Seni & Sukan 03 Jan, 2022

Keluarga Malaysia sumbang barangan elektrik! PEKATA Terengganu bantu mangsa banjir di Pahang!

@mohammad ishak
Bekas penulis Kumpulan NSTP selama 35 tahun sebelum bersara pada Oktober 2018 dan berkhidmat di Terengganu. Pernah membongkar peristiwa sembahyang dua imam dalam satu kampung di Daerah Besut selain perkampungan Kerajaan Langit Ayah Pin.Menyertai Kitareporters Feb 2019.

Share this


Sukarelawan PEKATA yang menyertai misi bantuan pasca banjir di Kuantan,Pahang.


SIKAP prihatin dan pemurah hati rakyat negara ini terhadap penderitaan mangsa banjir yang melanda beberapa negeri  dengan menghulurkan pelbagai bentuk bantuan bagi membantu mangsa memulihkan kehidupan baharu amat disanjung tinggi oleh masyarakat. 

Kemunculan pelbagai Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang tampil membantu mangsa banjir bukan sahaja bertepatan dengan aspirasi konsep Keluarga Malaysia, malah mendapat pujian sesama rakyat serta pihak kerajaan juga turut menghargai peranan yang dilakukan oleh NGO terbabit.

Pertubuhan Ehwal Kebajikan Tanah Air (PEKATA) yang berpusat di Terengganu adalah antara badan bukan kerajaan yang turut ke lapangan untuk membantu mangsa banjir yang terjejas akibat kejadian tersebut.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan bantuan banjir



Seorang mangsa banjir di Kuantan menerima sumbangan barangan elektrik daripada pertubuhan PEKATA


Pertubuhan PEKATA menggerakkan jentera sukarelawannya dengan memberi tumpuan kepada penduduk di Taman Inderapura, Kuantan, Pahang yang terjejas teruk dengan bencana banjir pada penghujung Disember 2021.

Penaung PEKATA, Lt Kol Bersekutu (PA) Datuk Khairul Fais Anuar berkata, menerusi program pascabanjir pihaknya memperuntukkan RM50,000 berupa pelbagai barangan keperluan termasuk perkakas elektrik untuk diagihkan kepada mangsa banjir di Taman Inderapura, Kuantan pada Ahad, 2 Januari 2022.

Katanya, melihat nasib malang yang penimpa mangsa banjir di taman perumahan tersebut selepas rumah mereka ditenggelami air, pihaknya terpanggil untuk turun ke lapangan menghulurkan bantuan.


KHAIRUL FAIS ANUAR


Katanya,  bantuan disalurkan di kawasan taman perumahan itu berpandukan maklumat dikongsikan kenalan dan saudara-mara yang menetap di sekitar daerah tersebut.

Menurutnya, sebanyak 50 ahli gabungan NGO tersebut berjaya mengumpulkan pelbagai barangan keperluan asas termasuk perkakas elektrik untuk diagihkan kepada penduduk taman berkenaan. 

"Penyumbang terbesar program dari PTA First Electrical dan KKG Mart. Setiap ahli gabungan PEKATA berjaya menyediakan barangan diperlukan penduduk membabitkan peruntukan lebih RM50,000 bagi misi fasa pertama.

"Semua hasil sumbangan ahli gabungan ini akan diagihkan kepada penduduk. Saya sangat berterima kasih kepada semua pihak yang terbabit dalam misi tersebut.

"Kita cuba berikan bantuan kepada seberapa ramai penduduk terjejas banjir di Kuantan dan sebagai permulaan, kita tumpukan dulu di taman perumahan terbabit sebelum misi fasa seterusnya," katanya.- KitaReporters


Barangan elektrik untuk disumbangkan kepada mangsa banjir di Taman Inderapura, Kuantan, Pahang.


Mangsa banjir di Taman Inderapura, Kuantan menerima sumbangan periuk elektrik daripada ahli PEKATA.

22
12
2
16
0
You will be interested