Seni & Sukan 14 Aug, 2021

Penduduk Danau Kota sibuk pasang bendera! Bersiap sedia sambut Hari Kebangsaan, Hari Malaysia!

@ahmad abd hamid
Served as a journalist for a year at Berita Harian and for 33 years at Utusan Melayu (M) Bhd. beginning 1980. Last post was Assistant Editor in Chief Utusan Melayu. Also served as Editor in Chief, Magazines. Retired in 2013.

Share this

AHLI-AHLI kabin memasang bendera sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia di kabin Taman Permainan Danau Kota, Setapak, Kuala Lumpur.


SEMPENA kedatangan tanggal 31 Ogos, penduduk Taman Danau Kota, Setapak, Kuala Lumpur, memasang bendera untuk meraikan ulang tahun Hari Kebangsaan ke-64 yang bakal disambut di seluruh negara.

Selepas itu ia akan berterusan pula dengan sambutan Hari Malaysia pada 16 September, yang merupakan sambutan kali ke-58 penubuhan Malaysia.  

Seperti biasa, setiap tahun sambutan dua hari penting dalam sejarah Malaysia ini diserikan dengan pelbagai aktiviti. Cuma dalam gelombang pandemik Covid-19 kini dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sambutannya hanya pada skala kecil.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Danau Kota


BEKERJASAMA memastikan bendera yang dipasang kemas dan cantik.


Sebagai menyerikan sambutan kemerdekaan itu, pemasangan bendera merupakan aktiviti digalakkan baik di premis pejabat, bangunan, kenderaan dan rumah kediaman. Penduduk Danau Kota tidak ketinggalan menyambut kempen memasang bendera ini.

Memang sewajarnya warga Malaysia mengibarkan bendera untuk menambah seri sambutan ulang tahun Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia, di samping menyerlahkan kasih sayang dan taat setia kepada negara tercinta.

Kerana itu penduduk Danau Kota turut mengibarkan bendera sebagai meluahkan semangat cintakan negara sambil menyerikan taman dengan kibaran bendera besar, sederhana dan kecil. 

Pemasangan bendera banyak tertumpu di kawasan kabin yang merupakan pusat kegiatan penduduk, terletak di kawasan taman permainan kanak-kanak Danau Kota.


PENGERUSI Persatuan Penduduk Jalan 2/23B Danau Kota, Ghazali Katun.


BENDERA kecil pun turut dipasang untuk menyerikan kabin sempena menyambut Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia.


Menurut Pengerusi Persatuan Penduduk Jalan 2/23B, Ghazali Katun, idea pemasangan bendera dicetuskan oleh Ahli Jawatankuasa (AJK) persatuan yang berganding tenaga dan sumber kewangan dengan ‘ahli kabin’. 

Mereka merupakan kumpulan penduduk yang sememangnya biasa menjadi barisan hadapan melaksanakan pelbagai aktiviti kemasyarakatan di kabin di kawasan perumahan tersebut.

Dengan penambahbaikan kawasan kabin dan padang permainan baru-baru ini, keadaan sekeliling lebih berseri. 

Tiang bendera baharu juga dididirikan dengan bendera megah berkibar. Selain itu, pemasangan bendera dibuat di kawasan pagar dan sekeliling kabin.

Menurut Ghazali, beliau dan ahli kabin menjalankan aktiviti memasang bendera ini sedikit demi sedikit sejak awal Ogos dengan modal sendiri. Apabila ada wang, mereka akan membeli lagi bendera dan dipasang. 

Mereka berharap untuk melakukan ini sehinggalah menjelang ambang hari kemerdekaan.


NAMPAK berseri kabin kegiatan penduduk Taman Ibu Kota dihiasi  dengan bendera kebanggaan negara.


Beliau memberitahu, pemasangan bendera dilakukan beransur-ansur kerana tiada peruntukan khusus untuk aktiviti itu, dan tidak menggunakan duit persatuan. Sebaliknya ia menggunakan duit yang dikumpul daripada sumbangan ‘ahli kabin’.  

Selain itu, kata Ghazali, Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Wangsa Maju yang merupakan kawasan Parlimen bagi Danau Kota, ada memberi sumbangan lima helai bendera.

Menurutnya, pemasangan dan pengibran bendera ini akan berterusan sehinggalah menjelangnnya sambutan Hari Malaysia pada 16 September.

Beliau juga memaklumkan, pihaknya berhasrat mengadakan sambutan Ambang Merdeka pada malam Hari Kebangsaan. Namun ia akan diadakan pada skala kecil dengan pematuhan ketat operasi prosedur standard (SOP) memandangkan penguatkuasaan PKP.

Persatuan Penduduk pernah mengadakan sambutan Ambang Merdeka pada skala besar tiga tahun lalu melibatkan penduduk taman yang diserikan dengan pelbagai program dan aktiviti. 

Namun sambutan sama tidak dapat diadakan sejak dua tahun lalu berikutan pandemik Covid-19 dan PKP. - KitaReporters


GHAZALI KATUN memasang bendera Malaysai di pagar kabin Danau Kota.

3
0
1
0
0
You will be interested