Seni & Sukan 03 Sep, 2022

Tanpa memandang siapa ditimpa musibah! Keluarga Malaysia utamakan 3K bagi pulihkan negara, ekonomi!

@editor 2
Semua kenyataan media atau media releases boleh dihantar kepada Editor KitaReporters. Sila sertakan juga gambar iringan untuk siaran. Emel: kita.reporters@gmail.com atau editor.kitareporters@gmail.com

Share this


PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri berkata, keutamaan kerajaan hari ini adalah untuk memulihkan negara dan ekonomi, tanpa memandang siapa yang ditimpa musibah melalui ciri-ciri 3K.

"Usaha memulihkan negara ini akan tercapai dengan terus memupuk, menyemai dan mempertahankan ciri-ciri ‘Keterangkuman’, ‘Kebersamaan’ dan ‘Kesyukuran’ (3K) yang kita miliki.

"Bagi merealisasikan hasrat kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju dan berpendapatan tinggi, kuncinya ada di tangan kita semua, seluruh Keluarga Malaysia. 

"Ini kerana, hanya dengan keharmonian sahaja kita mampu mendapatkan kestabilan politik dan kemakmuran ekonomi

"Oleh itu, saya mengajak seluruh Keluarga Malaysia untuk terus Teguh Bersama menjadi sebuah Keluarga Malaysia yang kalis cabaran," katanya lagi pada program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia peringkat negeri Kedah pada jumaat, 2 September 2022 di Pekarangan Astaka Utama, Stadium Darul Aman, Kedah.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Aspirasi Keluarga Malaysia


Katanya, barangkali ramai yang tertanya-tanya apa sebenarnya idea Keluarga Malaysia, dan mengapa ia menjadi ‘semangat’ yang mahu disemarakkan oleh kerajaan hari ini. 

"Jawapannya mudah; kerana sebuah institusi keluarga sentiasa berperanan memelihara agama, melindungi keselamatan, menjaga maruah dan memastikan nasib setiap ahli keluarga terbela

"Dalam konteks negara, kita adalah Keluarga Malaysia yang terdiri daripada pelbagai agama, bangsa, kaum dan usia

"Meskipun berbeza kepercayaan, latar belakang dan budaya, kita meraikan ‘keterangkuman’ dalam perbezaan, menjunjung semangat Malaysia sebagai sebuah negara bangsa

"Pelbagai gerak kerja dan usaha merentas kementerian dan agensi diatur bagi memudah cara pelaksanaan program dan inisiatif, untuk rakyat dengan pantas dan berkesan. Ini merupakan usaha mencari ‘kebersamaan’ agar pemegang taruh utama iaitu Keluarga Malaysia merasai nikmatnya. 

"Dalam Islam, nilai tasamuh yang bermaksud toleransi sebenarnya telah lama berlangsung dalam kalangan masyarakat Malaysia yang berbeza agama, bangsa dan kaum. 

"Namun bukan mudah mempertahankan nilai tasamuh andainya Keluarga Malaysia meminggirkan nilai-nilai yang boleh mewujudkan konflik dan perbezaan. 

"Oleh itu, pada hari yang bermakna ini, saya ingin mengingatkan kembali bahawa keutamaan kita adalah untuk memulihkan negara dan ekonomi, tanpa memandang siapa yang ditimpa musibah. 

"Usaha memulihkan negara ini akan tercapai dengan terus memupuk, menyemai dan mempertahankan ciri-ciri ‘Keterangkuman’, ‘Kebersamaan’ dan ‘Kesyukuran’ yang kita miliki," jelasnya. - KitaReporters



Teks ucapan Dato ’Seri Ismail Sabri Yaakob, Perdana Menteri sempena program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia peringkat negeri Kedah pada jumaat, 2 September 2022 di Pekarangan Astaka Utama, Stadium Darul Aman, Kedah :

1. Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia dan keizinan-Nya, kita dapat berkumpul bersama-sama di Stadium Darul Aman, Kedah pada petang ini bagi menjayakan Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (JAKM) peringkat Negeri Kedah. 

2. Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan sekalung penghargaan kepada Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman, terutamanya Dato’ Seri Haji Muhammad Sanusi bin Md Nor, Menteri Besar Kedah dan seluruh warga Kerajaan Negeri Kedah selaku tuan rumah. 

3. Terima kasih juga diucapkan kepada kementerian peneraju, Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB), khususnya kepada Menteri, Dato’ Seri Mahdzir bin Khalid dan seluruh Keluarga KPLB atas kejayaan menganjurkan JAKM siri kesembilan.

4. Saya berasa gembira dengan sambutan hangat oleh orang orang Kedah yang mai beramai-ramai dari seluruh pelosok negeri ini. Apa habaq Keluarga Malaysia di Kedah? 

Keluarga Malaysia yang saya kasihi, 

5. Sambutan Hari Kebangsaan 2022 yang bertemakan Keluarga Malaysia - Teguh Bersama di Dataran Merdeka, telah mendapat sambutan luar biasa. 

6. Ini jelas terbukti dengan kehadiran lebih 100,000 Keluarga Malaysia pelbagai bangsa dengan semangat patriotik yang membara, selepas dua tahun tidak dapat meraikannya. 

7. Kemeriahan sambutan 31 Ogos pada tahun ini, jelas membuktikan bahawa semangat kebersamaan untuk menjamin kelangsungan keamanan serta kemakmuran negara masih utuh. Bak kata pepatah, benang bercerai cerai bukannya kain, dek rapat tetal tenunan kain, jarum pun tidak menelusnya. 

8. Hari ini, saya sekali lagi terharu melihat begitu ramai Keluarga Malaysia Kedah pelbagai bangsa, yang hadir untuk memeriahkan Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia di Stadium Darul Aman. 



Keluarga Malaysia yang saya kasihi, 

9. Idea Keluarga Malaysia yang diilhamkan oleh kerajaan hari ini bukan retorik atau slogan semata-mata, tetapi ia merupakan satu semangat yang diterapkan kerajaan dalam pentadbiran negara demi kepentingan dan kesejahteraan Keluarga Malaysia. 

10. Barangkali ramai yang tertanya-tanya apa sebenarnya idea Keluarga Malaysia, dan mengapa ia menjadi ‘semangat’ yang mahu disemarakkan oleh kerajaan hari ini. Jawapannya mudah; kerana sebuah institusi keluarga sentiasa berperanan memelihara agama, melindungi keselamatan, menjaga maruah dan memastikan nasib setiap ahli keluarga terbela. 

11. Dalam konteks negara, kita adalah Keluarga Malaysia yang terdiri daripada pelbagai agama, bangsa, kaum dan usia. Meskipun berbeza kepercayaan, latar belakang dan budaya, kita meraikan ‘keterangkuman’ dalam perbezaan, menjunjung semangat Malaysia sebagai sebuah negara bangsa. 

12. Pelbagai gerak kerja dan usaha merentas kementerian dan agensi diatur bagi memudah cara pelaksanaan program dan inisiatif, untuk rakyat dengan pantas dan berkesan. Ini merupakan usaha mencari ‘kebersamaan’ agar pemegang taruh utama iaitu Keluarga Malaysia merasai nikmatnya. 

13. Dalam Islam, nilai Tasamuh yang bermaksud toleransi sebenarnya telah lama berlangsung dalam kalangan masyarakat Malaysia yang berbeza agama, bangsa dan kaum. Namun bukan mudah mempertahankan nilai tasamuh andainya Keluarga Malaysia meminggirkan nilai-nilai yang boleh mewujudkan konflik dan perbezaan. 

14. Oleh itu, pada hari yang bermakna ini, saya ingin mengingatkan kembali bahawa keutamaan kita adalah untuk memulihkan negara dan ekonomi, tanpa memandang siapa yang ditimpa musibah. 

15. Usaha memulihkan negara ini akan tercapai dengan terus memupuk, menyemai dan mempertahankan ciri-ciri ‘Keterangkuman’, ‘Kebersamaan’ dan ‘Kesyukuran’ yang kita miliki.

16. Bagi merealisasikan hasrat kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju dan berpendapatan tinggi, kuncinya ada di tangan kita semua, seluruh Keluarga Malaysia. Ini kerana, hanya dengan keharmonian sahaja kita mampu mendapatkan kestabilan politik dan kemakmuran ekonomi. 

17. Oleh itu, saya mengajak seluruh Keluarga Malaysia untuk terus Teguh Bersama menjadi sebuah Keluarga Malaysia yang kalis cabaran. 

Keluarga Malaysia yang saya kasihi, 

18. Hari ini, kita dapat melihat pemulihan ekonomi Malaysia melalui Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), yang terus berkembang kepada 8.9 peratus pada suku kedua 2022, berbanding 5.0 peratus pada suku pertama 2022. 

19. Graf pertumbuhan perdagangan borong dan runcit turut mencatatkan peningkatan iaitu sebanyak 44 peratus, dengan nilai RM132.8 bilion pada Jun 2022. 

20. Jumlah perdagangan negara juga mencatatkan prestasi perdagangan tertinggi dalam sejarah, dengan peningkatan sebanyak 28.2 peratus kepada RM1.35 trilion, manakala lebihan dagangan eksport berbanding import adalah sebanyak RM123.13 bilion. 

21. Selain itu, prestasi pelaburan negara bagi tempoh enam bulan pertama 2022 adalah berjumlah RM123.3 billion yang yang mencipta 57,771 peluang pekerjaan melalui 1,714 projek. Daripada jumlah ini, Pelaburan Langsung Asing (FDI) adalah sebanyak RM87.5 billion atau 71 peratus. 

Keluarga Malaysia yang saya kasihi, 

22. Negara dan seluruh dunia sedang berhadapan dengan tiga krisis yang teruk dan bertindih iaitu; kesan daripada wabak COVID-19, konflik Russia – Ukraine serta krisis rantaian bekalan makanan global. 

23. Rentetan daripada cabaran-cabaran ini, kerajaan telah mengambil langkah responsif dan proaktif melalui pelbagai pakej bantuan dan rangsangan ekonomi bagi menjamin kesejahteraan Keluarga Malaysia. 

24. Antaranya adalah langkah intervensi untuk menstabilkan harga barangan, dengan pemberian subsidi terbesar dalam sejarah kewangan negara, iaitu sebanyak RM80 bilion.

Tanpa subsidi, kadar inflasi negara boleh mencecah lebih 12 peratus. Berbanding negara serantau, kadar inflasi Malaysia adalah antara yang terendah. 

25. Selain itu, pelancaran Program JaminKerja telah berjaya menurunkan kadar pengangguran kepada paras terendah semenjak COVID-19 melanda negara, iaitu sebanyak 3.8 peratus pada bulan Jun 2022 dengan sasaran 600,000 penawaran peluang pekerjaan. 

26. Negeri Kedah turut merasai nikmatnya apabila kerajaan  melalui Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), melaksanakan projek strategik berimpak tinggi yang berjaya menarik pelaburan bernilai lebih RM37.21 bilion, sekali gus mewujudkan lebih 36,717 peluang pekerjaan baharu di negeri Kedah. 



Keluarga Malaysia yang saya kasihi, 

27. Kerajaan sentiasa peka dan prihatin akan kepentingan jalinan jalan raya yang sempurna untuk memudahkan Keluarga Malaysia khususnya di negeri Kedah untuk menjalankan kegiatan harian dengan selamat dan selesa.

28. Justeru, bagi kelancaran aliran trafik dan meminimumkan tempoh perjalanan, Kerajaan membelanjakan RM425 juta untuk menaik taraf laluan tujuh dari persimpangan Lencongan Barat ke persimpangan Tiga Kemboja, selain memperuntukkan RM526 juta untuk menaikkan taraf jalan persekutuan Gerik/Kupang/Lunas. 

29. Kerajaan juga akan menggantikan Jambatan Manjalara di Kota Setar yang telah uzur, dengan jambatan baharu bagi memastikan lalu lintas lebih sistematik, untuk kemudahan Keluarga Malaysia. 

30. Menyedari pentingnya pendidikan terhadap masa depan Keluarga Malaysia di Negeri Kedah, sebanyak RM1.13 bilion melibatkan 109 projek baharu dan sedia ada telah diperuntukkan oleh Kerajaan bagi pembangunan sekolah serta institusi pendidikan. 

31. Bantuan kepada usahawan luar bandar yang terjejas akibat pandemik COVID-19 turut diberi keutamaan. Melalui Program Sokongan Pengukuhan Keusahawanan Luar Bandar (SPKLB) Re-Start, seramai 156 orang peserta telah menerima manfaat, dengan nilai kelulusan sebanyak RM780,000.

32. Di samping itu, Program Skim Pembiayaan Ekonomi Desa (SPED) patuh syariah, turut menawarkan pembiayaan sehingga RM250,000 kepada usahawan luar bandar, melalui agensi pelaksana Bank Kerjasama Rakyat Malaysia (BKRM) dan Small Medium Enterprise Development Bank (SME Bank). 

33. Program Start Right (PSR) @KPLB telah diperkenalkan, untuk memberi peluang kepada belia luar bandar dalam kumpulan B40. Dengan bantuan sebanyak RM10 ribu,  penerima boleh memulakan perniagaan berdasarkan bidang kemahiran masing-masing. 

34. Melihat kepada isu kualiti hidup dan kesejahteraan keluarga miskin tegar dan miskin, Kerajaan telah memperkenalkan inisiatif Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT), dengan menyediakan kediaman yang lebih selesa dan selamat. 

35. Bagi memenuhi inisiatif ini, sebanyak 844 unit rumah kini dibina dan dibaik pulih di negeri Kedah, melibatkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM15.702 juta yang memanfaatkan lebih 4,220 ahli isi rumah luar bandar.

36. Kerajaan juga cakna dalam meningkatkan fasiliti perubatan, dan tahap kesihatan Keluarga Malaysia termasuk di negeri Kedah. Di bawah peruntukan RP4, RMK12, Kerajaan telah merancang untuk membina sebuah Pusat Kanser Wilayah Utara (PKWU) yang terletak di Sungai Petani. 

37. Selain itu, bagi meminimumkan kesan bencana banjir di Kedah, Kerajaan komited melaksanakan sebanyak tujuh Rancangan Tebatan Banjir (RTB) dalam RMKe-12 dengan peruntukan sebanyak RM1.3 bilion, termasuk di Sungai Pendang; Sungai Kedah/Anak Bukit; Baling, Kuala Pegang dan Bandar Jitra Selatan. 

38. Sebanyak RM239 juta juga telah diperuntukkan bagi pembinaan rangkaian sistem pembetungan di seluruh negeri Kedah, yang merangkumi 28 loji kumbahan awam dan 16 loji kumbahan di premis kerajaan. 

Keluarga Malaysia yang saya kasihi, 

39. Kerajaan melalui NCIA terus komited memacu pembangunan sosioekonomi di Wilayah Utara.

40. Pelaksanaan projek strategik berimpak tinggi seperti Kedah Rubber City yang akan melonjak nilai dagangan dan menjadikan Padang Terap sebagai bandar sempadan utama negara, serta Projek Pembangunan Berintegrasi Pusat Bekalan Gas dan Loji Jana Kuasa Pulau Bunting, di Yan membuktikan Kedah tidak pernah dipinggirkan oleh Kerajaan Pusat. 

41. Sesungguhnya menjadi agenda kerajaan untuk membangunkan seluruh pelusuk negara, termasuk di Kedah, bagi memastikan tiada ahli Keluarga Malaysia yang terpingggir daripada nikmat pembangunan negara. 

42. Justeru, dalam mempergiatkan pembangunan infrastruktur di sempadan Malaysia – Thailand, Kerajaan bersetuju mengkaji pembinaan laluan empat lorong dari Pokok Sena ke Bandar Durian Burung. 

Keluarga Malaysia yang saya kasihi, 

43. “Kuat berdiri pohon kerana akarnya, kuat akar kerana tanahnya”. Kekuatan sesebuah kerajaan adalah kerana pemimpinnya, sedangkan kekuatan pemimpin adalah kerana rakyatnya yang bersatu-padu ibarat satu keluarga yang besar. 


12
19
0
12
0
You will be interested