Seni & Sukan 08 Mar, 2022

Tolong kami! Bantu bina surau baharu! Pondok Bidayatul Hidayah tagih simpati! Dana belum cukup!

@rosdi ismail
Berpengalaman sebagai pemberita bersama Berita Harian (BH) bermula pada tahun 1985 hingga 2017. Pada tahun 1991, diserapkan dalam unit penyunting BH di Bangsar, Kuala Lumpur. Kemudian, pada tahun 1997 dipindahkan ke unit pendidikan BH sebagai penyunting

Share this


PIHAK pengurusan Pondok Bidayatul Hidayah (PBH) yang terletak berhampiran kaki Gunung Kinabalu, di Kundasang, Sabah merayu orang ramai untuk menginfak dana bagi membantu membina surau baharu yang tertangguh hampir setahun.

Selepas kempen mencari dana dilancarkan awal tahun 2021 lalu jumlah yang terkumpul belum mencukupi, bagaimana pihak PBH terpaksa memulakan kerja asas pembinaan surau itu bagi mengelak tanah yang sudah dibersihkan terbiar kosong.

Pengerusi PBH, Mustafa Asad, memaklumkan surau baharu itu amat perlu bagi mengantikan surau sekarang yang diperbuat daripada bahan terpakai termasuk kayu serta papan semakin uzur selain itu tidak sesuai untuk menempatkan pelajar yang datang jauh dari pedalaman.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Kundasang

Pelajar PBH mengikuti kuliah agama dalam surau yang semakin uzur.


 


Beliau berkata, PBH bercadang membina surau lengkap dengan pelbagai kemudahan asas yang akan turut digunakan komuniti sekitar termasuk penduduk Kampung Kundasang Lama, Ranau untuk solat berjemaah serta mengikuti pengajian agama bersama-sama pelajar pondok.

Menurutnya, bagi mengelak kerja membina surau itu berterusan tertangguh PBH akan memulakan kerja asas fasa satu pembinaan seperti meratakan tanah, membangunkan struktur bangunan dan sebagainya dengan menggunakan dana yang terkumpul.

Tambahnya, tanah menjadi tapak untuk pembinaan surau itu sebelum ini digunakan penduduk untuk berkebun dengan menanam pelbagai sayur-sayuran yang akan dihentikan bagi membolehkan kerja membersih serta meratakan tanah dilakukan.


Kawasan tanah kebun sayur-sayuran yang terpaksa diratakan bagi tujuan pembinaan tapak surau baharu.


“Mereka yang mengusahakan kebun di atas tanah ini sudah dimaklumkan dan memberi kerjasama amat baik untuk menyelesaikan kerja-kerja memetik hasil terakhir secepat mungkin supaya kerja pembinaan tapak surau tidak terganggu.

“Dalam hal ini kita terpaksa memikirkan keselamatan dan keselesaan pelajar pondok yang mengikuti pengajian agama berasa tidak terganggu kerana surau lama amat uzur serta sempit di samping penyediaan kemudahan asas yang agak tidak sempurna,” katanya.

Mustafa berkata,  pada peringkat awal kos pembinaan surau baharu dijangkakan di bawah RM500,000 sahaja namun berikutan kenaikan kos bahan pembinaan dan gaji pekerja perbelanjaan meningkat kepada hampir RM800,000.


Pelajar Pondok Bidayatul Hidayah, Kundasang, Sabah mengaminkan doa memohon kepada Allah supaya orang ramai menginfakkan dana membantu membina surau baharu.


Jelas beliau, berikutan itu pihak pengurusan PBH terpaksa mengubah suai semula pelan pembinaan surau baharu berkenaan untuk mengelak menelan kos terlalu tinggi kerana mungkin akan menyukarkan lagi usaha untuk mengumpul dana.

“Pengurusan PBH amat berharap surau baharu ini dapat dibina segera seperti dijadualkan selain mendapat sokongan pelbagai pihak khusus bagi mengumpul dana apabila banyak urusan berkaitan pembinaannya sudah diselesaikan dengan sempurna.

“Sebahagian pelajar PBH adalah dalam kalangan anak-anak daripada keluarga miskin, asnaf, anak yatim serta mualaf yang menetap jauh di pedalaman tetapi menunjukkan minat di samping bersemangat tinggi untuk mendalami pengajian agama.

“Kami berharap usaha membina surau baharu ini berjaya capai matlamat yang sekian lama menjadi impian dalam usaha melahirkan ramai generasi muda yang berpengetahuan tinggi dalam agama di Sabah,” katanya.


Bahagian belakang pondok yang kekurangan kemudahan asas digunakan sebagai dapur oleh pelajar PBH.


Kepada mereka yang ingin mendapatkan maklumat mengenai PBH serta menyumbang dana boleh menghubungi Pengerusinya Mustafa Asad menerusi nombor telefon 01115098123; Bendahari, Sulaiman Mohd. Noor (0128030367); Setiausaha,  Mohamad Faizee Wahidin (0138723209). 

Sumbangan juga boleh disalurkan terus ke BSN melalui akaun bernombor 1211141100032362 (Surau Pondok Bidayatul Hidayah). - KitaReporters

26
14
0
9
0
You will be interested