Seni & Sukan 31 Aug, 2020

Roti canai terbang! Sambutan Bulan Kemerdekaan bertukar riuh

@rosdi ismail
Berpengalaman sebagai pemberita bersama Berita Harian (BH) bermula pada tahun 1985 hingga 2017. Pada tahun 1991, diserapkan dalam unit penyunting BH di Bangsar, Kuala Lumpur. Kemudian, pada tahun 1997 dipindahkan ke unit pendidikan BH sebagai penyunting

Share this

ROTI canai terbang menggamatkan suasana majlis sambutan Bulan Kemerdekaan Negara ke-63 di Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia, di Semenyih, Selangor. Aksi yang menjadi tumpuan warga emas, tetamu dan beberapa ahli persatuan sukaralewan yang hadir bagi memeriahkan majlis itu ditunjukkan oleh penasihat pusat jagaan berkenaan, Mohiadin Bahado yang mempunyai kepakaran membuat dan menebar roti canai. : KitaReporters


Mohiadin mempunyai kepakaran membuat dan menebar roti canai.


Lagi cerita-cerita berkaitan Pusat Jagaan Mahmudah:

https://kitareporters.com/search?search=Mahmudah


Aksi beliau itu sememangnya dinanti-nantikan mereka yang hadir selepas diuar-uarkan dalam group WhatsApp dijemput menghadiri majlis berkenaan sebagai salah satu gimik memeriahkan sambutan bulan Kemerdekaan bersama-sama penghuni pusat jagaan itu.

Gaya tersendiri Mohiadin menebar, mengoreng serta melambung roti canai itu ke udara seperti piring terbang dan disambut beliau sebelum menepuk beberapa kali mendapat tepukan gemuruh tetamu.

Mohiadin menunjukkan beberapa aksi menarik roti canai terbang walaupun  tidak sehebat ketika remaja dahulu.


Beliau juga berjaya menunjukkan aksi membaling roti canai itu seperti piring terbang di udara kemudian jatuh tepat ke dalam pinggan yang dipegang tetamu menambahkan lagi suasana riuh rendah majlis berkenaan.

Menurut Mohiadin, ketika remaja dahulu dia terpaksa mencari wang saku sendiri dan bekerja di restoran menyediakan menu roti canai yang secara tidak langsung memberi peluang kepadanya mempelajari cara membuat makanan itu.

Mohiadin menunjukkan cara menerbangkan roti canai ke dalam pinggan pelanggan.


Katanya, selepas mendapat kepercayaan pemilik restoran itu, dia menjadi penebar roti canai dan mula membuat pelbagai aksi menebar dan melemparkan ke udara seperti piring terbang sebagai daya tarikan kepada pelanggan.

“Aksi  itu mendapat tepukan dan sorakan daripada pelanggan yang berkunjung ke restoran tempat saya bekerja sebelum berhenti untuk menumpukan perhatian kepada kerja di agensi kerajaan selepas menamatkan pengajian di universiti.

“Bagaimanapun saya akan menunjukkan  kemahiran itu apabila diminta menjadikannya salah satu gimik bagi memeriahkan majlis yang diadakan termasuk di agensi kerajaan tempat saya bertugas sebelum bersara beberapa tahun lalu,” katanya.

Beberapa penghuni memulakan majlis sambutan Bulan Kemerdekaan dengan menyampaikan lagu Negaraku. 


Sementara itu majlis sambutan berkenaan dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku oleh beberapa penghuni pusat jagaan itu yang kemudiannya disusuli beberapa lagu patriotik yang mendapat bimbingan daripada sukarelawan paramedik Pathama Vathy Arumugan.

Pada majlis itu juga, warga emas Alias Othman, 64, dipilih untuk menerima Anugerah Penghuni Terbaik 2020 manakala Abu Talib Borhan, 66, menerima Anugerah Terbaik Fisio dengan Rehabilitasi.

Alias (dua dari kanan) dan Abu Talib menerima anugerah daripada Roslan.


Pathma Vathy berkata, kedua-dua warga emas berkenaan walaupun tersisih di pusat jagaan itu sejak beberapa tahun lalu dan mengalami masalah kesihatan tetapi mereka tetap aktif serta rajin membantu rakan-rakan menjalankan aktiviti di situ.

Pengerusi pusat jagaan itu, Roslan Saidin, berkata sambutan bulan Kemerdekaan sering dianjurkan di pusat berkenaan sebagai salah satu aktiviti memupuk semangat patriotik dalam kalangan penghuni supaya mereka tidak berasa tersisih.

Hamidah Osman (kanan) dan Siti Khalijah Saat bersemangat memeriahkan sambutan Bulan Kemerdekaan.


Katanya, aksi roti canai terbang itu sebagai gimik untuk menghiburkan hati penghuni pusat jagaan berkenaan, di samping menunjukkan sikap ambil peduli pelbagai pihak khusus sukarelawan yang hadir bagi bersama-sama mereka meraikan sambutan Hari Kemerdekaan Negara.

Majlis itu dihadiri lebih 50 sukarelawan dari Hospital Kajang, Hospital Ampang, Mama Yati Harimau Malaya dari Sungai Buluh, Green Charity Nilai, Negeri Sembilan, Pasukan RnT Entertainment dan penduduk sekitar. - KitaReporters

20
4
0
0
0
You will be interested