga, Jerai seperti yang ada sekarang sehingga ke satu masa yang operasi membantu mangsa mangsa banjir di Kupang dihentikan oleh pihak berkuasa, katanya pada KitaReporters. - KitaReporters
Tags: