Seni & Sukan 11 Nov, 2021

Tuan rumah Kelayakan Piala Asia 2023! FAM bida! KBS sokong! Tunggu siapa pesaing, kumpulan mana?

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, menyertai akhbar mingguan tabloid Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. E-mel: [email protected]

Share this

SAIFUDDIN Abu Bakar (depan, kanan) dan Tan Cheng Hoe (depan, kiri) pada majlis pelancaran jam tangan edisi terhad Casio G-Shock di Wisma FAM. - Kredit foto: FAM  


DENGAN siapa Harimau Malaya diundi dan negara mana yang turut bersaing membida?

Dua prasyarat ini bakal mempengaruhi hasrat Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk menjadi tuan rumah pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2023, diteruskan atau tidak.

Satu daripada enam venue berpusat pusingan ini akan ditawarkan oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) kepada antara 24 negara yang berminat selepas majlis undiannya dijalankan pada Februari 2022.

Berformat liga sepusingan berkumpulan sahaja, saingannya dijadualkan pada 8, 11 dan 14 Jun 2022.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan



Tuan rumah yang berjaya membidanya akan memiliki kelebihan gelanggang dan sokongan penyokong sendiri atau pemain ke-12 sekali gus mencerahkan kemaraan ke pusingan akhir Piala Asia di China

Siapa calon-calonnya terdiri daripada Tajikistan, Uzbekistan, Kuwait, Bahrain, Turkmenistan, Jordan, Palestin, Filipina, Kyrgyz, India, Thailand dan Singapura.  

Turut bersaing ialah Mongolia, Afghanistan, Hong Kong, Maldives, Sri Lanka, Nepal, Myanmar, Yemen, Bangladesh, Indonesia dan Kemboja.

Hanya juara keenam-enam kumpulan pusingan ketiga ini dan lima naib juara terbaiknya, layak berentap dengan 12 pasukan lain termasuk tuan rumah yang kini memburu empat setengah tiket wakil Asia ke Piala Dunia 2022 di Qatar.


DUA tahun lamanya sejak 19 November 2019 gara-gara Covid-19, para penyokong Ultras Malaya memendam rindu untuk menyaksikan Harimau Malaya mengaum kembali di 'Kandangnya' Bukit Jalil. - Kredit foto: FAM


Setiausaha Agung FAM, Saifuddin Abu Bakar dalam sidang media 10 November 2021, berkata, “terima kasih Kementerian Belia dan Sukan (KBS) kerana memberi lampu hijau untuk kami membida.

“(Namun) kena tunggu Februari 2022 apabila pasukan kita dimasukkan ke kumpulan mana dan (adakah) kita sahaja yang membida atau ada negara lain (kumpulan itu). Kami akan hantar bidaannya selepas majlis undian itu.

“Setakat ini, kami kena mengenal pasti venue, hotel dan padang latihan serta pastikan semua kemudahan ini boleh mematuhi SOP (prosedur operasi standard) Covid-19 sekarang,” katanya di Wisma FAM, Kelana Jaya, Selangor.

SAIFUDDIN ABU BAKAR. - Kredit foto: FAM


FAM tegasnya, dijamin tidak akan sesekali menggunakan peruntukan kewangan daripada kerajaan bagi mengotakan hasrat membida tuan rumah itu malah sudah berasa berterima kasih dan bertuah hanya dengan kebenaran oleh kementerian berkenaan. 

“Bidaan ini juga bukan hanya untuk kebaikan dan kelebihan tuan rumah (Harimau Malaya) kerana yang keduanya sekarang ekonomi negara pun sudah dibuka, pelancong asing yang hendak tengok bola sepak, akan datang berbelanja sekali gus menaikkan ekonomi kita,” katanya.

Venue-venue di Lembah Klang terutama sekali Stadium Nasional, Bukit Jalil iaitu ‘Kandang Utama Harimau Malaya’ kian pasti menjadi keutamaan dan pertimbangan untuk dicalonkan namun FAM katanya, masih mempunyai beberapa pilihan lain.

STADIUM Nasional, Bukit Jalil antara calon venue pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia di Malaysia. - Kredit foto: AK


Kali terakhir Harimau Malaya beraksi di kandangnya ialah menewaskan Indonesia 2-0 di Bukit Jalil pada 19 November 2019 dalam perlawanan pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 Kumpulan G dengan jaringan Safawi Rasid.  

Sejak itu tiada lagi aksi di tanah air disebabkan Covid-19 dengan mereka ke Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) bagi menyambung pusingan itu mulai 4 Jun 2021 untuk menentang tuan rumah, Vietnam dan Thailand selain satu perlawanan persahabatan di Riffa melawan Bahrain (28 Mei 2021).

Yang terbaharu mereka turut berkelana ke Amman, Jordan dengan dibelasah tuan rumah 4-0 dan Uzbekistan 5-1 dalam siri persahabatan pada 6 dan 9 Oktober 2021.


MENENTANG Indonesia (jersi putih) pada 19 November 2019 berjaya menghasilkan 75,454 hadirin di Stadium Nasional, Bukit Jalil namun angkanya dalam era pandemik ini pasti jauh berkurangan kerana SOP ketat. - Kredit foto: FAM  


Bagi Piala AFF di Singapura dari 5 Disember 2021 hingga 1 Januari 2022 pula katanya, skuad Tan Cheng Hoe itu kini merancang satu perlawanan persahabatan pemanas badan dengan Timor Leste yang sudah layak secara automatik akibat penarikan diri Brunei.

“Menjelang Piala AFF, pasukan kita akan bermain satu perlawanan (persahabatan) sekurang-kurangnya pada 1 Disember 2022 di Singapura sebab Brunei sudah menarik diri (kelayakan menentang Timor Leste).

“Mungkin Timor Leste kelapangan masa tetapi kami juga perlukan kebenaran AFF. Adakah itu dalam tempoh tujuh hari sebelum (kejohanan)? FAM masih mencuba menjalankannya di Singapura sebab jika di Malaysia, lawan kena kuarantin tujuh hari dahulu,” katanya.

Malaysia, naib juara Piala AFF 2018 diundi dengan juara bertahan Vietnam dalam Kumpulan B di samping Indonesia, Laos dan Kemboja manakala Timor Leste menyertai Kumpulan A dengan tuan rumah, Thailand, Myanmar dan Filipina. - KitaReporters


 

8
12
0
10
0
You will be interested