SABAN tahun pelbagai program dan aktiviti dianjurkan pelbagai pihak bagi menyemarakkan sambutan bulan Kemerdekaan sebagai satu langkah menyemaikan semangat patriotik serta kecintaan kepada negara dalam kalangan rakyat. Namun mungkin sambutan tahun ini berbeza ketika negara masih berdepan wabak Covid-19. : KitaReporters
Lagi cerita-cerita berkaitan kemerdekaan:
https://kitareporters.com/search?search=kemerdekaan
Seperti pada 31 Ogos tahun ini negara akan menyambut ulang tahun Kemerdekaan negara ke-63 telah memperlihatkan pelbagai acara sudah dilakukan oleh rakyat seperti memasang Jalur Gemilang di rumah kediaman, pusat perniagaan, persekitaran kampung dan perarakan Jalur Gemilang menerusi aktiviti riadah.
Cikgu Roszaidi Ramlee menunjukkan hasil tuaian sayur kacang bendir dari Laman Dapur Merdeka.
Bagi seorang guru dari Masai, Johor mempunyai cara tersendiri bagi memeriahkan sambutan bulan Kemerdekaan negara yang sudah dirancang lebih dua bulan lalu serta turut memberikan manfaat kepada jirannya.
Bagi menyempurnakan tujuan itu, Guru Bahasa Inggeris Sekolah
Menengah Kebangsaan Permas Jaya 2, Pasir Gudang, Johor, Cikgu Roszaidi Ramlee bertani
bersama-sama ahli keluarga di kawasan halaman rumah dengan mewujudkan Laman Dapur Merdeka sempena menyemarakkan
sambutan bulan Kemerdekaan negara.
Cikgu Roszaidi dan isterinya Norulaida Ibrahim memanfaatkan halaman rumah dengan menanam pelbagai pokok sayuran.
Berikutan kesan pascapelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh kerajaan, Cikgu Roszaidi Ramlee bersama isterinya Norulaida Ibrahim memanfaatkan kawasan lapang halaman rumah mereka di Bandar Seri Alam, Masai dengan menanam pelbagai tanaman sayuran dengan menggunakan pasu dan poli beg.
Mereka menanam pelbagai pokok sayuran seperti timun, kacang
bendir, kacang panjang, sawi, salad, cili besar, kacang botol dan cili kecil.
Diusahakan sebagai hobi memenuhi masa berkurung kerana PKP,
sayuran yang ditanam itu hidup subur malah mengeluarkan hasil cukup
memberangsangkan dan boleh dipetik terus untuk kegunaaan sebagai rencah dalam
masakan.
Hasil sayuran yang ditanam itu Cikgu Roszaidi turut mengagihkan kepada jiran tetangga.
Cikgu Roszaidi, berkata selain mampu menjimatkan perbelanjaan dapur beliau sekeluarga di samping terjamin kebersihannya, sayuran itu turut diagihkan kepada jiran tetangga yang secara tidak langsung mengeratkan hubungan silaturahim dan memeriahkan kewujudkan Laman Dapur Merdeka itu sempena sambutan bulan Kemerdekaan negara.
Menurut beliau, bagi menyemarakkan lagi sambutan bulan
Kemerdekaan itu dia dengan dibantu tiga anaknya memasang Jalur Gemilang pada
pintu dan pagar rumah dan kawasan tanaman sayuran yang menggamitkan lagi
semangat patriotik dan kecintaan kepada negara.
Timun turut menjadi pilihan Cikgu Roszaidi untuk ditanam di Laman Dapur Merdeka.
Katanya, walaupun bermula agak lewat, namun kejayaan beberapa
rakan yang turut bertani di kawasan halaman rumah menjadi pendorong dia bersama
isteri untuk mencuba dan tidak menjangka memperoleh hasil yang banyak.
“Kami juga turut berfikir sebelum ini untuk melakukan
sesuatu bersama anak-anak sebagai rakyat Malaysia untuk memeriahkan sambutan
bulan Kemerdekaan negara yang bersesuaian serta
memberi manfaat dalam PKP.
“Sehubungan dengan itu wujudlah Laman Dapur Merdeka ini yang juga merapatkan lagi hubungan kekeluargaan antara kami dan jiran tetangga yang sering bertanya khabar mengenai sayuran yang ditanam itu,” katanya. - KitaReporters
Laman Dapur Merdeka menyemarakkan semangat patriotik Cikgu Roszaidi.