Seni & Sukan 27 Dec, 2020

Video| Kembali ke Malaysia! Kepulangan The Sella Setajam Kata

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: [email protected]

Share this

NAMA The Sella ini mungkin agak asing pada industri muzik perdana di Malaysia namun tahukah anda kumpulan yang dianggotai tiga jejaka ini sudah jelajah kota Perancis dalam beberapa persembahan malah merakamkan lagu pertama berbahasa Inggeris ‘Cold Love’ mereka di sana dua tahun lalu. Kini mereka mencuba nasib di tanah air sendiri dengan mempertaruhkan single terbaharu, “Setajam Kata’. : KitaReporters



Wah! Tajam sungguh tajuknya itu, apa mesej yang mahu disampaikan oleh Caesar Torif, (vokalis & gitar utama),  Liley Hashim (gambar atas, kanan; pemain bes]  dan Apis (kiri) sebagai (pemain dram/vokalis ke-2) yang menganggotai kumpulan The Sella ini?

Hanya Caesar (tengah) berasal dari Kuching, Sarawak manakala Liley dan Apis dari Johor Bahru yang mana pada asalnya, kumpulan ini merupakan pemuzik jalanan sahaja di sekitar Kuala Lumpur sebelum mendapat peluang berhijrah ke Perancis.

Lagu Setajam Kata dicipta pada waktu negara dilanda wabak COVID-19, sekali gus memberi inspirasi kepada penciptanya untuk menulis lirik yang mengisahkan tentang perjuangan seseorang insan bersama rakan-rakan lain tidak kira dalam apa jua bidang yang dilakukan untuk terus berusaha dan terus maju untuk mencapai kejayaan. 

“Lagu ini juga diharap dapat memberi inspirasi kepada kita supaya tidak mudah berputus dalam waktu yang sedang sukar,” begitu kata penciptanya, Nelson Limbun yang merupakan komposer muda dan sahabat kepada vokalis utama, The Sella, Caesar, yang juga berasal dari Sarawak.




Diterbitkan di bawah label M&J Entertainment, lagu bergenre rock alternatif itu sesungguhnya merupakan pertaruhan The Sella untuk mencuba nasib walaupun industri muzik berhadapan krisis pandemik COVID-19 pada tahun 2020 ini.

Sudah tentu seperti judul lagu ‘Setajam Kata’, mereka juga mahu melihat setajam manakah mereka mampu menyuntik penerimaan pencinta muzik tanah air sendiri terhadap kemunculan The Sella  yang sudah dua tahun dikenali di negara luar khususnya di sebuah negara yang mendapat jolokan ramai sebagai ‘kota romantis’. 



Yang pasti lagu mereka terdahulu ‘Cold Love’ hasil ciptaan Dzicky Blues Bugs mendapat sambutan hangat di Perancis waima mereka mencipta nama sebagai band Asia pertama yang membuat persembahan di Montpellier, Perancis pada tahun 2018 di mana ia merupakan tempat ‘underground’ band-band Eropah membuat persembahan.

Di Malaysia, mereka pernah memenangi tempat ke-2 pertandingan ‘Battle of the Band’ (BTOP) di Kuala Lumpur pada tahun 2017 iaitu tahun sama kumpulan ini ditubuhkan, sebelum aktif sebagai band underground di Perancis setahun kemudian.

Kini, melalui ‘Setajam Kata’ menariknya lirik video yang ditampilkan agak unik di mana ia berbentuk animasi lakaran watak setiap ahli kumpulan, dilakarkan oleh kartunis terkenal majalah Ujang yang memiliki kepakaran dalam  lukisan potret karikatur, Mathadir Pauji atau lebih popular dengan nama penanya,  ‘Manzar’, 35, juga berasal Sarawak. 



Diinspirasikan kala negara berada dalam tempoh  COVID-19 maka permulaan bait-bait lirik pada lagu ‘Setajam Kata’ menggambarkan situasi sebenar apabila ditulis:

"Waktu terhenti,

Dan terasa sepi,

Di kala bumi saling menghakimi sendiri,

Dengan bicaramu, Ku tuliskan lagu, Agar dapat ku luahkan dengan dunia…."

Nak tahu lanjut, apa kata dengar sambungan liriknya dengan memuat turun ‘Setajam Kata’ di iTunes dan stream menerusi semua portal muzik terpilih antaranya Apple Music, Spotify, Deezer, Jooz Music, KKBox.

Lirik video juga boleh ditonton dalam YouTube menerusi ‘channel’ M&J Entertainment malah peminat boleh juga melayari laman Facebook mereka @thesellaofficial yang kini belum mencapai angka 2,000 pengikut.

Moh tonton keunikan lakaran  lirik video daripada kartunis Manjar ini. - KitaReporters

0
1
0
0
1
You will be interested