Seni & Sukan 24 Feb, 2022

Pertembungan Peteh-Hobin seawal Pusingan 1! Piala FA kembali! Sekali lawan, tanpa timbal balik!

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, menyertai akhbar mingguan tabloid Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. E-mel: timmediasepaktakraw@yahoo.com

Share this


UNDIAN pusingan pertama Piala A Malaysia 2022 menemukan dua pasukan Liga Super 2022, Terengganu FC dan Negeri Sembilan FC seawal pusingan pertama lagi antara 11 hingga 13 Mac 2022. - Kredit foto: MFL


TERENGGANU FC menentang Negeri Sembilan FC seawal pusingan pertama lagi bagi Piala FA Malaysia 2022!

Pertembungan dua pasukan Liga Super 2022 ini pasti menjadi tumpuan utama apabila sepak mula pertandingan bola sepak kalah singkir kebangsaan ke-31 dilakukan pada 6 Mac 2022 ini.

Negeri Sembilan FC juga merupakan pendatang baharu Liga Super 2022 setelah menjuarai Liga Perdana 2021 selain masing-masing pernah menjulang Piala FA sebanyak dua kali.  


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Piala FA Malaysia

NEGERI Sembilan FC yang menjuarai Liga Perdana 2021, berdepan ujian sebenar dengan Terengganu FC dalam Piala FA 2022. - Kredit foto: MFL



Majlis undian rasmi Piala FA 2022 secara dalam talian dari Studio Spacelabs, Bukit Jalil ini turut merakamkan laluan mudah buat juara 2019, Kedah Darul Aman (KDA) FC yang hanya akan berdepan pasukan Liga M3, Sains FC.

Hadir majlis ini ialah Ahli Lembaga Pengarah Liga Bola Sepak Malaysia (MFL),  Datuk Mohd. Saiful Mat Sapri dan Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam, lapor siaran media MFL pada 23 Februari 2022.

Piala FA dibatalkan dua musim berturut-turut, 2020 dan 2021 kerana pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) manakala saingan 2022 bakal hanya berlangsung dalam satu perlawanan atau tiada lagi timbal balik.

Pusingan pertama berlangsung dari 11 hingga 13 Mac 2022, pusingan kedua 13-14 Mei 2022, suku akhir 7-8 Julai 2022, separuh akhir 23-24 Julai 2022 dan perlawanan akhir, 6 Ogos 2022.


KEDAH bergembira meraikan kejayaan menjuarai Piala FA 2019 selepas menewaskan Perak 1-0 di Bukit Jalil. - Kredit foto: FAM 


Kedah menjuarai edisi ke-30 pada 2019 selepas menewaskan Perak 1-0 dalam masa tambahan di Stadium Nasional, Bukit Jalil sekali gus menjadi pemenang terbanyak lima kali bersama-sama Selangor FC.

Selangor FC pula dijangka tidak bermasalah untuk mengatasi satu lagi pasukan M3, Harini FC seperti mana juara Piala Malaysia 2021, Kuala Lumpur City FC yang cuma menentang Langkawi City FC dalam pusingan pertama.  

Sebelas pasukan Liga M3 iaitu PIB FC, Tok Janggut Warriors FC, Manjung City FC, Perlis United FC, Sains FC, Kijang Rangers FC, Langkawi City FC, Harini FC, Kinabalu Jaguar FC, Ultimate FC dan Respect FC mendapat laluan percuma pusingan pertama.

Menjelang pusingan itu, dua perlawanan play-off Piala FA pada 6 Mac 2022 akan menemukan BRM FC dan Tun Razak City FC selain Bukit Tambun FC dan Imigresen FC.


UNDIAN pusingan play-off atau kelayakan Piala FA 2022 bagi empat pasukan Liga M3 dan laluan percuma untuk 11 lagi wakilnya. - Kredit foto: MFL 


Namun laluan getir menggamit pemenang BRM FC-Tun Razak City FC yang bakal berdepan juara Liga Super lapan kali berturut-turut dan juara Piala FA 2016, Johor Darul Ta'zim (JDT) FC dalam pusingan pertama.

Pemenang Bukit Tambun-Imigresen FC ke pusingan pertama pula ditunggu oleh Penang FC yang menduduki tempat ketiga Liga Super 2021.

“Jerantut FA muncul pasukan amatur pertama yang layak ke pusingan ketiga Piala FA namun ditewaskan Perak FC 2-1 yang kemudiannya muncul naib juara 2019,” lapor siaran itu lagi.

Pasukan Liga M3 yang melepasi pusingan pertama Piala FA, akan memegang status sebagai pasukan pelawat selepas diundi bertemu pasukan Liga Super atau Perdana pada pusingan kedua Piala FA.

Penetapan ini dibuat kerana gelanggang pasukan Liga Super dan Perdana, lebih menepati keperluan komersial, piawaian penyiaran perlawanan dan prosedur operasi standard (SOP) pandemik bagi membendung penularan Covid-19 menurut ketetapan Majlis Keselamatan Negara (MKN). - KitaReporters


JDT FC sentiasa meraih tumpuan ramai dengan reputasi juara Liga Super lapan kali berturut-turut sejak 2014 dan pengalaman tiga kali aksi Liga Juara AFC. - Kredit foto: MFL


KUALA Lumpur City FC, juara Piala Malaysia 2021 yang tidak boleh dipandang enteng dalam Piala FA 2022 malah akan menyaingi Piala Sumbangsih Sultan Ahmad Shah pada 26 Februari 2022 dengan JDT di Iskandar Puteri, Johor. - Kredit foto: MFL

9
11
0
14
0
You will be interested