Seni & Sukan 09 Aug, 2020

Terbaik! Harimau Selatan Jr. diiktiraf Ahli Emas SupaRimau!

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, menyertai akhbar mingguan tabloid Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. E-mel: [email protected]

Share this

TIDAK selamanya Johor Darul Ta’zim (JDT) boleh berbangga dengan kejayaan menguasai Liga Super sejak 2014, menjuarai Piala Malaysia dua kali dan menjulang Piala AFC 2015 mahupun layak ke Liga Juara Asia mulai 2019 hanya kerana bersandarkan himpunan pemain terbaik seluruh Malaysia. : KitaReporters

BARISAN pelatih Akademi JDT bergambar dengan para pegawai FAM dan JDT pada majlis penyampaian Anugerah Ahli Emas Piagam SupaRimau FAM di Johor Bahru. - Kredit foto FAM.


 Umum cukup mengenali siapa dan asal usul Safawi Rasid, Aidil Zafuan Radzak, Matthew Davies, La’Vere Corbin-Ong, S. Kunanlan, Nazmi Faiz Mansor, Syafiq Ahmad, Syamer Kutty Abba dan Akhyar Rashid dalam ‘Pasukan Impian’ bimbingan Benjamin Mora itu. 

Mereka sudah pun menikmati pengalaman antarabangsa sebagai bintang Harimau Malaya namun bukanlah anak jati Johor, sebaliknya masing-masing mula mengasah bakat bola sepak di Terengganu, Negeri Sembilan, Australia, Kanada, Selangor, Pulau Pinang dan Kedah.    

Justeru perancangan rapi dan jangka panjang perlu dibuat oleh Sang Harimau Selatan untuk menjamin kesinambungan kejayaan dalam tempoh antara 10 hingga 15 tahun akan datang menerusi pembangunan Akademi JDT yang bermodalkan bakat didikan sendiri.

Petanda awal langkah akademi yang diselia Pengarah Teknikalnya, Alistair Edwards berada di haluan tepat, sudah pun terserlah dengan penganugerahan Ahli Emas Piagam SupaRimau FAM kepadanya oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada 4 Ogos 2020 lalu.

PELATIH-PELATIH Akademi JDT (jersi biru) kerap didedahkan perlawanan persahabatan dan pertandingan sebagai pengalaman dalam mengasah kemahiran dan mematangkan permainan mereka. - Kredit foto JDT . 


Akademi JDT muncul penerima pertama anugerah piagam yang dilancarkan 4 Mei 2019 ini atas kegigihannya yang berterusan dalam membangunkan bola sepak akar umbi di negara ini, sekali gus sejajar Peta Hala Tuju F:30 FAM

Piagam SupaRimau FAM berfungsi sebagai alat sokongan yang memiliki proses sistem akreditasi dan penilaian dalam meningkatkan piawaian semua akademi bola sepak dan kualiti program mereka. 

Prasyarat keahlian SupaRimau FAM meliputi kepemimpinan, perancangan, kemudahan, pertandingan dan pendidikan yang berjaya dicapai Akademi JDT hasil cetusan ilham pemilik JDT yang juga Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.   

Mengenai kepemimpinan, akademi ini dibantu oleh Pengurus Pembangunannya, K. Sukumaran dan sepasukan Pengarah Akademi, Pegawai Perhubungan Akademi, Ketua Pencarian Bakat, Ketua Kecergasan, Ketua Fisiologi dan Penyelaras untuk kumpulan pemain dengan umur yang berbeza. 

Dalam aspek perancangan, Akademi JDT turut menjelaskan kepada ibu bapa pemain-pemain remaja dengan laluan perjalanan pemain malah falsalah pendidikan penuh dan pesat untuk mereka. 

Kemudahan Akademi JDT pula merangkumi tiga venue latihan - Padang Tapak Universiti Teknologi Malaysia, Johor Bahru; Padang Mawar, Pasir Gudang dan Stadium Mini Taman Ungku Tun Aminah, Skudai. 

Venue-venue ini juga dilengkapi sepenuhnya dengan kemudahan terkini untuk menyediakan bakat-bakat cilik akademi dengan persekitaran yang selamat untuk berlatih dan sering digunakan bagi perlawanan persahabatan dan pertandingan.

DARI kiri, Pengarah Teknikal FAM, Peter De Roo; Stuart Ramalingam; Alistair Edwards dan Setiausaha Kehormat JDT, Mohd. Anizam Jamian. - Kredit foto FAM. 


Pertandingan akar umbi turut diberi penekanan Akademi JDT buat semua pemain  peringkat umur sama ada di arena tempatan mahupun antarabangsa. 

Sebagai tambahan, mereka didedahkan sekurang-kurangnya 15 perlawanan persahabatan setiap tahun lantas pengalaman perlawanan ini mampu mencepatkan perkembangan dan kematangan permainan mereka. 

Pendidikan juga dipergiatkan Akademi JDT selain aktiviti bola sepak akar umbi seperti ceramah motivasi, kelas bahasa, kursus bimbingan dan banyak lagi sekali gus merapatkan hubungan para pemain dengan masyarakat. 

“FAM menghargai usaha berterusan Kelab JDT dalam mempromosikan dan membangunkan pemain bola sepak peringkat akar umbi. 

“Tahniah kepada Tunku Ismail dan Akademi JDT menjadi akademi pertama yang dianugerahkan Ahli Emas Piagam SupaRimau FAM,” kata Presiden persatuan, Datuk Hamidin Mohd. Amin.

KEMUDAHAN padang latihan Akademi JDT yang serba canggih dan menepati spesifikasi suasana pertandingan sebenar. - Kredit foto JDT.


Piagam SupaRimau boleh dimohon oleh mana-mana kelab bola sepak komuniti dan rekreasi dan akademi bola sepak di seluruh negara.

Piagam ini terbahagi kepada tahap keahlian yang berbeza iaitu Ahli Gangsa (asas) penekanan pada asas yang kukuh untuk pertumbuhan masa depan, Ahli Perak (lanjutan) penekanan pada kemampanan dan kemajuan, sementara Ahli Emas (unggul) khusus untuk jarak serta pengekalan.

"Ahli Piagam SupaRimau FAM bukan sahaja terbuka kepada akademi persatuan negeri atau kelab di bawah naungan FAM bahkan akademi swasta dan pengendalinya hanya perlu mendaftar dengan kami. Kini sudah ada 250 akademi yang mendaftar," kata Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam.

Kata Edwards, 52, bekas penyerang Johor kelahiran Australia, “anugerah ini membuktikan pengiktirafan tinggi kepada perancangan rapi JDT hasil ilham Tunku Ismail. Ketika ini terdapat 120 pelatih Akademi JDT daripada kalangan bawah 12 hingga 21 tahun.” - KitaReporters

BINTANG-BINTANG cilik masa depan Sang Harimau Selatan. - Kredit foto JDT.

0
0
0
0
0
You will be interested