“SAYA sering duduk termenung berfikir sebelum ini bagaimana cara atau kaedah berkesan bagi menarik murid meminati pelajaran muzik khusus untuk meniup rekorder di depan saya apabila berada di dalam kelas.
“Mengikut silibus lazimnya saya mengajar mereka meniup rekorder dengan memainkan lagu kanak-kanak, bagaimanapun saya perasan pada wajah mereka seolah-olah tidak memberi suatu kepuasan selepas mengikuti kelas muzik,” kata Guru Muzik Sekolah Kebangsaan (SK) Senawang, Seremban, Negeri Sembilan, Cikgu Kamarul Shahril Kamarudin.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan sekolah
Murid SK Senawang meniup rekorder dengan mengalunkan lagu popular yang menjadi siulan anak muda.
Bukan niat untuk mengubah silibus, Cikgu Kamarul berkata, dengan memikirkan daya kreatif perlu ada pada setiap pendidik untuk menarik murid meminati mata pelajaran yang dipelajari dan dia mengetengahkan alunan lagu moden yang menjadi siulan anak muda sekarang untuk dimainkan oleh muridnya.
Menurutnya, percubaan beliau berjaya menarik perhatian muridnya yang berasa seronok dan ceria antara mereka apabila dapat mempelajari untuk meniup rekorder memainkan lagu itu walaupun pada awal agak kekok kerana lagu berkenaan pada tahap agak sukar.
Jelas
beliau, bagaimanapun tiada masalah apabila murid itu sekian lama mengikuti
silibus meniup rekorder memainkan lagu kanak-kanak menjadikan mereka mahir
dalam penjarian, tempo dan ton yang saya ajarkan.
Katanya, serasi
dengan minat terhadap lagu baharu yang menjadi siulan itu walaupun sukar tetapi
dengan kemahiran yang sudah dipupuk menjadi mudah bagi mereka meniup rekorder mengalunkan
lagu berkenaan di samping pula menjadi senang apabila memainkan lagu kanak-kanak
kerana pada tahap sedikit rendah.
“Saya bahagikan masa 20 minit untuk mengajar mengikut silibus dan 10 minit berikutnya digunakan bagi mengajar pada luar silibus iaitu meniup rekorder menggunakan lagu baharu terkini, langkah ini menunjukkan murid sentiasa bersemangat dan menunggu saya untuk mempelajari note lagu yang baharu.
Cikgu Kamarul menggunakan daya kreatifnya untuk menarik minat murid kepada mata pelajaran muzik serta berasa seronok datang ke sekolah.
“Bagi menambahkan lagi keberkesanan melatih murid meniup rekorder lagu baharu ini, saya akan meniupkan lagu itu terlebih dahulu, kemudian merakam dan menviralkan dalam YouTube dengan memberikan pautan kepada murid.
“Mereka
akan belajar penjarian, tempo dan ton mengikut tutorial yang disediakan dalam pautan
YouTube saya. Mereka boleh belajar bila-bila masa sahaja termasuk di rumah dengan
hanya merujuk kepada tutorial saya sediakan dalam YouTube,” katanya.
Cikgu
Kamarul berkata, antara lagu popular
yang sering diajar untuk dimainkan oleh muridnya menggunakan rekorder sejak
beberapa tahun lalu ialah Malam Semakin Dingin nyanyian Spin, Teman (Iman Troye
), Kembang Terhalang ( Gamma ), Gemuruh (Search & Wings) dan yang terkini
Aku Cinta Kamu (Bob Sentuhan).
Menurut beliau, semua muridnya itu berjaya mainkan lagu berkenaan dengan baik serta penuh bersemangat dan cemerlang sehingga pernah menarik perhatian daripada komposer atau penyanyi asal lagu itu.
Cikgu Kamarul menggunakan daya kreatifnya mengendalikan kelas mata pelajaran muzik di SK Senawang, Seremban, Negeri Sembilan.
Jelasnya, kemahiran yang dimiliki murid-murid dia itu bukan suatu yang mustahil kerana jika ada minat mereka mudah untuk menerima ilmu terutama dalam membaca not lagu ditambah lagi rajin berusaha serta berlatih sendiri di rumah.
Beliau
berkata, apabila di sekolah sudah menjadi budaya murid terbabit akan mengambil
kesempatan meniup rekorder pada waktu pagi, ketika masa rehat, balik dan waktu
senggang bagi mempraktikkan kemahiran terutama membabitkan lagu baharu
kegemaran mereka.
Tambah
Cikgu Kamarul, kaedah yang digunakan itu secara tidak langsung menjadikan satu
motivasi kepada murid untuk rajin hadir ke sekolah bukan setakat bagi mengikuti
mata pelajaran muzik juga mata pelajaran lain kerana berasa seronok serta
terhibur berada di sekolah.
Menurutnya,
kecemerlangan murid yang didiknya itu membolehkan sekolah menubuh pasukan
rekorder yang mantap dan sering muncul sebagai johan pertandingan rekorder pada peringkat Negeri Sembilan.
“Saya ingin membuka mata semua pihak selain berasa bangga bahawa rekorder juga boleh mengalunkan pelbagai jenis lagu, asalkan ada asas, bakat serta minat. Murid yang bermotivasi akan menjadikan sesuatu pembelajaran itu mudah difahami.
Cikgu Kamarul bersama pasukan rekorder SK Senawang yang sering muncul sebagai juara dalam pertandingan pada peringkat Negeri Sembilan.
“Dengan menggunakan
rekorder ini sudah ada beberapa murid saya berjaya memasuki sekolah seni dan
Insya-Allah mereka akan terus menyambungkan pelajaran dalam bidang yang sama
serta kemungkinan suatu hari nanti menjadikan muzik sebagai kerjaya,” katanya.
Antara pautan YouTube tiupan rekorder murid Cikgu Kamarul mengalunkan lagu terbabit boleh diikuti menerusi https://youtu.be/6OffrH1Ndh0 (Malam Semakin Dingin -Spin), https://youtu.be/vA4-WgOHbPo (Aku Cinta Kamu - Bob Sentuhan), https://youtu.be/Cg0H-L_kOn0 (Teman - Iman Troye), https://youtu.be/L6Ae4oAdmuI (Kembang Terhalang - Gamma), https://youtu.be/znyFpbBoDMU (Srikandi Cintaku - Bloodshed). - KitaReporters