Seni & Sukan 17 Feb, 2022

Video| Ernie Zakri Korban demi Syamel! Rakam lagu semasa hamil 7 bulan, sebelum dia bergelar ibu!

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com.

Share this


Beginilah namanya seorang berdarah seni, walau pun sarat mengandung jiwa dan minda Vokalis Terbaik Anugerah Juara Lagu ke-35 tahun lalu, Ernie Zakri, 29, tidak pernah berhenti untuk berkarya sehingga sempat menciptakan sebuah lagu istimewa untuk suami tercinta, Syamel, sebelum melahirkan bayi sulung mereka.

Berjudul ‘Korban’, single terbaharu Ernie terbitan Rocketfuel Entertainment ini dicipta sepenuhnya oleh beliau bagi menghargai segala pengorbanan yang telah dilakukan oleh Syamel sepanjang tempoh dia bergelar isteri dan hamil.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Ernie Zakri


“Banyak  yang telah ditempuhi Syamel sepanjang saya mengandung. Bayangkanlah perasaan beliau ketika itu, dengan keadaan arwah umi yang sedang tenat di hospital manakala saya pula sedang hamil, tak dapat saya ungkapkan,” ujar Ernie sambil mengakui maksud lagu ‘Korban’  sangat besar maknanya bagi menggambarkan pengorbanan sesebuah pasangan dalam menjaga perhubungan ketika waktu susah atau senang

Menurut Ernie, beliau merakamkan lagu itu ketika usia kandungan menjangkau 7 bulan dan anggap ia projek terakhirnya sebelum bergelar ‘ibu’ dan menjalani tempoh berpantang dan cuti bersalin selama 60 hari,

“Pelbagai pengorbanan telah Syamel lakukan sebagai suami serta bakal bapa dan baru-baru ini saya dihadiahkan pula dengan kejutan berupa sebuah majlis ‘baby shower’ dan doa selamat, terharu saya dibuatnya!,” kenang Ernie bersyukur,


Foto Kredit @syamel_official.



Sungguh pun tidak berkesempatan menyampaikan sendiri lagu ‘Boneka’ yang berjaya mara ke pertandingan muzik tahunan berprestij AJL36 pada 6 Mac 2022 ini memandangkan usia kandungan sudah 8 bulan, Ernie tetap syukur dengan rezeki anak dalam kandungannya apabila ‘Boneka’ layak ke final.

Sepanjang bergelar anak seni, Ernie mengakui banyak menyimpan kisah suka serta duka yang diterjemahkannya ke dalam lagu  di mana lagu ‘Korban’ turut  mempunyai maksud yang sangat istimewa dalam hidupnya.

Masih mengetengahkan genre balada pop yang sering dialunkan oleh Ernie sebelum ini, ada unsur dramatik yang diselitkan sesuai dengan ‘jiwa’ lagu tersebut.

“Kalau pendengar hayati melodinya, agak melankolik sama seperti lagu ‘Gundah’ yang pernah saya nyanyikan sebelum ini, namun ia bukanlah sedih tetapi lebih kepada perasaan terharu terhadap pengorbanan yang diberikan,” cerita Ernie.

Katanya, memandangkan lagu tersebut diciptakan sepenuhnya, beliau tidak mengambil masa yang lama untuk merakamkannya.

“Saya hanya mengambil masa selama 1 jam lebih untuk merakamkan lagu ini kerana lebih mudah apabila lirik, melodi dan komposisinya hasil ciptaan saya sendiri. Namun pengalaman yang paling menarik sudah tentunya merakamkan single ketika hamil di Studio Kharisma di Petaling Jaya, dan syukur saya berjaya sudahi tugas tersebut,” tambah pemilik bernama penuh, Nur Ernie Shahirah Zakri ini.



Teruja sebenarnya nak menunggu kelahiran anak sulung tidak lama lagi, Ernie memberitahu, selain rasa berdebar-debar kerana merupakan pertama kalinya akan berhadapan dengan proses bersalin, beliau bersyukur sudah menyiapkan segala kelengkapan bayi sebaik mungkin,

“Saya pohon doa daripada semua agar semuanya selamat dan baik-baik sahaja. Dan semoga single terbaharu 'Korban' diterima dan disukai ramai kerana mesej yang dibawakan malah saya pasti ramai yang pernah merasainya,” akhiri Ernie.



Sementara itu, Feros Sayna selaku Ketua Rocketfuel Entertainent berpendapat, Ernie Zakri adalah antara penyanyi wanita Malaysia yang tak dapat disangkal lagi kehebatan vokalnya, walaupun sedang hamil 7 bulan, beliau masih lagi berkarya dan mampu menghasilkan muzik yang berkualiti.

“Sebuah lagi ‘masterpiece’ berjaya dicipta oleh Ernie, semoga 'Korban' bakal menjadi hit  dan terus melangkah jauh. Bagi pihak Rocketfuel, saya ucapkan yang terbaik buat Ernie dan Syamel dalam menimang cahaya mata pertama mereka,” tambah Feros.

Lagu ‘Korban’ boleh dimuat turun di iTunes Store mulai esok, Jumaat, 18 Februari 2022 dan dijadikan sebagai nada dering panggilan menerusi ke semua syarikat telekomunikasi tempatan serta boleh didengar dan nikmati pada bila-bila masa melalui aplikasi penstriman atas talian seperti Apple Music, Spotify, Joox, YouTube Music, KKBox dan Deezer.

Manakala lirik video single ini pula boleh ditonton secara eksklusif di YouTube Rocketfuel Network pada tarikh yang sama. - KitaReporters


10
8
0
19
0
You will be interested