Seni & Sukan 28 Aug, 2020

Alvin Chong pilih Salmah! Bagi ubah masa depan jadi penyanyi

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: [email protected]

Share this

APABILA menyebut judul single terbaharu dari penyanyi dan pelakon artis bukan Melayu, Alvin Chong, “Sayangku Salmah’ tentu ada yang teringat tajuk  “Sayang Salmah” sebuah filem arahan Dr. Mahadi J Murat yang dibintangi Sidi Oraza dan Norish Karman pada tahun 1995. Kini, selepas 25 tahun Alvin mengembalikan nama ‘Salmah’ di persada seni. Kenapa? - KitaReporters

Alvin Chong. - Kredit foto: Instagram @alvinchong123.


“Kenapa judul Sayangku Salmah, sebab Salmah nama yang sangat sinonim dan dekat dalam komuniti kita. Malah, saya berasa setiap orang mesti ada kawan atau ahli keluarga mereka yang bernama Salmah.

“Buktinya, apabila saya memuat naik lagu ini di TikTok ramai cakap nama kawan mereka Salmah dan ada juga nama adik mereka Salmah. Pendek kata, nama ini dipilih sebagai simbolik kepada wanita bagi disesuaikan dengan muzik video dan jalan cerita lagu ini,” jawab Alvin Chong pada sidang media yang berlangsung pada Rabu, 26 Ogos 2020 lalu bertempat di 

HighPark Suites di Petaling Jaya, Selangor.



Turut hadir, Pengarah Urusan Kumpulan Universal Music Malaysia, Singapura dan Indo-China, Kenny Ong (kanan).

Malah Alvin sanggup menganjurkan peraduan SayangkuSalmahChallenge untuk pengikut dalam laman Instagramnya yang seramai 1. 2 juta dengan hadiah utama berupa sebuah telefon pintar Iphone 11.


Lagu hasil ciptaan sepenuhnya oleh Dedeq dan diterbitkan oleh Universal Music Malaysia itu memberi warna baru dalam kerjaya nyanyian Alvin yang tidak pernah berputus asa biarpun beberapa lagunya sebelum ini kurang mendapat sambutan, waima Alvin lebih dikenali sebagai pelakon dalam beberapa drama Melayu.

Seperti penyanyi lain, sudah semestinya jejaka berusia 29 tahun dari Pulau Pinang ini ingin membuka mata para peminat yang dirinya juga adalah seorang penyanyi.

“Sebelum ini saya pernah melancarkan beberapa lagu, tapi sedikit sedih sebab tidak ada yang meletup. Jadi, kali ini saya cuba genre lain iaitu dangdut dan harap lagu ini dapat buka mata ramai bahawa saya juga adalah penyanyi,” harapan pemilik nama penuh, Alvin Chong Chean Wah ini.



Menurutnya, lagu “Sayangku Salmah’ berkisar mengenai cinta yang tak kesampaian. 

“Sebab generasi baharu hari ini kebanyakan yang bercinta tak kekal lama. Ada yang putus sebab bukan pilihan mereka seperti berbeza bangsa, agama dan budaya. Jadi macam-macam sebab tak boleh selesai,” tambah Alvin.

Sehubungan itu, katanya  dalam muzik video lagu tersebut, beliau menceritakan mengenai pasangan kekasih yang bercinta tapi putus atas sebab tertentu. Dan sebab musabab itu kata Alvin, "biarlah penonton yang tentukan sendiri berdasarkan pemahaman mereka."

“Mungkin ia boleh terjadi disebabkan lelaki itu curang, keluarga tak restu, perempuan ada tunangan lain dan macam-macam lagi. Jadi, saya biarkan penonton yang tentukan,” tambahnya.

Lebih menarik apabila, video muzik (MV) rasmi ‘Sayangku Salmah’ yang dilancarkan pada hari ini (28 Ogos 2020) melalui saluran YouTube AlvinChongVEVO turut dipersembahkan dalam bentuk travelog sebanyak tiga episod.

Ia adalah inisiatif Alvin dan pasukan dalam memaparkan lokasi menarik yang terdapat dalam MV itu yang mana bakal ditayangkan dalam platform ourdaily.co bermula 7 September bagi episod pertama, 14 September (episod kedua) dan 21 September 2020  (episod ketiga).

Video muzik rasmi ‘Sayangku Salmah’ dan siri travelog ini merupakan projek perintis antara AirAsia dan Universal Music Malaysia di bawah penerbitan Redcarpet.

Redcarpet berhasrat untuk menggabungkan kekuatan kedua-dua buah syarikat dengan memanfaatkan kemampuan produksi dan kuasa pemasaran AirAsia Media Group, merangkumi seluruh pelosok negara-negara ASEAN yang mempunyai populasi lebih 650 juta untuk menghasilkan karya video kreatif bersama artis Universal Music Malaysia.

Kolaborasi unik bersama Redcarpet juga adalah sebuah platform bagi para artis untuk mengembangkan jenama mereka dan memupuk kelompok peminat baru dari serata negara ASEAN yang mungkin tidak tercapai sebelum ini. - KitaReporters



0
2
1
0
0
You will be interested