Seni & Sukan 31 Jan, 2024

Video| Lagi insan seni disantuni PM! Shima menderita penyakit bronkitis! Putus sumber pendapatan!

@fauzan uda ahmad
Bekerja dengan Utusan Malaysia dari 1985 hingga 1996. Menjadi wartawah hiburan, koresponden di Jakarta, Indonesia dan Ketua Meja Hiburan. juga bertugas dengan beberapa media lain

Share this


Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim terus memberi sumbangan ikhlas kepada insan-insan seni yang ditimpa masalah kesihatan dan menghadapi kesukaran meneruskan kehidupan. 

Terbaharu ialah penyanyi veteran Ku Nazhatul Shima Ku Kamaruzzaman atau lebih dikenali Shima, 54, yang kini menghidap penyakit bronkitis. Akibat penyakit itu, Shima tidak boleh menyanyi sekali gus terputus sumber pendapatan. 

Sumbangan Perdana Menteri itu disampaikan oleh Setiausaha Politiknya, Ahmad Farhan Fauzi pada Selasa, 30 Januari 2024. 

“Saudara Farhan turut menyampaikan sumbangan daripada pihak saya bagi membantu urusan harian dan perubatan Shima.

“Saya mendoakan Shima dikurniakan afiyah serta sentiasa diberikan kekuatan oleh Allah SWT,” kata Anwar dalam akaun Facebooknya.

Shima menerima sumbangan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim yang disampaikan oleh Ahmad Farhan Fauzi (tengah)


Shima yang juga pernah berlakon namun lebih menonjol sebagai penyanyi. Zaman kemuncak Shima ialah sekitar 1990 hingga 1996. 

Bermula sebagai pengganti Ella dalam kumpulan The Boys pada tahun 1990. Namun hanya sempat satu album dan kemuidian bergerak sebagai penyanyi solo. 

Sebagai penyanyi solo, Shima yang dilahirkan pada 12 September 1969, berjaya membuat 8 album solo dengan antara lagu hitnya ialah ‘Di Sebalik Sejuta Wajah’, ‘Setelah Aku Kau Miliki’, ‘Teringin’ dan ‘Aku Tetap Aku’ sejak 1990 hingga 2013 bersama tiga syarikat rakaman iaitu CBS, Sony dan EMI.

Dalam bidang lakonan, Shima kurang menyerlah dan hanya muncul dalam beberapa filem dan drama sahaja.

Suatu kenangan.... Antara aksi Shima pada masa era popularitinya

Shima menghadapi dugaan hidup sejak beberapa tahun dahulu dengan menderita sakit tulang belakang (slipped disc). 

Ini menyebabkannya sakit dari tengkuk sehingga pinggang dan terpaksa bergantung kepada ubat tahan sakit yang menyebabkan kenaikan mendadak berat badan dari 43 kg kepada 65 kg. 

Dia yang sudah berkahwin lima kali ini turut mengalami masalah dalam perniagaan apabila warung dikenali sebagai Warung Teringin dan jualan secara dalam talian terpaksa dihentikan.

Dan Shima menjadi asnaf sejak Julai 2019 apabila menerima bantuan daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS) bagi mengurangkan beban hidup.
Shima juga menjadi salah seorang artis yang mendapat Program Perumahan Rakyat (PPR), di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT). Ia diusahakan oleh Yayasan Kebajikan Artis Tanahair (YKAT) yang dipengerusi oleh Datuk DJ Dave. 

Anak kepada bekas Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Kamaruzzaman Shariff (1995-2001) ini pernah cuba untuk kembali menonjol sebagai penyanyi dengan menyertai pertandingan Gegar Vaganza (GV) musim pertama (GV1) pada 2014. Namun usahanya gagal apabila tersingkir pada minggu ketujuh dan masih kurang mendapat undangan menyanyi kerana keadaan kesihatannya. - KitaReporters



8
8
0
12
0
You will be interested