Seni & Sukan 05 Jul, 2020

Air mata berlinang! Kelahiran satu lagi anak Siti Nurhaliza!

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: [email protected]

Share this

WALAUPUN belum kesampaian untuk menimang cahaya mata kedua, namun penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza tetap berjaya melahirkan ‘anak’ yang ke-18-nya melalui sebuah album yang menceritakan perjalanan seninya ‘ManifestaSITI2020’ dengan linangan air mata. : KitaReporters

Siti Nurhaliza Tarudin. - Kredit foto: IG @ctdk.

“Bukan apa Siti rasa sebak sebab dapat berkumpul sekali lagi dalam satu majlis selepas wabak COVID-19 melanda negara,” ujarnya ketika ditemui pada majlis pelancaran album “ManifestaSITI2020’ anjuran bersama Universal Music Malaysia & Siti Nurhaliza Productions (M) Sdn Bhd di sebuah restoran, Khan’s Indian Cuisine, The Sphere, Bangsar South, pada Jumaat, 3 Julai 2020. 

Turut hadir Pengarah Urusan Universal Music selaku Penerbit Bersama album, Kenny Ong.

Rasa sebak terzahir ketika Siti yang lebih mesra disapa Tok Ti memulakan persembahan ‘live’ mempromosikan beberapa buah lagu baharu  yang terdapat dalam albumnya buat pertama kalinya sejak PKP berkuat kuasa lebih tiga bulan lalu.

Selepas melegakan perasaannya dengan meneguk air, Siti kembali bertenaga untuk terus melontarkan vokal mantapnya menyampaikan beberapa buah lagu.

Antaranya ialah lagu ciptaannya sendiri, “Tertulis Nama Kita’, ‘Kuasa Cintamu’ dan tidak ketinggalan sebuah lagu nyanyian asal Allahyarham Dato' Sudirman Arshad karya komposer Raja Kobat Salehudin iaitu 'Teratai Menjelma'.


Pastinya perasaan sayu itu juga dipengaruhi oleh faktor keadaan semasa yang berdepan dengan pelbagai kekangan  seperti penularan wabak COVID-19 yang membuatkan pembikinan albumnya tertangguh.

“ManifestaSITI2020 adalah buah tangan saya pada tahun 2020 dan tentunya saya mahu mengabadikan sesuatu yang istimewa sempena kedatangan tahun yang mempunyai sejarah tersendiri kepada dunia ini,” jelas Siti.

Menceritakan antara cabaran yang dilalui, ibu kepada Siti Aafiyah ini tidak segan untuk memberitahu beliau terpaksa mengulangi rakaman beberapa kali untuk sebuah lagu yang diciptanya sendiri, ‘Tertulis Nama Kita’.

Kulit hadapan 'ManifestaSITI2020'.

“Apabila saya rasa tidak puas hati dengan rakaman, saya akan mengulanginya semula dan saya akui memang agak sukar untuk menyanyikan lagu ciptaan sendiri,” ujarnya.

Selain itu, beliau turut menzahirkan liriknya sendiri buat lagu ciptaan Melly Goeslow, ‘Kuasa Cintamu’ yang didedikasikan kepada puteri kesayangannya, Siti Aafiyah seperti antara bait liriknya berbunyi:

“Kehadiranmu seperti tak mungkin bisa terjadi

Telah Kau ikhlaskan doaku ini

Dari dulu ku menunggu

Dikaulah harapan

Satunya yang tak dapatku gambarkan

Ternyata ini membuatku jatuh

Jatuh cinta

Jatuh cinta lagi….”

Sesungguhnya, melihat pada judul album terbaharu Siti ini sahaja sudah dapat mencerminkan maksud tersurat serta tersirat yang ingin disampaikan penyanyi bersuara ampuh ini kepada mereka yang mendengarnya.

Menurut Tok Ti, album ini boleh dianggap sebagai satu terjemahan emosi dan juga suara hatinya yang ingin disampaikan kepada semua peminat, selain ingin mencatat kenangan peribadi pada tahun yang bukan sahaja unik dari segi angkanya tetapi juga bakal diabadikan dalam lipatan sejarah dunia.

Siti Nurhaliza turut menyampaikan lagu '7 Nasihat' sebuah kolaborasinya bersama komposer baharu, Krny Kimo dan Luca Sickta.

Pun begitu, dalam pada kesibukannya mempromosikan album terbaharunya ini  yang mana sejak tempahan awal dibuka pada 29 Jun 2020 lalu, sebanyak 1,500 unit habis dijual dalam beberapa jam sahaja, Siti tidak pula mahu mengabaikan keinginannya untuk menimang cahaya mata kedua.

“Saya masih menjalani rawatan kesuburan persenyawaan in-vitro (IVF) dan berdoa agar impian untuk memperoleh anak kedua tercapai. Doakan,” akuinya penuh harapan.

Album ‘ManifestaSITI2020’ memuatkan 11 buah lagu pelbagai genre hasil karya komposer-komposer baharu dan lama antaranya seperti  Ippo Hafiz, Ikhwan Fatanna, Hael Husaini, Hafiz Hamidun serta penyanyi terkenal Indonesia, Melly Goeslaw.

Siti Nurhaliza dan Kenny Ong (sebelah kiri Siti) mengabadikan kenangan bergambar bersama barisan komposer yang terlibat dalam albumnya antaranya Raja Kobat (dua dari kiri, barisan depan) dan Hael Husaini (kiri).

Daripada 11 lagu berkenaan, SIti turut memuatkan lagu-lagu single terbaharunya sebelum ini seperti ‘Anta Permana’, ‘7 Nasihat’ dan ‘Basyirah’. 

Album 'ManifestaSITI2020' boleh didapati pada platform SNP On Pay dengan harga RM46.90 malah penghantaran juga boleh dibuat sehingga ke Singapura, Brunei dan Indonesia. 

Sementara itu, peminat yang berminat untuk mendapatkan album 'ManifestaSITI2020 Edisi Khas' yang mengandungi pelbagai barangan cenderahati boleh menempahnya pada platform SNP On Pay mulai 6 Julai depan. - KitaReporters


135
20
7
17
11
You will be interested