SETIAP pewaris akan menerima bantuan khairat kematian RM3,000 dan pengurusan jenazah akan diselesaikan apabila warga perantau terutama dari Indonesia menyertai Pertubuhan Kebajikan Ekonomi Kerjasama Malindo atau MalindoCare.
MalindoCare ialah adalah sebuah pertubuhan berdaftar dengan menumpukan kepada progam atau aktiviti kebajikan serta pembangunan ekonomi ahli-ahli yang datangnya dari kerjasama rakyat Malaysia dan Indonesia (Malindo).
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan pertubuhan
Pengerusi MalindoCare Negeri Sembilan, Mejar (Kehormat) Musa Othman berkata sejak Mac 2020 sudah 1,000 perantau warga Indonesia menyertai pertubuhan itu dengan membayar sebanyak RM150 setahun dan akan turut dibantu dari segi khairat kematian serta pengurusan jenazah.
"Kita tidak menjual produk sebagaimana Pemasaran Pelan Bertingkat (MLM) kerana kita sudah pun melabur dalam beras, minyak hitam, gas dan pembukaan pasar raya MalindoCare di setiap negeri. Banyak program tertangguh sebelum ini ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
"MalindoCare diwujudkan ketika keresahan dan rayuan oleh warga perantau supaya ada pihak dapat membantu mereka kerana selama ini tiada pihak mahu menjadi orang tengah dengan kerajaan Malaysia dan Indonesia untuk menjaga kebajikan mereka.
"Skim ini diuruskan oleh MalindoCare Konsortium Berhad dan Malindo Management and Services dijangka akan mempunyai pengurusan di Perak, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Pulau Pinang dan Kelantan.
"Program diuruskan oleh NGO yang ada dua kategori iaitu untuk bersedekah dan membangunkan ekonomi warga asing," katanya.
Musa Othman memberi penerangan kepada pelanggan-pelanggan baru.
Tambah Musa, sebelum ini kerap didengar cerita-cerita warga asing hilang arah ketika PKP sehingga ada dalam kalangan mereka terpaksa menebalkan muka untuk berhutang sesama sendiri atau di kedai Aceh untuk mendapatkan bekalan keperluan asas termasuk beras dan gula.
"Malah ada yang mengail, menjala, mengutip sayur di tepi hutan sekadar mengisi perut. Tidak kurang yang bergolak bergadai termasuk telefon bimbit dan barang kemas," ujarnya.
Ujar beliau lagi, pihaknya menjangkakan kira-kira 100,000 keahlian pada tahun 2022 terdiri daripada warga Indonesia dan beberapa negara lain termasuk Mynmar, Bangladesh, Pakistan serta India.
"Bukan saja kes kematian tetapi juga mendapatkan khidmat ambulans selain pinjaman modal, bantuan runding cara berkaitan perniagaan. Selain itu, MalindoCare juga utamakan khidmat guaman kerana ramai perantau ini kerap berdepan dengan masalah undang-undang sebab ramai tiada dokumen sah.
"Jika mahu buka fail saja, sudah memakan duit beribu-ribu ringgit. Namun di MalindoCare, kami menyediakan khidmat nasihat guaman empat kali sebulan iaitu sekali seminggu secara percuma.
"Peguam ini akan bantu membabitkan jual beli hartanah tetapi tidak membabitkan kes bunuh," katanya ketika taklimat manfaat memiliki Kad MalindoCare kepada penduduk di Bandar Country Homes, pada 17 Disember 2021 lalu.
Sedia berkhidmat.... Ahli jawatankuasa MalindoCare. - Kredit foto: FB MalindoCare.
Musa yang mewakili Pengerusi MalindoCare, Datuk Seri Zainal Abidin A Hamid turut memaklumkan bantuan kemanusiaan itu perlu apabila mereka yang tidak mempunyai pekerjaan tetap kerap berdepan masalah kewangan setelah berlaku kematian.
Katanya, perantau boleh memohon berniaga serta khidmat guaman kerana mereka menjadi sasaran pihak keselamatan kerana ketiadaan dokumen berkenaan.
Menurutnya, setiap yuran keahlian RM150 itu akan dikembalikan kepada ahli dan MalindoCare hanya mengambil RM30 saja, manakala selebihnya akan dipulangkan sebagai komisen mencari ahli baru dan dijadikan modal untuk pelaburan.
Paling beruntungnya kata Musa, warga Indonesia boleh membuat tuntutan khairat kematian jika pemegang kad berkenaan meninggal dunia ketika kembali ke kampung halaman.
"Setakat ini seorang pewaris sudah menerima RM1,500 apabila pemegang kad itu mati selepas sebulan mendaftar. Tempoh matang keahlian adalah selama tiga bulan, manakala usia untuk memiliki MalindoCare ialah empat tahun ke atas.
"Bagaimanapun, khairat kematian itu tidak boleh dituntut oleh warga negara lain kerana MalindoCare tiada ibu pejabat di negara terbabit kecuali di Jakarta yang akan dibuka Februari 2022," ujarnya. - KitaReporters
Laporan akhbar berkaitan MalindoCare.