Seni & Sukan 19 Jun, 2020

Syabas! Usaha Fedtri Yahya angkat bahasa puitis dihargai DBP

@zul akmar jamaludin
Memulakan kerjaya sebagai wartawan pada 2001 di tabloid Warta Perdana dan di majalah Variapop pada tahun 2002. Kemudian menyambung kerjaya sebagai wartawan majalah Mingguan Wanita di Kumpulan Media Karangkraf. 📧: akmar_mm@yahoo.com

Share this

KALAU ditanya siapakah pengacara di TV3 yang paling puitis dan indah bahasanya tatkala bercakap, pasti jawapannya adalah Ahmad Fedtri Yahya. Personaliti TV3 dan salah seorang pengacara Malaysia Hari Ini sememangnya terkenal dengan lenggok bahasa puitisnya. Setiap bait perkataan yang keluar dari mulutnya, pasti berbunga-bunga dan indah sekali. : KitaReporters


Antara rancangan paling popular yang dikendalikannya ialah Jejak Rasul yang ditayangkan setiap kali bulan Ramadan.

Selain mengacara, Fedtri juga aktif sebagai penulis lirik. Bukan calang-calang artis yang pernah bekerja sama dengannya seperti datuk Seri Siti Nurhaliza, Noraniza Idris, Nora Ariffin dan ramai lagi.

Baru-baru ini, bapa kepada tiga orang anak ini mendapat pujian dan penghargaan dari Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) atas usaha murninya mendidik warga maya agar menulis dalam bahasa Melayu yang sopan dan puitis dalam media sosial.

Kongsi Fedtri dalam laman sosialnya, dia dihubungi DBP untuk menyatakan penghargaan kerana menganjurkan kelas bahasa puitis dalam media sosial.

“Dewan Bahasa dan Pustaka telefon saya. Mereka hargai usaha ‘kelas puitis’ yang dibuat secara santai ini.

“Insya-Allah bermula malam ini ada hadiah untuk pemenang. Tunggu ‘tugasan’ malam ini ya,” tulisnya.


Menurut Fedtri lagi, dia terharu dan tidak menyangka ‘kelas puitis’ yang dianjurkan secara suka-suka itu mendapat sambutan hangat daripada warga maya.

“Rasa nak menangis. Hebatnya sambutan. Subhanallah. Bermula dengan suka-suka saja. Demi cinta puisi. 

"Terbaharu, ada YB nak taja hadiah. Nanti saya umumkan. Rezeki untuk anda semua. Kategori Instagram dan Facebook akan bermula jam 10 pagi,” luahnya penuh kesyukuran.


‘Kelas puitis’ yang dianjurkan itu memperlihatkan Fedtri menangkap layar perkataan yang menggunakan perkataan pasar yang agak kasar dan para netizen dikehendaki menukar ayat tersebut kepada bahasa Melayu yang puitis.

“Latihan penulisan - tukarkan kepada ayat gramatis dan puitis,” tulisnya.


Jadi, tidak hairanlah usaha murni Fedtri ini dihargai DBP kerana secara tidak langsung dapat mendidik orang ramai menggunakan bahasa yang sopan dan puitis dalam media sosial.

Sedia maklum, media sosial sering disalahgunakan oleh orang ramai untuk menulis perkataan-perkataan kasar serta perkataan yang salah tatabahasanya. 

Biasakan yang betul, betulkan yang biasa! Bahasa jiwa bangsa! - KitaReporters

1
0
0
0
0
You will be interested