Seni & Sukan 19 Feb, 2023

Pemain bola sepak profesional, Christian Atsu terkorban? Gagal ditemukan selepas gempa bumi Turkiye!

@amil abdullah saiby
Berkhidmat di Utusan Melayu(M)Berhad selama 35 tahun,Jawatan terakhir disandang ialah Pegawai Penyelidik Kanan Jabatan Editorial Utusan. Pengalaman: Wartawan sambilan di Mingguan Timur,Utusan Malaysia dan Kosmo. Penulis buku "coffeetable" Transformasi

Share this

Christian Atsu semasa menghadiri sesi latihan bersama dengan kelab Newcastle United pada 2019. - Kredit foto: Getty Images


Bekas bintang Liga Perdana Inggeris (EPL) Christian Atsu masih hilang selepas kejadian gempa bumi Turkiye pada 6 Februari 2023.

Bekas pemain Newcastle United dan bintang Piala Dunia FIFA dari Ghana itu masih belum ditemukan di Turkiye berikutan gempa bumi yang dahsyat, walaupun laporan awal menyatakan dia masih  hidup dan selamat dalam runtuhan bangunan tempat tinggalnya.

Bagaimanapun, ejen Atsu, Nana Sechere memaklumkan kepada media sosial melalui akaun Twitter dengan memuat naik status terkini perkembangan pemain berusia 31 tahun itu, kini bersama kelab Turkiye Hatayspor.


Lagi cerita-cerita tragedi berkaitan gempa bumi

Runtuhan bangunan tempat tinggal Christian Atsu. - Kredit foto: Getty Images


"Sudah sembilan hari sejak gempa bumi dan kami masih belum menemui  Atsu ," tulis Sechere dalam Twitter.

“Saya berada di lokasi gempa bumi di Hatay bersama keluarga  Atsu. Peristiwa itu tidak dapat dibayangkan dan hati kami berasa hancur dan semua orang akan terjejas.”

Ejen Atsu berkata biliknya telah dikesan, tetapi tiada mayat ditemui.

"Sepanjang saya di sini, kami telah dapat mengesan lokasi sebenar bilik Christian Atsu, dan kami telah menemui dua pasang kasutnya," jelas Sechere.

"Semalam kami menerima pengesahan bahawa alat bantuan teknologi  pengimejan haba berjaya menunjukkan terdapat tanda-tanda sehingga lima orang dikatakan masih bernyawa. Namun, saya diberitahu bahawa satu-satunya pengesahan sebenar tentang mangsa masih hidup adalah melalui penglihatan, bau dan bunyi; dan malangnya kami tidak dapat mengesan Atsu." 

Sechere terus mendesak, merayu dan meminta pasukan Mencari dan Menyelamat (SAR) agar dilanjutkan operasi misi menyelamat sehingga pemain bola sepak profesional itu ditemui.

“Ini adalah situasi yang amat sukar dan kami sangat berterima kasih kepada semua pasukan penyelamat Turkiye dan negara asing, orang awam dan sukarelawan tempatan atas usaha dan tindak balas mereka dalam menyelamatkan mangsa-mangsa yang terselamat. Bagaimanapun, kami amat memerlukan lebih banyak sumber maklumat termasuk penterjemah (bahasa), di lapangan,” tulisnya lagi dalam Twitter.


Ahli keluarga Atsu turut hadir membantu dalam mencari pemain bola sepak kelahiran Ghana yang hilang itu-  Foto Kredit: Getty Images


“Suasana perjalanan misi (mencari dan menyelamat) sangat perlahan dan akibatnya banyak usaha menyelamat tertangguh dan banyak pula nyawa terkorban kerana kekurangan sumber peralatan dan perkakasan yang mencukupi. 

"Sepatutnya segala keperluan dan kemudahan jentera dan peralatan segera dibekalkan kepada pasukan penyelamat dan sukarelawan untuk bertindak. Adalah amat malang apabila kelab bola sepak Turkiye itu (Hatayspor ) tidak dapat hadir bersama kami untuk ‘turun padang’ mencari  Atsu .

“Kedudukan dan pengaruh mereka (pengurusan kelab bola sepak Hatayspor), sepatutnya dapat membantu dengan pertolongan warga tempatan yang mengetahui selok belok lokaliti mereka. Kami memohon Presiden kelab dan Datuk Bandar Hatay, Lutfu Savas untuk menyediakan sumber tambahan (bantuan) untuk mempercepat lagi usaha menyelamat sebagai satu keutamaan.”

Dipercayai  Atsu  berada di tingkat sembilan bangunan runtuh bersama sembilan pemain lain dan dua pegawai pasukan.

Susulan gempa bumi dahsyat itu, semua acara sukan di Turkiye telah ditangguh buat sementara waktu berikutan suasana lokasi dan struktur bangunan dikatakan agak teruk dan tidak selamat.

“Semua acara sukan yang dijadualkan berlangsung di Turkiye telah digantung sehingga diberitahu kelak,” kata Menteri Sukan Turkiye Mehmet Kasapoglu dalam dalam akaun Twitter beliau.

Sebelum ini, Persekutuan Bola Sepak Turkiye (TFF) telah pun membatalkan semua perlawanan.

“Kami mengucapkan takziah kepada semua mangsa (gempa bumi) termasuk ahli keluarga, orang tersayang, rakyat dan negara.  Beliau berharap mereka yang cedera semoga cepat sembuh,” kata wakil kerajaan persekutuan itu. - KitaReporters



Sumber:

https://7news.com.au/sport/soccer/former-epl-star-christian-atsu-still-missing-after-turkish-earthquake-our-hearts-are-broken-c-9762378

https://www.thesun.co.uk/sport/21385102/christian-atsus-heartbreaking-update-shoes/

11
8
0
12
0
You will be interested