Seni & Sukan 13 Nov, 2021

Isu tunggakan gaji pemain Kedah! Peminat cemuih! Tolong jangan ulang! Tak mampu, letak jawatan!

@rodly fadly
Memulakan kerjaya kewartawanan bersama Mingguan Perdana dan Harian Nasional pada 1983. Pada 1984-1991 menyertai Kumpulan Karangkraf sebagai Pengarang Arena Bolasepak dan Mingguan Sukan sebelum ke Berita Harian (1991-1997). Pemenang Anugerah Penulis Sukan Terbaik Malaysia 1986. Kini penulis bebas.

Share this

  


ISU tunggakan gaji yang melanda kelab bola sepak Kedah Darul Aman FC (KDA FC) atau Kedah FC menjelang aksi suku akhir Piala Malaysia mencetuskan kemarahan penyokong terhadap pengurusan pasukan itu.

Walaupun isu itu berjaya diatasi beberapa jam sebelum Kedah FC turun beraksi dengan Johor Darul Ta’zim (JDT) esok, 14 November 2021, namun rata-rata penyokong meluahkan kekecewaan mereka melalui media sosial dengan mempertikaikan kewibawaan pengurusan kelab itu yang dlihat gagal menangani isu berkenaan sehingga menjadi ‘penyakit’ berulang.

Presiden Kelab Penyokong Jaguh Utara (JUFC), Safarizal Mohd Sobri atau Jatt berkata, peminat sudah bosan dengan situasi itu dan mahukan Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) agar segera mengelakkan 'penyakit' itu daripada terus berlaku.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Kedah FC

Safarizal Mohd Sobri, presiden JUFC. 


“Ini bukan kes pertama malah saban tahun berlaku. Ia seolah-olah masalah yang tiada kesudahan walaupun pengurusan serta pentadbiran sudah beberapa kali bertukar pemimpin.

“Persoalannya apakah kepemimpinan KFA tidak belajar daripada kesilapan lalu. Tahun lepas kita menghadapi masalah yang sama dan ia berulang pada tahun ini. Saya berasa seolah-olah ada yang tak kena dan saya syak ada ‘permainan’ di sini yang sengaja dicetuskan pihak tertentu untuk kepentingan diri.

“Terus terang, kami penyokong sudah cemuih (bosan) dengan permainan dan sandiwara ini dan kami pinta tolonglah hentikan demi bola sepak negeri Kedah,” ujar Jatt.


Kedah FC menjalani latihan sebagai persiapan menghadapi JDT pada suku akhir Piala Malaysia. Kredit Kedah FC.


Menurut Jatt daripada maklumat yang diperolehinya, pemain berdepan tunggakan dua bulan gaji dan pihak pengurusan hanya bertindak menanganinya selepas ia heboh diperkatakan oleh penyokong melalui media sosial ekoran dua kekalahan kepada Melaka United pada perlawanan peringkat kumpulan Piala Malaysia.

“Saya difahamkan, tunggakan itu sudah dijelaskan pada Jumaat (12 November 2021). Ia sesuatu yang melegakan menjelang perlawanan suku akhir Piala Malaysia menentang JDT.

“Sebagaimana kita maklum, JDT bukan calang-calang pasukan dan untuk berdepan dengan mereka, pemain perlu fokus serta bebas daripada sebarang masalah. 

“Walaupun masalah tunggakan gaji sudah diatasi, kami, penyokong, sangat berharap ia tidak akan berulang. Hentikan isu tunggakan gaji ini, cukuplah sampai di sini. 

“Kepada pemimpin dan pengurusan, jika tidak mampu menjalankan tanggungjawab, elok letak jawatan sahaja. Jangan malukan bola sepak Kedah!” tegas Jatt.

Kredit: Kedah FC


Sementara itu Presiden Kelab Penyokong Puaka Jerai (PJFC), Zulkifli Hashim juga berharap isu tunggakan gaji tidak akan berulang lagi kerana ia boleh menjejaskan moral pemain sekali gus merosakkan reputasi bola sepak Kedah.

“Setakat ini, apa yang saya lihat pemain bersikap profesional. Mereka tetap memberi komitmen 100 peratus di dalam padang walaupun sedang dilanda masalah tunggakan gaji.

“Buktinya, Kedah masih mampu mengekalkan reputasi sebagai antara pencabar utama dengan menduduki tangga kedua Liga Super dan layak ke suku akhir Piala Malaysia.


Zulkifli membuat persiapan untuk turun menyokong Kedah menentang JDT pada suku akhir Piala Malaysia. - Kredit foto: FB Puaka Jerai.


“Tapi, kami bimbang jika pengurusan masih mengambil mudah masalah ini, lambat-laun pemain akan bosan dengan tidak memberi tumpuan kepada perlawanan atau berkemungkinan mengangkat kaki ke pasukan lain musim depan.

“Bagi saya, amat mudah, jika kita mahu pemain bersikap profesional, pengurusan juga perlu bertindak profesional terutama dalam bab gaji dan kebajikan pemain.

“Bayangkan, pemain seperti Kpah Sherman sanggup berkorban untuk tidak mewakili negaranya (Liberia) semata-mata hendak membantu Kedah pada Piala Malaysia, tak kan kita hendak sia-sia pengorbanan itu dengan menjadikan pemain mangsa tunggakan gaji.


Kredit: Kedah FC


“Kami tidak mahu pengurusan terus-terusan menjadikan Covid-19 sebagai alasan kepada masalah yang melanda pasukan. Tugas mereka adalah mencari jalan untuk mengatasi masalah ini, jika gagal, elok bagi orang yang lebih berkemampuan menerajui KFA dan kelab.

“Kita dengar Kedah mendapat projek berbilion-bilion, tak kan la gaji pemain pun tak mampu nak bayar, malulah,” kata Zulkifli yang terkenal dalam kalangan penyokong sebagai Puaka Jerai.

Kedah bakal berdepan JDT pada suku akhir Piala Malaysia dengan perlawanan pertama di Stadium Darul Aman, Alor Setar berlangsung Ahad, 14 November, 2021 sementara timbal balik di Johor Baharu pada Khamis, 18 November, 2021. - KitaReporters


Pemain Kedah gigih menjalani latihan menjelang pertembungan dengan JDT pada suku akhir Piala Malaysia 2021. - Kredit foto: Kedah FC

11
18
0
14
0
You will be interested