Seni & Sukan 28 Jun, 2021

Bahu jalan jadi pasar malam, SOP terabai! Penduduk Suadamai minta MPKj buka tapak lebih sesuai!

@rosdi ismail
Berpengalaman sebagai pemberita bersama Berita Harian (BH) bermula pada tahun 1985 hingga 2017. Pada tahun 1991, diserapkan dalam unit penyunting BH di Bangsar, Kuala Lumpur. Kemudian, pada tahun 1997 dipindahkan ke unit pendidikan BH sebagai penyunting

Share this

Tindakan sesetengah orang ramai berhenti di bahu jalan dan membeli makanan seperti  ‘drive–thru’ (pandu lalu) menjadi punca kesesakan di laluan utama masuk Zon Suadamai.


APABILA kedudukan gerai menjual pelbagai jenis makanan terlalu dekat dan tumbuh bagaikan cendawan seolah-olah tidak patuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) pandemik Covid-19 manakala orang ramai pula bersesak seperti pasar malam, jarak sosial diabaikan slogan #Kitajagakita, #Lindungdiri, #Lindungsemua ke laut jadinya.

Berikutan itu laluan utama memasuki kawasan perumahan Suadamai Bandar Tun Hussein Onn (BTHO), Cheras, Selangor menjadi rungutan penduduk pada waktu puncak awal pagi dan petang apabila pemandu kenderaan berhenti di bahu jalan dan membeli makanan seperti  ‘drive–thru’ (pandu lalu) menyebabkan berlaku kesesakan yang teruk.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan kawasan Suadamai BTHO


Persatuan Penduduk Suadamai BTHO yang menjadi sasaran aduan rungutan itu mengambil langkah untuk kebaikan semua tanpa menyinggung perasaan mana-mana pihak terutama peniaga dengan mencadangkan kepada Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) menyediakan tapak khusus untuk berniaga.

Pengerusinya, Profesor Dato Dr Abdul Rahim Mohamed, berkata kiri dan kanan laluan masuk zon Suadamai itu memang tidak sesuai langsung didirikan gerai untuk berniaga yang bukan sahaja mencacatkan permandangan kerana tidak tersusun malah menjadi kawasan berkenaan kotor.


Peniaga di bahu jalan laluan utama masuk Zon Suadamai wajar disediakan tapak berniaga yang lebih selesa dan selamat.


Menurutnya, dengan adanya kawasan khusus peniaga dapat meneruskan kelangsungan perniagaan mereka terutama semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lockdown (PKP 3.0 penuh) Covid-19 di persekitaran yang bersih, terkawal dari segi keselamatan orang ramai dan pematuhan undang-undang yang ditetapkan MPKj.

Beliau berkata, daripada pemerhatian persatuan, tapak pasar Ramadan atau kawasan lapang parking berhampiran masjid BTHO boleh menjadi alternatif sesuai untuk menempatkan gerai peniaga berkenaan kerana jauh dari laluan utama dan tiada masalah orang ramai untuk ke situ.


Dr Abdul Rahim yang ditemu bual oleh wartawan mengenai kesesakan di laluan utama masuk Zon Suadamai.


“Saya yakin MPKj lebih memahami perkara ini kerana apabila berada dalam satu kawasan yang tersusun sudah pasti akan menampakkan imej BTHO yang lebih terancang, moden dan berkualiti kearah kehidupan sihat serta selamat.

“Sebaiknya kiri dan kanan jalan tempat peniaga sekarang seharusnya dibina laluan pejalan kaki berjubin konkrit berserta ‘walkway metal railing’ di sepanjang bahu jalan untuk keselamatan pelajar dari Zon Suadamai untuk ke Sekolah Kebangsaan BTHO (2), Sekolah Menengah Kebangsaan BTHO (2) serta kegunaan orang ramai ke Pusat Kesihatan BTHO,” katanya pada majlis menandatangani surat cadangan penempatan semula peniaga berkenaan ke kawasan yang lebih sesuai untuk dihantar kepada MPKj, pada 26 Jun 2021 lalu.


Seorang penduduk Zon Suadamai menurunkan tandatangan pada surat cadangan yang akan di hantar kepada MPKj.


Penasihat persatuan itu, Datuk Ahmad Tajuddin Mohamed, berkata masalah kesesakan dan kekotoran dalam longkang di jalan laluan masuk berkenaan sudah berlanjutan sekian lama, walaupun ada tindakan dari MPKj, namun beberapa hari selepas itu keadaan sama berulang.

Beliau berkata, pada hari persekolahan seperti sebelum ini keadaan kesesakan laluan itu berlaku sejauh beberapa kilometer kedua-dua hala sama ada pada sebelah pagi atau petang sehingga menyukarkan penduduk di Zon Suadamai untuk bergerak ke luar dan masuk.


Ahmad Tajuddin (kanan) memberi penjelasan kepada wartawan ketika ditemu bual.


Menurutnya, adalah amat perlu gerai di bahu jalan laluan utama itu dipindahkan ke tapak lain yang lebih sesuai dan persatuan bersedia menempatkan ahli jawatankuasa bagi memastikan tiada lagi peniaga dibenarkan berniaga di situ apabila semuanya berpindah ke tempat baharu.

Beliau berkata, selain itu paling membimbangkan mungkin akan berlaku perkara tidak diingini kerana ada sesetengah peniaga membuka gerai berhampiran stesen petronas dan mereka menggunakan dapur gas atau arang untuk memasak di situ.


Kesesakan berlaku dalam kawasan stesen petronas menyebabkan rasa tidak selesa kepada pengguna.


“Dalam situasi sekarang persatuan memahami mereka yang terpaksa berniaga bagi meneruskan kelangsungan hidup berikutan PKP Covid-19 dan seharusnya mereka memikirkan juga keselamatan serta keselesaan penduduk di Zon Suadamai khasnya.

“Walaupun persatuan sedia maklum hampir sebahagian besar daripada mereka yang berniaga di situ bukanlah penduduk BTHO, namun mereka kenalah faham dan sama-sama menghormati hak penduduk khusus di Zon Suadamai ini,” katanya.

Sementara itu, wakil kepada peniaga di gerai terbabit memberi kesediaan untuk berpindah jika MPKj dapat menyediakan tapak yang bersesuaian sekitar BHTO supaya mereka dapat terus mencari rezeki. - KitaReporters


Kesesakan di depan Gate Satu menyukarkan penduduk Zon Suadamai untuk menggunakan laluan tersebut.

35
4
3
0
0
You will be interested