Seni & Sukan 24 Feb, 2022

Video| Macam mimpi! Amir Masdi teruja Dayang Nurfaizah sudi berduet! Lagu Debu pertaruhan sulung!

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: [email protected]

Share this


SEGALANYA berlaku tanpa dirancang dan secara kebetulan namun bagi penyanyi angkatan baharu Amir Masdi, 25, peluang berduet dengan penyanyi senior yang tiga kali menggondol trofi vokalis terbaik AJL29 - AJL31, Dayang Nurfaizah ibarat bulan jatuh ke riba dan mimpi menjadi realiti.

“Memang benar mimpi jadi kenyataan. Boleh kata, setiap kali apabila ditanya dengan siapa artis wanita yang saya nak berduet, saya akan cakap Dayang Nurfaizah. Ini memang antara impian saya untuk keluarkan lagu dengan Dayang. Bila dapat tahu akan berduet dengan beliau dan apabila nampak kelibat dia dalam studio, saya rasa amat teruja,” jelas Juara Akademi Fantasia 2016, Amir Masdi.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Dayang Nurfaizah


Malah kata Amir, perasaannya lebih terharu apabila layanan Dayang terhadapnya sama macam semua orang tidak kira sama ada dia masih baharu atau tidak. 

“Dayang seorang yang sangat ‘humble’ malah belau pula kata segan dengan saya padahal status dan namanya dah besar dalam industri, Dari situ saya rasa beliau seorang yang sangat merendah diri,” tambah Amir mengagumi sifat Dayang ketika bersama merakamkan lagu ‘Debu’.

“Debu” bukan sahaja pertaruhan sulung Amir dengan Dayang malah juga kerjasama pertama antara dua syarikat rakaman tempatan ternama di Malaysia iaitu Nova Music dan Faithful Music.



Mengakui duet bersama Amir berlaku secara kebetulan memandangkan sebelumnya tidak ada sebarang perancangan hendak mempunyai lagu duet, Dayang berpendapat segalanya bagaikan sudah ditakdirkan.

“Pada awalnya lagu itu diberi pada saya untuk lagu solo dan saya mendengar demo. Ketika itu, saya tanya siapa nyanyi demo. Saya cakap sedap pula, macam dah cantik untuk lagu itu,” cerita Dayang di mana kemudiannya ada yang mencadangkan lagu itu dinyanyikan secara duet.

Tidak menolak cadangan tersebut, Dayang berkata, sebelum mendengar demo, beliau memang suka suara Amir ketika melihat penyanyi muda itu membuat persembahan pada pentas ‘Big Stage’ pada 2021 lalu dan menganggap Amir punyai potensi untuk maju.

“Jadi, apabila cuba letak suara kami dalam lagu ini, ia menjadi. Dari situlah terjadinya duet ini. Sebab itu saya kata ia berlaku secara kebetulan,” ulang Dayang jujur. 

Berkongsi pandangan Amir, Dayang akui dalam kamus kerjayanya, jauh sekali dia  memandang populariti sebagai syarat jika ingin berduet dengan seseorang penyanyi lain dalam sesebuah lagu. 

“Saya selalu cakap, saya tak pilih nak berduet dengan siapa. Apa yang penting adalah kesesuaian lagu sebab dua suara kena saling memberi malah ia lagi seronok sebab dapat berkongsi idea dan keluarkan perkara yang sebelum ini saya tak pernah cuba,” jelas penyanyi berasal Sarawak ini yang kini sentiasa minat untuk  berkolaborasi dengan penyanyi lain.



Dalam masa sama, Amir berkata lagu “Debu” bukan sekadar lagu berentak balada biasa kerana ia mempunyai keunikan dan kualiti tersendiri. 

“Sesi rakaman berjalan dengan lancar, ia lebih kepada santai dan tiada tekanan. Itu pengalaman yang saya takkan lupakan. Semasa nak mulakan rakaman, semua terpukau dan saya pun terdiam bila dengar suara Dayang. 

"Untuk lagu ini, Dayang seorang sahaja nyanyi dah buatkannya sedap. Jadi saya punya tugas adalah untuk sedapkan lagi dan menambah ‘rempah-rempah’ yang sepatutnya dalam lagu ini,” kenang Amir.

Berharap agar ‘Debu’ dapat memikat hati pendengar sebagaimana beliau sendiri rasa teruja berpeluang berduet dengan Dayang,

“Saya boleh cakap ini antara pencapaian besar buat karier saya,” tambah Amir puas sambil berpendapat badan lagu ‘Debu’ adalah balada tetapi 'tangan' dan 'kaki'nya lebih kepada unsur moden yang juga menjadi trend sekarang, - KitaReporters


18
11
1
13
0
You will be interested