Peranan masjid dan surau tidak seharusnya dihadkan sekadar untuk menjalankan aktiviti keagamaan semata-mata, malah perlu diperluaskan kepada pelbagai fungsi lain termasuk sebagai pusat perkembangan ilmu selain perlu memainkan peranan untuk mambantu golongan yang memerlukan.
Selari dengan itu, Jawatankuasa Surau Kampung Paya Merah, Labis dengan kerjasama UMNO Bahagian Labis mengambil inisiatif melaksanakan program membantu penduduk yang terjejas akibat penularan wabak Covid-19 yang melanda negara ini dengan cara mengagihkan barangan keperluan harian kepada lebih 1,200 penduduk di sekitar Labis, Chaah dan Bekok.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan surau
Ahmad Abdullah.
Pengerusinya, Ahmad Abdullah, 66, berkata, selain barangan kering seperti beras, minyak masak dan roti, pihaknya turut mengagihkan barangan basah seperti ikan, sayur dan ayam kepada penerima yang telah dikenal pasti tergolong dalam kalangan mereka yang kehilangan mata pencarian.
“Kami menyediakan sejumlah 1,200 kampit beras seberat lima kilogram setiap satu serta 1,200 botol minyak masak dua kilogram dan roti sementara bagi barangan basah pula 1.2 tan sayur dan ikan selain 1,200 ekor ayam untuk diagihkan kepada penerima.
“Dana untuk menjayakan program ini adalah hasil sumbangan daripada Unit Penyelaras Perlaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri ( JPM) di bawah Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob serta beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain yang bermurah hati untuk menderma,” katanya ketika ditemui di Balai Raya Kampung Paya Merah, Labis pada 2 September 2021.
Ahli Jawatankuasa Surau Kampung paya Merah sedang membungkus barangan basah seperti ikan, sayur dan ayam untuk diagihkan kepada penerima.
Katanya, program tersebut sememangnya tidak dapat memenuhi sepenuhnya keperluan penduduk yang terjejas dan memerlukan bantuan kerana jumlah penduduk yang memerlukan bantuan adalah lebih ramai berbanding dengan mereka yang terpilih untuk menjadi penerima bantuan tersebut pada hari ini.
Oleh demikian, dia berharap lebih banyak pihak terutama badan korporat tampil untuk menghulurkan sumbangan bagi membolehkan program seumpama itu dapat dilaksanakan masa akan datang, sekali gus lebih ramai mereka yang terjejas akibat hilang sumber pendapatan dapat dibantu.
Katanya, bagi memastikan kesinambungan program tersebut, dia bersama ahli jawatankuasa lain akan terus berusaha untuk mendapatkan dana bagi menganjurkan pelbagai program yang mampu membantu meringankan beban penduduk yang terkesan akibat perlaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) 3.0 ini.
Sebahagian bekalan minyak masak yang akan diberikan kepada penerima bantuan sedang diturunkan dari lori.
Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Labis, Mohd. Azahar Ibrahim berkata, pelbagai program bantuan yang dihulurkan oleh pelbagai pihak sejak negara dilanda pendemik Covid-19 pada awal tahun 2020 lalu membuktikan sikap prihatin dan sifat saling membantu sudah menjadi budaya yang sebati dalam jiwa rakyat di negara ini.
"Jika kita lihat, semakin ramai yang memerlukan bantuan semakin banyak juga pihak yang tampil untuk menghulurkan bantuan.
"Malah bantuan yang dihulurkan bukan sahaja berupa barangan keperluan, malah terdapat juga pihak yang sedia menghulurkan bantuan lain seperti khidmat kaunseling kepada mereka yang menghadapi tekanan akibat covid-19.
"Saya harap budaya ini dapat dikekalkan bagi menjamin keharmonian dalam kalangan rakyat negara ini terutama ketika berdepan dengan pelbagai cabaran seperti yang berlaku hari ini.
"Dalam pada itu kami akan sentiasa berusaha mencari jalan bagi membantu golongan yang memerlukan bantuan di samping cuba sedaya upaya memastikan tanpa ada yang terkecuali dan tercicir,”katanya. - Kitareporters
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Paya Merah, Abdul Razak Haron membungkus ikan yang akan diagihkan kepada penduduk sekitar Labis, Chaah dan Bekok yang hilang sumber pendapatan.
Ahmad Abdullah (kiri) dan Mohd Azahar Ibrahim (tengah) menunjukkan antara barangan keperluan harian yang diagihkan kepada penduduk Labis, Chaah dan Bekok yang terjejas.
b