Seni & Sukan 18 Feb, 2022

Annyeonghaseyo, Kim Pan-gon! Rela lepaskan Taeguk Warrior! Sedia berjuang julang Harimau Malaya!

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, menyertai akhbar mingguan tabloid Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. E-mel: [email protected]

Share this

KIM Pan-gon berjanji untuk membawa Harimau Malaya ke tahap lebih tinggi, melangkaui Asia Tenggara. - Kredit foto: FAM


HANYA kerana tertarik hati untuk menerima pelantikan sebagai ketua jurulatih Harimau Malaya! Tanpa teragak-agak lagi!

Biarpun Kim Pan-gon menyedari dia akan terlepas peluang untuk bersama Korea Selatan yang sudah layak ke pusingan akhir Piala Dunia di Qatar dari 21 November hingga 18 Disember 2022.

Dia malah rela menamatkan khidmatnya sebagai Pengarah Pasukan Kebangsaan dengan Persatuan Bola Sepak Korea (KFA) sejak 2018, pada hujung Januari 2022.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Korea Selatan

KIM Pan-gon (tengah) dengan penolong-penolongnya (dari kiri), Cho Jun-ho, Gokhan Kandemir, Pau Marti Vicente dan Lim Jae-hun. - Foto FAM


"Sebaik sahaja menerima tawaran Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), saya tidak teragak-agak lagi. (Tawarannya) benar-benar menarik (walaupun) saya sudah boleh ke Piala Dunia di Qatar dengan pasukan kebangsaan Korea Selatan.

"Saya mahu bawa pasukan kebangsaan Malaysia ke tahap seterusnya. Saya akan sentiasa buat yang terbaik untuk berjuang atas nama Malaysia," kata Pan-gon, 53, dalam sidang media memperkenalkan dirinya dan barisan kejurulatihannya di Wisma FAM, Kelana Jaya, Selangor pada 17 Februari 2022. 

Bekas ketua jurulatih Hong Kong (2009-2010 dan 2012-2017) ini, diikat FAM dengan kontrak dua tahun dan dua tahun lanjutan bergantung kepada prestasi Harimau Malaya. 



Pan-gon turut membawa bersamanya, empat penolong yang bukan calang-calang biodata karier mereka selain akan memilih sendiri seorang penolong jurulatih tempatan selepas menemu duganya, tidak lama lagi. 

Empat anggota barisan kejurulatihannya termasuk Pau Marti Vicente (penolong jurulatih), Cho Jun-ho (jurulatih penjaga gol), Dr. Gokhan Kandemir (jurulatih kecergasan dan fizikal) dan Lim Jae-hun (jurulatih analisis prestasi)

Vicente misalnya sebelum ini bertugas sebagai jurulatih skuad Bawah 18 Tahun Barcelona malah pernah menyertai pasukan kedua kelab gergasi La Liga Sepanyol itu. 

Kandemir pula menurut Pan-gon, pernah menyertai kelab Liga Super Turki sementara Jun-ho ialah bekas pemain Wira Taeguk (gelaran pasukan kebangsaan Korea Selatan). 

Tugasan sulung Pan-gon & Co. bersama Harimau Malaya ialah menentang Filipina dalam siri perlawanan persahabatan tahap 1 antarabangsa pada 23 Mac 2022 diikuti Singapura, tiga hari kemudian. 

Siri persahabatan itu merupakan persediaan menjelang pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2023 pada 8, 11 dan 14 Jun dengan Malaysia menjadi tuan rumah berpusat satu daripada enam kumpulannya.

Kata Pan-gon, "saya tahu Malaysia ada ramai bakat dan pemain yang bagus. Namun saya lebih utamakan untuk membina asas pasukan dan semangat sepasukan. Kita perlukan sebuah pasukan yang berjuang sehingga akhir demi kejayaan Malaysia," katanya.


KIM Pan-gon melayan soalan wartawan Malaysia dalam sidang media di Wisma FAM. Depan dua dari kiri ialah Pengarah Teknikal FAM, Scott O'Donell dan kanan, Setiausaha Agung FAM, Mohd. Saifuddin Abu Bakar. - Kredit foto: FAM 


Kerjasama dengan para jurulatih kelab-kelab Liga Malaysia juga tidak kurang pentingnya, kata bekas jurulatih beberapa kelab di tanah airnya dan Hong Kong ini. 

"Saya akan cuba melawat kelab-kelab Liga Malaysia, mengucapkan helo (lebih tepatnya, annyeonghaseyo) kepada mereka untuk menjalin hubungan rapat. 

"Ke mana saya pergi, saya percaya orang tempatan perlu dihormati. Kerjasama dengan mereka akan membawa kejayaan kami," katanya. 

Apakah ciri-ciri calon penolong jurulatih tempatan dalam Harimau Malaya menurut pilihannya?

"Seseorang yang mengenali pemain tempatan. Memberikan nasihat dan maklumat mengenai mereka. Setia, jujur dan boleh diyakini serta berpengetahuan luas bola sepak," kata Pan-gon yang karier kejurulatihannya bermula pada 2005.


KIM Pan-gon (tengah) dan barisan kejurulatihannya menggayakan simbol jari 'Cinta Mini' yang popular di Korea Selatan sejak 2010. - Kredit foto: FAM  


Bagaimana kalau ada yang membandingkan anda dengan Park Hang-seo di Vietnam dan Shin Tae-yong di Indonesia

Si Naga Emas kendalian Hang-seo menjulang Piala AFF 2018, meraih pingat emas Sukan SEA 2019 malah ke separuh akhir Sukan Asia 2018 selain suku akhir Piala Asia 2019. 

Sang Garuda di bawah Tae-yong pula ditransformasikan daripada pasukan corot Kumpulan G pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 kepada naib juara Piala AFF 2021.

"Saya ialah siapa diri saya. Mereka punya kejayaan yang dihormati. Saya pula mahu membina pencapaian sendiri dan membawa kejayaan buat rakyat Malaysia," katanya. - KitaReporters


PAU Marti Vicente, penolong jurulatih yang pernah berkhidmat dengan skuad Bawah 18 Barcelona. - Kredit foto: FAM


CHO Jun-ho, jurulatih penjaga gol baharu Harimau Malaya yang juga bekas pemain Taeguk Warrior. - Kredit foto: FAM

14
6
0
19
0
You will be interested